suria

Kenal masa main game online, wanita genit comel tak sangka gurauan ajak kahwin jadi nyata... paling terharu keluarga mentua tak memilih

Hubungan yang bermula ketika sama-sama bermain permainan scara online akhirnya selamat disatukan sebagai suami isteri.

CINTA sejati lahir daripada hati, bukan bersandarkan rupa paras atau keadaan fizikal seseorang.

Begitulah juga kisah dengan pasangan pengantin baru ini yang menjadi perhatian netizen selepas video mereka tular di aplikasi TikTok.

Menerusi video berkenaan, jelas terpancar kegembiraan di wajah kedua-dua mempelai ketika mengabadikan kenangan melakukan 'photoshoot outdoor' selepas sah disatukan.

ARTIKEL BERKAITAN: Maaflah dah 19 tahun tiada tangan! Terima pakwe OKU bukan sebab harta, rupa... “Bagi saya dia tiada kekurangan”

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki kenal di PUBG nak datang rumah, gadis lumpuh akui susah nak bagi ‘green light’ sebab tak yakin... akhirnya naik pelamin jua!

Apa yang menarik perhatian, pengantin perempuan tersebut yang bertubuh genit kelihatan begitu comel ketika 'berposing' bersebelahan suami, di mana ketinggiannya berada di bawah paras bahu lelaki tersebut.

Sehingga kini video berkenaan sudah meraih lebih 2.6 juta tontonan di aplikasi TikTok.

Berkongsi cerita dengan mStar, pengantin perempuan di dalam video berkenaan Syakila Norazma Amira berkata dia dan suami, Muhammad Azri diijabkabulkan selepas sembilan bulan mengenali hati budi masing-masing.



Pasangan ini diijabkabulkan selepas sembilan bulan mengenali hati budi masing-masing.

"Awalnya saya kenal dengan suami saya melalui game (online). Walaupun dah pernah jumpa depan-depan tapi tak sangka dengan berkenalan dan perbualan dalam game kami boleh kenal lebih rapat sampai kahwin.

"Pada 10 Mei tahun lalu kami mula bercinta. Februari lalu kami bertunang dan perancangan dari tahun lepas memang nak kahwin bulan Mac. Alhamdulillah Allah permudahkan segalanya," katanya yang selamat menjadi isteri pada 18 Mac baru-baru ini.

Bercerita lebih lanjut, wanita berusia 27 tahun ini yang senang disapa sebagai Syakila berkata, dia pada mulanya sekadar bergurau mengajak suaminya berkahwin.



Pasangan mempelai bersama keluarga di sebelah pengantin perempuan.

"Saya yang ajak dia nikah. Awal-awal niat bergurau. Saya cakap kalau berani jumpa keluarga untuk mohon restu. Tapi dia berani datang dan berbincang.

"Dia pun bawa saya bertemu dengan keluarganya. Mak suami kata dia tak memilih menantu dan serahkan kepada anaknya," katanya yang berasal daru Hulu Terengganu.

Bersaiz 'comel' dengan ketinggian 118 sentimeter (cm) dengan berat 20 kilogram (kg), Syakila bersyukur apabila suami dan keluarga mentua menerima dirinya seadanya.

Saya yang ajak dia nikah. Awal-awal niat bergurau. Saya cakap kalau berani jumpa keluarga untuk mohon restu. Tapi dia berani datang dan berbincang.

SYAKILA

PENGANTIN PEREMPUAN

"Saya rasa terharu sebab suami seorang lelaki yang normal fizikalnya namun boleh terima orang yang serba kekurangan seperti saya untuk dijadikan isteri.

"Setakat ni Alhamdulillah... jarang kena ejek. Memang ada juga orang salah sangka sebab fizikal saya, mereka fikir saya kanak-kanak," katanya.

Tidak menyangka perkongsian video tersebut menjadi viral, Syakila turut berterima kasih kepada netizen yang menitipkan doa dan kata-kata ucapan positif untuk rumah tangga yang baharu dibinanya.



Syakila dan suami bersama ibu bapa masing-masing.

"Ada yang cakap comel, ada yang cakap cute tapi saya biasa-biasa saja. Saya nak ucap terima kasih yang doakan baik-baik untuk saya. Yang doakan saya dapat zuriat pun terima kasih.

"Saya baca yang orang komen negatif tapi tak ambil hati sangat. Yang penting saya dah kawin dah bahagia dengan suami. Suami saya sendiri pun tak pernah hina saya

"Apapun yakin dengan takdir Tuhan. Kalau jodoh, muka buruk saiz badan besar gemuk sekali pun kalau dah ditetapkan kita berjodoh tetap akan berkahwin jua," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain