suria

Seriusnya! PM umum boleh rentas negeri, nenek terus buat pengumuman penting untuk anak cucu - “Datang jumpa opah!”

Hazizah mahu anak-anak, cucu dan cicitnya datang berjumpa kerana kerajaan telah beri kebenaran untuk merentas negeri.

"OPAH nak umumkan, esok boleh rentas negeri. Datang jumpa opah!"

Begitulah sedutan ucapan seorang warga emas dalam sebuah video yang dimuat naik oleh cucunya pada Ahad malam.

Pengumuman yang nampak serius dan penting itu dikongsi bersama ahli keluarga yang lain dengan harapan mereka semua dapat bertemu kembali selepas kerajaan memberi kebenaran untuk merentas negeri.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda korbankan kerjaya di KL, sanggup balik kampung ‘kerja’ bertahun tanpa cuti jaga bapa ada penyakit 3 serangkai, bermacam sakit lain

ARTIKEL BERKAITAN: Melepas rindu di pusara! Tak puas 2 kali ‘jumpa’ atok abah, cucu tak nak tinggalkan kubur selagi tak dapat ziarah kali ketiga

Berkongsi kisahnya bersama mStar, Nur Amirah Najihah Johari, 25, memberitahu bahawa video neneknya, Hazizah Abdul Rahman, 75, dirakam secara spontan oleh saudara-maranya yang menetap di Seksyen 4, Bangi.

Apa yang lebih menarik, warga emas itu langsung tidak kelihatan kekok apabila disuruh memberi ucapan di hadapan kamera untuk tatapan sembilan anak, 29 cucu dan tujuh cicitnya.

Nur Amirah memuat naik berdurasi 28 saat itu di media sosial sebagai kenangan dan setakat ini meraih hampir 2,000 tontonan di TikTok.

"Opah saya ni jenis sporting dan kelakar, dia ikutkan je cucu-cucunya nak rekod video. Dia memang dah terlalu rindukan kami semua sebab itulah excited nak buat video tu.

"Lebih-lebih lagi opah saya ni seorang yang banyak cakap dan selalu nak bagi ucapan. Jadi saudara mara pun terfikir nak bagi opah berucap siap dengan mikrofon yang ada.

IMG_0901

Amyra (baju kuning) mempunyai hubungan yang rapat dengan neneknya.

"Video itu daripada grup WhatsApp keluarga mak saya dan kemudian edit sikit dekat TikTok, saja post di media sosial sebagai kenang-kenangan," katanya yang menetap bersama keluarganya di Gelung Pepuyu, Bota, Perak.

Mesra disapa Amyra, katanya, dia sudah lama tidak berjumpa dengan nenek dan ahli keluarga yang lain disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Walaupun masih boleh berhubung melalui telefon, namun ia masih tidak dapat mengubati rindu seorang cucu terhadap neneknya.

"Opah ni pun dah hampir setahun saya tak berjumpa dengan dia, hanya dapat bercakap dan video call melalui telefon sahaja sepanjang PKP.

"Dia suka bersembang dengan saya sebab saya jenis banyak bercakap juga.

"Rindu nak dengar cerita dia yang lucu, sebab opah suka buat lawak dan meriahkan suasana keluarga kami. Waktu PKP dulu opah kerap sakit, tak ada selera makan dan selalu sakit dada.

Sebab di sebalik kasih sayang mak ayah, atuk dan nenek juga la insan yang selalu mengambil berat tentang kita.

NUR AMIRAH NAJIHAH JOHARI

"Dah bawa pergi check sampai kena tahan wad sebab doktor suspek tibi. Tapi selepas beberapa kali buat pemeriksaan, bukan tibi cuma jantung opah sedikit lemah.

"Maklumlah, orangnya pun sudah berumur. Alhamdulillah, sekarang dah okay sikit," katanya yang membuat bisnes menjual produk kecantikan secara online.

Anak bongsu daripada empat beradik ini mengakui tidak sabar untuk bertemu dengan neneknya semula memandangkan kerajaan telah memberi kebenaran untuk merentas negeri.

Dia juga berpesan agar rakyat Malaysia sentiasa mematuhi segala langkah keselamatan yang telah ditetapkan oleh kerajaan sebelum pulang ke kampung.

"Asalnya kami memang nak melawat opah minggu ni di Bangi, tapi dia cakap nak datang ke Perak dalam masa terdekat. Sebab opah pun memang asal duduk di Perak, dekat je dengan rumah saya.

"Tapi sejak atuk saya dah tiada, opah tinggal di Bangi bersama anak-anaknya. Masa saya kecil dulu opah la yang selalu menjaga saya.

IMG_0897

Hazizah (baris kedua, tengah) dikurniakan sembilan cahaya mata, 29 cucu dan tujuh cicit.

"Jadi pesanan saya, hargailah atuk dan nenek kita semua. Sebab di sebalik kasih sayang mak ayah, atuk dan nenek juga la insan yang selalu mengambil berat tentang kita.

"Paling penting sekali sebelum nak balik jumpa atuk nenek atau keluarga, pastikan buat Covid test dulu dan patuhi SOP," katanya.

Pada Ahad, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat pengumuman bahawa rakyat Malaysia yang sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19 boleh merentas negeri untuk bertemu keluarga atau melancong.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain