suria

Kisah sama macam Shuib, rider masih harap keajaiban selepas isteri 9 hari ditidurkan - “Belum ada kekuatan baca kisah arwah Siti Sarah”

Isteri Mohd Zulkifli, Siti Faiqah terpaksa ditidurkan kerana kandungan oksigen dalam darahnya semakin rendah.

PEMERGIAN penyanyi Siti Sarah Raisuddin kerana dijangkiti Covid-19 pada Isnin lalu cukup memberi kesan kepada seluruh rakyat negara ini.

Allahyarhamah Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir selepas dia ditidurkan tanpa sempat menatap bayi lelaki yang dikandungnya selama lapan bulan yang dikeluarkan secara pembedahan bagi menyelamatkan nyawa.

Sejak diberitakan meninggal dunia, media sosial bukan sahaja dibanjiri dengan perkongsian mengenai isteri kepada pelawak terkenal, Shuib Sepahtu itu, malah kisah wanita hamil yang sedang bertarung nyawa dan meninggal dunia kerana dijangkiti Covid-19 sebagaimana arwah Siti Sarah turut mendapat perhatian masyarakat.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya terduduk di liang lahad... selamat berehat ibu” - Dah urus beratus jenazah pesakit Covid-19, lelaki ini tak sangka salah seorangnya emak sendiri!

ARTIKEL BERKAITAN: “Nak tulis wasiat” - Itu permintaan terakhir pesakit kanser mangsa Covid-19 sebelum ‘ditidurkan’... saat itu bayangkan frontliner tanpa PPE, pasti segala-galanya terbongkar!

Perkongsian seorang lekaki, Mohd Zulkifli Mohamad Isa di Facebook mengenai keadaan isterinya, Siti Faiqah Sulaiman yang sedang bertarung nyawa kerana dijangkiti virus tersebut dalam keadaan sarat hamil, turut mengundang sebak netizen.

Berkongsi cerita dengan mStar, Mohd Zulkifli berkata kini isterinya sudah sembilan hari tidak sedarkan diri selepas ditidurkan pada 4 Ogos lalu.

Menurut Mohd Zulkifli, bayi lelakinya juga sudah dikeluarkan secara pembedahan dan kini sedang ditempatkan di dalam wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) kerana dilahirkan pramatang.

Mengimbas kembali tragedi duka yang menimpa, Mohd Zulkifli berkata isterinya disahkan positif Covid-19 pada 14 Julai selepas mendapat jangkitan di tempat kerja.

"Pada mulanya isteri dimasukkan ke hospital sebab dia mengandung tujuh bulan. Dalam masa yang sama, saya dan anak sulung kami yang berusia setahun lapan bulan pun positif namun dikuarantin di rumah.

"Pada 21 Julai, isteri dibenarkan keluar, saya dan anak pula potong gelang pada 28 Julai. Kebetulan hari yang sama, isteri dapat temu janji vaksin dan selepas mendapat pandangan doktor, saya bawa isteri dapatkan suntikan.

koma baru 1

Keadaan isteri Mohd Zulkifli, Siti Faiqah masih kritikal setakat hari ini (12 Ogos).

"Semuanya okay namun dua hari selepasnya, isteri mengadu penat dan mula demam. Saya fikir ia kesan sampingan vaksin... memang fikir positif je. Namun keesokannya, dia call saya beritahu memang tak larat sangat dan selepas tiba di rumah, saya terus bawa pergi hospital," cerita lelaki berusia 34 tahun ini.

Tambah Mohd Zulkifli, keesokannya, dia dimaklumkan kandungan oksigen di dalam darah (Spo2) isterinya juga menurun ke paras yang sangat rendah, dan kemudian dia dihubungi oleh doktor bagi meminta kebenaran kerana isterinya perlu ditidurkan.

"Saya tiba di hospital dan doktor terangkan prosedur untuk isteri saya. Kata doktor, untuk keselamatan, isteri saya perlu ditidurkan dan pakar sakit puan akan buat keputusan mengenai pembedahan keluarkan baby.

"Tanpa alat bantuan pernafasan, oksigennya sekitar 51 peratus sahaja. Doktor minta banyakkan berdoa. Rupa-rupanya petang itu juga baby terpaksa dikeluarkan dan saya beri kebenaran.

"Terlalu cepat setiap perkhabaran yang diterima. Kali terakhir saya tatap wajah isteri adalah sebelum dia disorong ke dewan pembedahan," ujarnya yang bekerja sebagai penghantar makanan.

Saya berada dalam situasi yang pernah dilalui oleh Shuib... kini apa yang saya lakukan adalah teruskan berdoa.

MOHD ZULKIFLI MOHAMAD ISA

Bercerita lebih lanjut, Mohd Zulfkifli berkata sehingga kini (artikel ditulis), keadaan isterinya masih kritikal kerana lebih 75 peratus paru-parunya terkena jangkitan.

"Saya sendiri tak lalu makan... tak senang nak buat kerja memikirkan isteri dan bayi kami, lebih-lebih lagi mereka berdua ditempatkan di hospital berasingan.

"Setiap hari doktor akan update mengenai keadaan isteri... tiada apa yang saya harapkan melainkan keajaiban daripada doa-doa yang dipanjatkan. Salah satu sebab saya kongsi di Facebook adalah kerana mohon orang ramai doakan isteri dan bayi kami.

"Selepas saya share posting mengenai isteri, selain daripada doa dan kata-kata semangat, ada juga saya terima DM daripada wanita yang hamil. Mereka luahkan rasa simpati, bertanya khabar tentang isteri malah mereka juga suarakan rasa bimbang sangat dengan kes Covid-19 sekarang," ujarnya yang menetap di Felda Bukit Cherakah, Kuala Selangor.

koma baru 2

Anak sulung Mohd Zulkifli yang kini berusia setahun lapan bulan.

Menurut lelaki ini lagi, dengan keadaan isterinya ketika ini, dia amat memahami apa yang dilalui oleh Shuib ketika ini.

"Saya sehingga kini masih belum mempunyai kekuatan untuk membaca kisah atau berita mengenai arwah Siti Sarah. Saya berada dalam situasi yang pernah dilalui oleh Shuib... kini apa yang saya lakukan adalah teruskan berdoa.

"Dalam masa yang sama, saya nak menyeru kepada semua orang... tolonglah jangan ambil remeh mengenai Covid-19. Keadaan ketika ini sangat bahaya. Elakkan keluar jika tiada urusan penting.

"Kami dah melaluinya. Saya harap daripada perkongsian ini, saya mohon orang ramai doakan isteri dan bayi saya serta dalam masa sama, ambil pedoman daripada apa yang sedang kami lalui," ujarnya lagi

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Ular sawa menyorok bawah katil kanak-kanak