suria

Di sebalik ketegasan ajar adik mengaji, abang dedah adiknya lebih ‘gerun’ berguru dengan bapa - “Beza sungguh bila mama tiada”

Shah mengambil tugas mengajar adik bongsunya mengaji Al-Quran ketika berkelapangan.

KEBIASAANNYA kita melihat bapa atau ibu yang mengajar anak-anak mereka mengaji al-Quran.

Bagaimanapun video yang tular di media sosial baru-baru ini memaparkan seorang pemuda menjadi 'guru' kepada adik perempuannya sambil menegur kesilapan bacaannya.

Apa yang menarik perhatian netizen bukan sahaja kebolehan pemuda tersebut, tetapi sikap tegasnya ketika mengajar si adik.

ARTIKEL BERKAITAN: Niat yang betul, tidak harapkan pujian... graduan UiTM ini kongsi rahsia berjaya hafaz al-Quran dalam masa 40 hari!

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar laung azan nak suruh kawan berhenti main futsal... Sudahnya jadi rebutan nak dibuat calon menantu

Menurut Mohamad Shahir Mohamad Shahimi, dia akan mengambil tanggungjawab mengajar adik bongsunya yang berusia 13 tahun itu ketika mempunyai kelapangan atau ketika bapanya tiada di rumah.

"Kalau ayah ada, ayah yang akan ajar adik selepas solat Maghrib. Kalau hari bekerja, saya pulang rumah pukul 8 malam, memang tak sempatlah dan ayah yang ajar.

"Tapi jika saya berkelapangan, sayalah yang ajar adik. Dalam video tu ramai komen saya tegas. Adik-adik memang tahu saya macam mana... mereka tahu saya tegas tapi tegas yang bertempat, contohnya masa mengaji.

"Tapi kalau di luar situasi yang serius, mereka selalu je bergurau dengan saya. Kalau nak banding siapa lagi tegas antara ayah atau saya masa mengajar, ayah lagi tegas sebenarnya. Kalau ayah ajar, muka adik memang lain... tak berani main-main," ujarnya yang senang disapa sebagai Shah.

arwah ibu 2

Arwah ibu Shah (tudung biru) ketika menjalani rawatan kemoterapi di hospital.

Menurut pemuda berusia 22 tahun ini, dia yang merupakan anak keempat daripada enam adik beradik menggalas tanggungjawab untuk menjaga bapa dan dua adik perempuannya memandangkan adik beradik yang lain sudah berumah tangga.

"Dua kakak dan seorang abang sudah berkahwin dan tinggal dengan keluarga masing-masing. Selain ayah, sayalah yang galas tanggungjawab jaga dua adik di rumah ini memandangkan mama kami sudah meninggal dunia," ujarnya yang menetap di Kulim, Kedah.

Menurut Shah, ibunya meninggal dunia pada 2018 kerana menghidap kanser limfoma.

arwah ibu 1

Foto kenangan arwah ibu bersama adik bongsu.

"Beza sungguh kehidupan bila mama tiada. Adik-adik masih kecil masa mama 'pergi' dan perlukan lebih perhatian lebih-lebih lagi mereka perempuan. Kini dah meningkat usia, seorang berumur 18 tahun dan seorang lagi 13 tahun.

"Sebelum mama meninggal dunia, mama pesan macam-macam terutama minta fokus kepada adik bongsu sebab dia kecil lagi. Mama hantar kami semua bersekolah di Maktab Mahmud kerana menekankan keseimbangan antara akademi dan juga agama.

Bagi saya sebagai lelaki, kena juga ada pengetahuan dalam bab mengaji. Tak kisahlah kita dari sekolah agama atau sekolah biasa.

MOHAMAD SHAHIR MOHAMAD SHAHIMI

"Mama juga sebelum ini jadi guru mengajar al-Quran untuk anak-anak di sekitar taman perumahan. Jadi kami cuba sedaya upaya sambung apa yang mama dah buat untuk adik bongsu pula.

"Saya ni tidaklah pandai sangat bab makhraj atau tajwid, tapi saya cuba apa yang saya mampu saja," katanya yang bekerja sebagai anggota Airport Fire and Rescue Services (AFRS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Tidak menyangka videonya menarik perhatian, Shah berkata dia terharu apabila membaca komen-komen positif daripada netizen.

keluarga shahir

Potret raya keluarga Shah kurang 'berseri' selepas ketiadaan arwah ibu.

"Bagi saya sebagai lelaki, kena juga ada pengetahuan dalam bab mengaji. Tak kisahlah kita dari sekolah agama atau sekolah biasa. Sama seperti solat, kita juga dituntut untuk membaca al-Quran kerana ia juga bacaan dalam solat.

"Tapi seronok sebab banyak sangat komen lucu. Kebanyakannya sangka saya garang... tapi tak pun," ujarnya lagi.

Sehingga kini, video yang dimuat naik oleh Shahir meraih hampir 30,000 jumlah tontonan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain