suria

Pemuda dalam video berlakon cacat bersuara, mohon maaf gagal sampaikan mesej sebenar... mahu jumpa Ras Adiba

Foto kanan Iswan tampil menjelaskan perkara sebenar berhubung video kontroversi.

SEORANG daripada dua pemuda dalam video berlakon sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) tampil memberi penjelasan berhubung video kontroversi.

Video berdurasi 37 saat yang tular itu mendapat kecaman ramai selepas berpura-pura berlakon sebagai OKU semata-mata mahu meletakkan kenderaan di tempat letak kereta yang dikhaskan untuk OKU di sebuah pusat beli-belah.

Bercakap kepada mStar, pemuda berkenaan, Noriswan Ishak berkata, seorang rakannya yang berlakon seperti orang cacat di dalam video tersebut sebenarnya bukan pemegang kad OKU.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh pemuda berlakon cacat, salah guna parking khas... Ras Adiba beri amaran, desak minta maaf kepada semua OKU!

Sebaliknya, kata Iswan, rakan lelakinya yang berusia 26 tahun itu hanya mengalami sumbing lelangit dan masalah pertuturan.

"Kawan saya bukan OKU, dia cuma sumbing. Dia tak ada masalah tangan dan kaki macam dalam video.

"Semuanya sekadar lakonan. Saya yang rancang dan minta dia berlakon sebagai OKU," katanya pemuda berusia 29 tahun itu ketika dihubungi.

viral berlakon oku 3

Satu lagi rakaman menunjukkan seorang pemuda berlakon sebagai OKU.

Lebih dikenali sebagai 'Dak Ayam' di media sosial, Iswan mendakwa pada asalnya video tersebut dibuat untuk menyampaikan teguran mengenai sikap segelintir masyarakat yang sering meminggirkan golongan OKU.

"Orang-orang OKU di mata segelintir masyarakat, kejap ada, kejap tak ada. Saya sendiri ada kenalan dan pengikut di laman sosial dalam kalangan OKU, dan mereka meluahkannya.

"Contohnya parking untuk OKU, ada masyarakat yang bukan OKU menyalahgunakan parking OKU. Ada yang selamba je guna parking OKU atau sanggup berlakon sebagai OKU.

"Video tu untuk beri mesej mewakili OKU. Kalau OKU bersuara, kadang-kadang orang kita akan memperlekehkan mereka. Sudut pandangan mereka seperti disisihkan," katanya yang berasal dari Tampin, Negeri Sembilan.

pemuda jawab video jadi oku 3

Iswan mahu menyuarakan pandangan bagi komuniti OKU.

Bapa kepada seorang anak itu bagaimanapun mengakui dirinya terlepas pandang untuk mengakhiri video tersebut dengan nasihat atau larangan kepada masyarakat.

"Saya akui ada sesuatu yang terlepas pandang kat hujung video. Patutnya saya nak beri amaran bahawa perangai seperti lakonan di dalam video adalah tidak baik untuk dilakukan.

"Tapi saya terlepas pandang, mesej saya mungkin tak sampai sebab tak lengkap. Saya minta maaf sebab salah saya.

Saya minta maaf sekiranya tindakan kami telah menyinggung perasaan komuniti OKU. Tapi realitinya dalam video tu berlaku dalam masyarakat kita

NORISWAN ISHAK

"Ia bukan disengajakan, sebab tempat letak kereta di dalam video itu pun bukanlah parking OKU tapi ia sebenarnya untuk orang awam.

"Saya minta maaf sekiranya tindakan kami telah menyinggung perasaan komuniti OKU. Tapi realitinya dalam video tu berlaku dalam masyarakat kita," ujarnya sambil menambah pernah membuat beberapa video di aplikasi TikTok bagi mewakili individu tertentu yang mempunyai kekurangan diri.

ras adiba radzi

Iswan berhasrat untuk bertemu Ras Adiba bagi membantu golongan OKU. foto instagram rasdibaradzi

Iswan yang merupakan pekerja kilang itu turut menyedari pandangan yang dilontarkan oleh Ahli Dewan Negara (Wakil OKU), Senator Datuk Ras Adiba Radzi yang menyelar tindakannya bersama rakan sebagai biadab.

"Jika diberi peluang, saya berhasrat untuk bertemu dengan Datuk Ras Adiba bagi membincangkan mengenai hasrat saya untuk ke depan dalam membantu golongan OKU.

"Niat saya untuk membantu OKU, seperti menggunakan platform aplikasi TikTok. Apa yang boleh lakukan di pihak saya, saya akan cuba bantu," katanya.

Terdahulu, Ras Adiba yang juga Presiden Persatuan OKU Sentral menerusi satu video yang dikongsi di laman sosial beliau turut memberi amaran kedua-dua pemuda itu dengan mendesak supaya mereka membuat permohonan maaf kepada komuniti OKU.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain