suria

Kecoh penerima vaksin bergambar tepi semak, tergaru-garu digigit nyamuk... lelaki ini perjelas isu ‘bawa lari’ plakad – “Kalau ada dos ketiga, saya panjat bumbung parkir”

Foto kiri gambar yang tular di media sosial, foto kanan Jangkam Junis beri penjelasan.

PELBAGAI aksi dan ragam rakyat Malaysia merakamkan foto selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 sebagai tanda kenang-kenangan.

Namun, tular foto sekeping foto di media sosial menunjukkan seorang lelaki memegang plakad 'Saya sudah ambil dua dos' di tepi pokok di kawasan semak.

Ia menimbulkan kelucuan mengenai keberadaan lelaki berkenaan dan tanda tanya sehingga terdapat dakwaan plakad tersebut dibawa keluar dari pusat pemberian vaksin (PPV).

ARTIKEL BERKAITAN: Suara mengilai di PPV bikin meremang bulu roma, 'langsuir' mengaku pakai kostum buat sendiri... tapi pakai mask tak?

ARTIKEL BERKAITAN: Hebat! Usia 105 tahun, sikit pun tak 'termakan' cakap kawan anti vaksin di kedai kopi... selamat dapat suntikan pertama - "AyahPa kata dia okay"

"Dia nak buat souvenir lah tu," antara komen lucu netizen.

foto vaksin tepi pokok 4

Jangkam Junis sewaktu menerima dos pertama vaksin.

Hanya mahu dikenali sebagai Jangkam Junis, lelaki itu tampil memberi penjelasan berhubung foto dirinya yang dirakam selepas menerima suntikan dos kedua vaksin di PPV di Dewan Universiti Curtin di Miri, Sarawak pada 30 Julai lalu.

Lelaki berusia 43 tahun itu bagaimanapun menafikan foto yang dirakamkan oleh isterinya yang turut hadir bersama untuk menerima suntikan vaksin itu di luar kawasan PPV.

"Foto itu sebenarnya diambil di luar dewan selepas saya dan isteri terima dos kedua vaksin. Sepatutnya nak ambil gambar di tempat yang disediakan untuk fotografi.

"Tapi ketika itu agak ramai orang berbaris panjang nak ambil gambar juga. Saya pula nak cepat dan tidak mahu menunggu lama," katanya kepada mStar.

foto vaksin tepi pokok 2

Jangkam Junis dan isteri (bulatan) di tempat menunggu vaksin, dekat lokasinya bergambar.

Susulan itu, Jangkam Junis berkata, dia mengambil keputusan untuk mengambil salah satu plakad yang disediakan di luar dewan untuk bergambar di tepi pokok berdekatan.

"Ya, memang saya ambil gambar tepi pokok dan belakangnya ada semak. Tapi masih dalam kawasan dewan, dan pokok berkenaan sebenarnya bersebelahan dengan khemah tempat orang ramai duduk menunggu untuk menerima vaksin.

"Jarak pokok tempat saya berdiri tu hanya kira-kira lima meter dari dewan. Orang ramai boleh nampak saya posing, dirakamkan oleh isteri," ujarnya yang berasal dari Sibu.

foto vaksin tepi pokok 5

Gaya Jangkam Junis memakai pelitup muka di tepi semak.

Menurut bapa kepada seorang anak itu, tindakannya itu bukan sahaja membuatkan orang ramai tersenyum malah menimbulkan kehairanan isterinya.

"Isteri kata pelik nak ambil gambar di situ. Saya kata nak tampil kelainan. Lagipun tak nak beramai-ramai beratur kerana mahu patuh SOP (prosedur operasi standard).

Isteri kata pelik nak ambil gambar di situ. Saya kata nak tampil kelainan. Lagipun tak nak beramai-ramai beratur kerana mahu patuh SOP

JANGKAM JUNIS

"Tak lama pun saya bergambar tepi pokok tu, sebab banyak nyamuk. Tergaru-garu jugalah sebab gatal kena gigit nyamuk.

"Mujur ini ada dua dos vaksin je. Dos pertama saya bergambar di props yang disediakan, dos kedua di tepi pokok. Agaknya kalau ada dos ketiga, mungkin saya bergambar dalam semak atau panjat parkir berbumbung di PPV pula," ujarnya secara berseloroh.

foto vaksin tepi pokok 3

Berkesempatan bergambar di props di PPV Universiti Curtin.

Jangkam Junis yang merupakan juruteknik instrumen bagaimanapun mengakui terkejut apabila fotonya memegang plakad itu menjadi tular kerana dia menyangka ia dikongsi dalam kalangan rakan-rakan sahaja di Facebook.

"Rupa-rupanya gambar saya tu set secara public, habis tersebar di semua grup Facebook. Mana yang saya tahu, saya akan jawab di ruangan komen beri penjelasan.

"Ada yang komen okay dan melucukan, ada yang komen tak okay. Saya tak bawa lari pun plakad tu, ada anggota Rela dan pengawal keselamatan di situ, lagi pun buat apa nak curi.

"Lainlah saya bergambar dalam perahu ke, dalam rumah ke, dalam kereta ke, barulah dikata bawa balik. Lepas bergambar dekat tepi semak tu saya letak balik plakad tu," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain