suria

Selalu dinilai sebagai fizikal ‘terbantut’, tanpa makan ubat tambah ketinggian pun gadis ini mampu jadi guru silat

Sungguhpun bertubuh badan comel, Izzah tidak menjadikan fizikalnya sebagai penghalang malah dia kini merupakan penolong jurulatih silat.

BAGI kebanyakan orang, wanita yang mempunyai tubuh genit sememangnya kelihatan comel.

Malah dek kerana saiz tubuh yang comel itu juga membuatkan mereka kelihatan lebih muda daripada usia sebenar atau kadang kala disalah anggap sebagai pelajar sekolah.

Baru-baru ini seorang gadis menjadi perhatian netizen selepas videonya yang mengimbas kembali buku rekod kesihatan sewaktu masih bergelar pelajar, menjadi tular di aplikasi TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah boleh agak, wanita pasrah kena panjat bakul untuk imbas suhu badan – “Punyalah saya jengket, lompat tapi tak berjaya”

ARTIKEL BERKAITAN: Kenal masa main game online, wanita genit comel tak sangka gurauan ajak kahwin jadi nyata... paling terharu keluarga mentua tak memilih

"Penuh dengan terbantut weiii sumpah!" tulisnya pada kapsyen video berkenaan.

Menerusi video berdurasi 44 saat itu, gadis berkenaan berkongsi ulasan perkembangan fizikal yang ditulis di dalam buku rekod kesihatannya itu, yang mana tumbesarannya diklasifikasikan sebagai 'terbantut teruk' dan 'terbantut' sebanyak beberapa kali sepanjang tempoh persekolahan.

Sehingga kini video berkenaan meraih lebih 70,000 jumlah tontonan.

Menurut Nurul Izzah Syahirah Azmi, dia sememangnya mempunyai saiz tubuh badan yang agak comel sejak kecil jika dibandingkan dengan rakan-rakan seusianya yang lain.

"Saya bukan sahaja pelajar yang mempunyai saiz tubuh paling comel dalam kelas, malah seluruh tingkatan. Masa darjah 1, tinggi saya 100.5cm seperti mana yang ditulis di dalam buku rekod kesihatan berkenaan.

"Setiap kali waktu perhimpunan, saya kena beratur depan sekali. Dari darjah 1 sehinggalah tingkatan 5.... memang saya pelajar paling depan. Tak boleh nak elak, itulah tempat tetap saya.

bantut 3

Walaupun fizikalnya agak genit, namun Izzah sangat aktif di sekolah.

"Kalau berdiri dengan rakan sekelas masa sekolah menengah, saya di paras bahu mereka sahaja," ujar gadis berusia 18 tahun ini kepada mStar.

Lebih senang disapa sebagai Izzah, dia ketika ini mempunyai ketinggian 142cm dengan berat 45 kilogram.

Tambah Izzah, disebabkan saiz tubuh badannya yang comel itu juga, dia tidak terlepas menjadi mangsa ejekan dan usikan rakan-rakan sekolahnya yang lain terutama pelajar lelaki.

"Bohonglah kalau tak pernah kena ejek atau usik. Ada yang pernah cakap 'kau salah sekolah... sepatutnya kena ke sekolah rendah dekat sebelah'. Ada juga yang usik bila saya bawa motosikal ke sekolah dan tanya 'kaki saya sampai tak?'

bantut 4

Izzah (kiri) bersama rakan-rakannya ketika sekolah menengah.

"Saya tahu itu gurauan tapi kalau selalu, sakit hati juga. Saya akan balas kembali, walaupun tubuh kecil, tapi saya tetap mampu buat apa yang pelajar lain boleh buat. Kadang-kadang ada juga orang yang saiz normal tak mampu capai apa yang saya capai.

"Saya bukan seorang yang menjadikan fizikal diri sebagai penghalang. Malah saya aktif dalam bidang ko-kurikulum dari sekolah rendah hingga sekolah menengah, antaranya seni silat gayung. Malah saya pernah wakili negeri dalam pertandingan silat sekolah-sekolah di Malaysia.

"Kini saya dilantik sebagai penolong jurulatih silat gayung di samping menjalankan bisnes snek makanan," ujarnya yang kini sedang menyambung pengajian tingkatan 6 di Kolej Tingkatan 6 Shah Alam.

Saya bukan seorang yang menjadikan fizikal diri sebagai penghalang. Malah saya aktif dalam bidang ko-kurikulum dari sekolah rendah hingga sekolah menengah.

NURUL IZZAH SYAHIRAH AZMI

Bercerita lebih lanjut, Izzah berkata hanya dirinya sahaja yang mempunyai tubuh genit dalam kesemua adik beradiknya.

"Adik beradik saya yang lain normal sahaja ketinggian mereka. Ibu dan ayah pun sama... mereka tak tinggi sangat tapi biasa-biasa saja. Selalu juga orang ingat saya paling bongsu sedangkan saya ada adik," ujar anak kelima daripada enam orang adik beradik ini.

Dedah Izzah lagi, dia juga hampir terjebak untuk mengambil 'supplement' yang dikatakan mampu menambah ketinggian seseorang yang diiklankan secara meluas di media sosial.

"Jujurnya saya hampir-hampir terpengaruh. Namun ibu kata mengapa saya perlu buat macam itu sedangkan saya juga mampu jadi seperti orang lain malah ada yang saya capai, orang lain tak mampu buat.

"Jadi bila fikir-fikir balik, saya setuju dengan pandangan ibu," ujar gadis yang menetap di Puchong ini.

bantut 2

Izzah (tiga, kanan) bersama ahli keluarganya.

Tidak menyangka perkongsiannya menjadi perhatian, Izzah berkata dia sekadar berkongsi kisah dirinya dan dalam masa yang sama berharap ia dapat memberi mesej kepada individu lain yang mungkin berasa diri mereka serba kekurangan.

"Apa yang penting, yakin kepada diri sendiri. Jangan kuburkan impian kita semata-mata sebab dengar cakap orang. Ketepikan kata-kata negatif orang tentang diri kita. Sayangi diri sendiri dan sentiasa ingatkan bahawa kita adalah individu istimewa," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain