suria

Sakit kepala teruk selepas pulang bercuti, wanita ini sangka pembuluh darah pecah... rupa-rupanya sebab lain - “Macam orang pulas urat”

Yana mengalami sakit kepala keterlaluan selepas pulang bercuti dan akhirnya dikesan mengalami jangkitan kuman pada rongga sinus.

DISANGKA berpunca daripada stres, tetapi rupa-rupanya sakit kepala yang ditanggung wanita ini selama seminggu mempunyai kaitan dengan jangkitan kuman!

Menurut wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Yana Ismail, segala-galanya bermula selepas dia dan keluarganya pulang ke rumah selepas bercuti selama beberapa hari di Pulau Pinang.

"Memandangkan dah lama tak bawa anak-anak berjalan sebab larangan rentas negeri dan saya juga sibuk dengan bisnes online, maka baru-baru ini saya ambil peluang bercuti dengan keluarga.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerap sakit kepala sebelum wajah senget, pegawai polis wanita terkejut hidap sakit buah pinggang tahap 5! - “Mulanya saya lari sebab tak nak masuk wad”

ARTIKEL BERKAITAN: Sakit kepala tak tertanggung, ubat hospital tak berkesan, lelaki ini buat ujian mental sendiri - “Saya menangis, luah segalanya kepada doktor”

"Balik je bercuti, saya mula rasa sakit kepala. Saya tak pernah dan jarang sakit kepala. Suami syak mungkin sebab stres. Saya ambil panadol dan ubat farmasi saja untuk redakan rasa sakit.

"Seboleh-bolehnya saya nak elak ke hospital sebab sekarang ni kan musim Covid-19.

"Saya tak ada migrain pun selama ini. Tapi tiga hari berlalu, sakit kepala masih tak reda walau telan panadol. Masuk hari keempat, saya tak tahan dah dan pergi ke hospital," ujar wanita berusia 30an yang juga pengasas produk makanan, Bilis Menangis ini.

Menurutnya, doktor mengesyaki dia diserang migrain lantas dia diberikan ubat serta suntikan ubat tahan sakit dan kemudiannya dibenarkan pulang.

"Masa tu saya dah overthinking... saya takut ia disebabkan pembuluh darah pecahlah, ketumbuhanlah. Lebih-lebih lagi ada sepupu saya sakit kepala sampai pengsan kerana pembuluh darah pecah. Dia masih koma sehingga kini.

"Saya rasa dunia ni gelap walaupun boleh bernafas... macam-macam saya fikir terutama apa akan jadi pada anak-anak kecil saya," ujar ibu kepada dua cahaya mata berusia tiga tahun dan setahun setengah ini.

yana 1

Empat hari menahan sakit di rumah, Yana bertekad untuk mendapatkan rawatan di hospital.

Yana berkata sungguhpun diberikan suntikan ubat yang sedikit kuat, sakit kepalanya masih berlarutan selama enam hari.

"Hari ketujuh, saya mula muntah, cirit-birit dan lemah sangat... badan tak boleh nak tahan. Sakitnya macam orang pulas dan tarik-tarik urat kepala.

"Adik dan mak datang ambil saya dan bawa ke hospital. Saya nak sangat buat CT scan sebab nak tahu apa yang jadi punca sakit kepala ni. Saya bimbang nanti terlambat dapatkan rawatan.

"Nasib saya baik tak perlu tunggu lama. Doktor buat CT scan dan terus dapat keputusan hari itu juga. Akhirnya doktor maklumkan sakit kepala saya tak ada kaitan dengan otak dan pembuluh darah sebaliknya ada jangkitan kuman di bahagian rongga sinus

Hari ketujuh, saya mula muntah, cirit-birit dan lemah sangat... badan tak boleh nak tahan. Sakitnya macam orang pulas dan tarik-tarik urat kepala.

YANA ISMAIL

"Saya rasa nak sujud syukur sebab merasakan Allah bagi nyawa sekali lagi pada saya," ujarnya yang menetap di Putrajaya.

Buat masa ini, Yana berkata dia bergantung kepada ubat antibiotik yang diberikan kepada doktor.

"Alhamdulillah, berkurang sikit sakitnya. Doktor kata kalau antibiotik tak berkesan, saya akan dirujuk kepada pakar telinga, hidung dan tekak (ENT)," katanya.

Tidak menyangka video yang dimuat naik olehnya meraih melebihi 146,000 jumlah tontonan, Yana berharap perkongsiannya dapat memberi peringatan kepada orang lain agar tidak mengambil ringan dengan kesihatan masing-masing.

yana 2

Keadaan Yana yang lemah selepas menahan sakit kepala, muntah dan cirit-birit.

"Mesej penting, elok cepat-cepat pergi hospital walau migrain biasa. Buat check-up, jangan berkira duit ringgit. Kesihatan ni jaga macam mana pun, kalau Tuhan nak bagi sakit, tak boleh buat apa.

"Jadi mulakanlah jaga pemakanan, jangan makan berlebihan. Dan selagi ada nikmat masa dan kesihatan, luangkanlah masa dengan insan tersayang. Kalau terjadi apa-apa, tak boleh patah balik," ujarnya sambil turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang turut mendoakan kesihatannya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Harry Maguire jadi sasaran Chelsea