suria

Pertama kali cuba menu Kelantan, budak KL belajar di Amerika tak sangka rasa budu macam tu sebab bau pelik... gigih buat content cakap Melayu

Video dikongsi Daniel meraih lebih 200,000 tontonan.

SEBUT sahaja mengenai Kelantan, pasti ramai yang terbayang akan keenakan juadah-juadah dari negeri itu.

Tidak mahu ketinggalan, Daniel Liew Han Rong berkunjung ke sebuah kedai di ibu negara baru-baru ini untuk mencuba ikan singgang, budu, tempoyak dan beberapa hidangan lain lagi.

Menurut content creator berusia 27 tahun itu, dia sememangnya suka 'memburu' makanan sejak sekian lama, namun baru berkesempatan untuk mencuba menu dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Jumpa ‘jodoh’ baju sama masa buat reviu makanan, Instafamous nafi bertindak melampau - “Kalau dengan perempuan rasa lain sikit”

ARTIKEL BERKAITAN: Buat reviu makan jujur ‘ikut tekak sendiri’, bekas jurutera tetap gembira walau ada yang tak puas hati kutuk saiz badan

"Saya pergi cuba makanan Kelantan di Chow Kit bulan lepas. Itu memang idea saya. Saya fikir sebagai orang Malaysia, rugi kalau tak tahu hidangan tempatan kita.

"Jadi saya cuba ikan singgang, budu dan tempoyak buat pertama kalinya. Saya tak jangka rasa budu sedap kerana baunya yang agak pelik. Tapi ia sangat sedap dimakan dengan ulam.

"Tapi tempoyak saya kurang suka. Ikan singgang pula bagi saya, ia merupakan hidangan sup yang ringkas. Tapi bila dimakan bersama ulam, budu dan ikan rebus goreng, rasanya sangat sedap.

"Sejujurnya saya tak takut untuk mencuba makanan. Bab makanan, saya memang adventerous. Saya akan cuba semuanya," ujarnya kepada mStar.

daniel 5

Daniel banyak berkongsi video menerusi Instagram dan TikTok.

Mesra disapa Daniel, jejaka dari Kuala Lumpur itu mengakui tidak sangka video dia mencuba hidangan Kelantan akan tular sehingga meraih lebih 200,000 tontonan.

Bercerita lanjut, Daniel yang sebelum ini menuntut dalam bidang Kejuruteraan Petroleum di Amerika Syarikat (AS) mula menghasilkan content berkaitan makanan selepas dia kembali ke tanah air, beberapa tahun lalu.

Saya buat content dalam bahasa Melayu sebab saya nak belajar bahasa Melayu.

DANIEL

"Empat tahun saya belajar di AS. Selepas balik ke sini, saya bekerja sekejap. Kemudian syarikat kedua saya bekerja ditutup, saya tiada hala tuju.

"Saya juga tak mahu teruskan bidang ini kerana ia bukan minat saya. Sebaliknya, makanan merupakan minat sebenar saya.

"Sekitar dua tahun lepas, saya bermula dengan reviu makanan menerusi blog. Kemudian saya sedar dah ramai buat benda sama, jadi saya mula buat video di Instagram. Kini, saya juga buat video di TikTok.

"Selain buat content untuk media sosial sendiri, saya juga bekerja sebagai content creator untuk KL Foodie," ujar Daniel lagi.

daniel6

Daniel sebelum ini pernah menyambung pengajian di Amerika Syarikat selama empat tahun.

Menurut Daniel, penghasilan video reviu makanan dalam bahasa Melayu turut dijadikan sebagai latihan untuknya dalam memperkasakan penguasaan bahasa kebangsaan.

"Saya buat content dalam bahasa Melayu sebab saya memang nak belajar. Dulu saya sekolah antarabangsa, kemudian empat tahun belajar di AS.

"Bahasa Melayu saya kurang fasih, tapi saya nak cuba perbaiki lagi. Apabila bercakap mengenai makanan, bahasa saya OK. Tapi bila bercakap isu lain, terus jadi kurang fasih," ujar Daniel yang meminati vlogger dan YouTuber makanan terkenal, Mark Wiens.

Dalam pada itu, Daniel turut menzahirkan penghargaan buat semua individu yang tidak jemu memberikan sokongan buatnya di media sosial.

Kata Daniel, dia juga merancang untuk menerokai negeri-negeri lain dalam Malaysia untuk mencuba keunikan juadah mereka pada masa akan datang.

"Kepada pengikut yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya, terima kasih sangat-sangat. Tanpa anda, siapalah saya?

"Saya ada banyak lagi idea untuk diketengahkan. Sokongan anda sudah tentu membuatkan saya gembira," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain