suria

Di sebalik hasil solekan cantik, jurumekap ini dedah hanya sekolah sampai Form 4 - “Belajar sendiri, tak pernah kursus sebab tak cukup duit”

Video hasil solekan ke atas diri sendiri oleh Manja meraih perhatian ramai di TikTok.

HASIL solekan gadis berusia 18 tahun ini menerima pujian ramai selepas video miliknya tular di aplikasi TikTok.

Namun di sebalik solekan dan warna yang terhias cantik pada wajahnya, terselindung kisah mengenai dirinya yang tidak diketahui ramai.

Menurut Nurul Nazirah Roslan, dia hanya mempelajari teknik solekan menerusi video tutorial sahaja dan tidak pernah mengikuti sebarang kelas kerana masalah kewangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita ini seronok melukis di wajah sendiri, lukisan tengkorak nampak ngeri tapi ada cantiknya - “Mekap muka orang lain lebih susah”

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Baby doll’ dihujani kritikan... walau tak kecil hati, jurusolek kesan khas tetap ada alasan sendiri - “Dalam 10 yang suka, mesti ada yang tak suka”

"Saya belajar mekap ketika berusia 13 tahun. Pada masa itu, saya hanya tiru video-video tutorial mekap. Saya tak pernah masuk kelas atau kursus mekap kerana tak cukup duit.

"Kemudian masa tingkatan tiga, saya mula ambil upah untuk mekap pengantin. Impian saya kalau boleh nak berjaya macam MUA Bella. Nak jadi jurumekap profesional.

"Saya juga bekerja sebagai jurumekap untuk senangkan adik-beradik, nak banggakan ibu dan dan bantu keluarga," ujarnya kepada mStar.

Mesra disapa Manja, jurumekap muda dari Behrang, Perak itu mendedahkan dia sudah tidak bersekolah sejak tingkatan empat.

Ujar anak ketiga daripada lima beradik itu, ada yang turut mempersoalkan jalan hidupnya, namun dia menerima semua itu dengan hati yang terbuka.

"Saya berhenti sekolah masa tingkatan empat. Saya diberhentikan kerana lama tak pergi sekolah. Ketika itu saya balik kampung, tapi saya lupa nak maklumkan kepada sekolah.

manja3

Manja mula mempelajari seni solekan ketika berusia 13 tahun.

"Kehadiran saya ke sekolah juga agak teruk, saya pun tak minat nak belajar. Tapi kadang-kala ada juga perasaan menyesal.

"Ramai juga yang tanya dan persoal hal itu. Mereka kata sayang sebab tinggal setahun lagi untuk habiskan sekolah. Tapi nak buat macam mana, dah salah saya," ujarnya lagi.

Mahu fokus terhadap masa depan sebagai jurumekap, Manja akui terkejut apabila video dia menyolek diri sendiri tular dan meraih hampir setengah juta tontonan di TikTok.

Ada yang tanya, berapa inci saya mekap? Ada juga yang tak percaya itu wajah saya.

MANJA

Namun kata Manja, dia juga ada menerima komen negatif, termasuklah yang mempersoalkan 'ketebalan' mekap yang dibuat pada wajahnya.

"Ada juga yang komen negatif, tapi saya tak layan. Ada yang tanya, berapa inci saya mekap? Ada juga yang tak percaya itu wajah saya.

"Kemudian ada juga lelaki yang kata dia lebih suka wajah natural. Komen negatif ada, tapi tak banyak. Saya hanya nak fokus pada yang positif," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Manja berkata dia turut terjejas sejak tahun lalu gara-gara banyak majlis kahwin ditunda dan dibatalkan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

manja2

Manja menyimpan hasrat untuk bergelar jurumekap berjaya suatu hari nanti.

"Dulu boleh dapat duit lebih. Boleh mekap untuk sanding, untuk akad nikah lagi. Sejak PKP, orang dah tak bersanding. Banyak yang akad nikah saja.

"Memang saya terjejas. Tapi tak apalah, saya anggap itu saja rezeki saya. Sejujurnya rindu suasana macam dulu waktu ada kenduri.

"Lepas mekap mesti pengantin akan jemput saya makan. Sekarang, lepas mekap terus balik sebab dah tak ada kenduri," ujarnya lagi.

Selain mencari wang sebagai jurumekap, Manja sebelum ini pernah bekerja menjual keropok di sebuah gerai di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) berdekatan rumahnya.

Kini, dia fokus bekerja sebagai jurumekap sahaja dan pada masa sama turut menyolek diri sendiri untuk content di media sosialnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain