suria

Mulanya intai, kemudian gilir-gilir tidur tepi Ghina... sang Bengal agresif berubah manja, sampaikan tak boleh berenggang! - “Menyesal terpengaruh cakap orang”

Gelagat Ghina dan kucing-kucing Bengal yang akrab menarik perhatian netizen.

KITA sering kali mendengar kata-kata kononnya ibu bapa tidak sesuai memelihara kucing sekiranya mempunyai bayi di rumah.

Ini kerana perkara tersebut dibimbangi akan mendatangkan kemudaratan terhadap kesihatan bayi kerana terdedah dengan hama, bulu dan sebagainya.

Namun berlainan pula dengan bayi perempuan ini yang kelihatan begitu mesra dan manja dengan kucing yang dipelihara keluarga angkatnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pantang jumpa mesti kutip! Ibu dedah perangai anak asyik bawa balik kucing jalanan, kini baru sedar dari dalam perut dah bagi banyak petunjuk

ARTIKEL BERKAITAN: “Mama minta maaf ya” - Kerana percayakan petua TikTok dari seberang... kutu hilang, kucing pun ‘bertukar’ jadi lebah

Bukan biasa-biasa, sebaliknya kucing-kucing yang dipelihara adalah daripada baka Bengal, yang terkenal dengan sifat semula jadinya yang aktif dan agresif.

Berkongsi cerita dengan mStar, Qasrina berkata dia sememangnya meminati baka Bengal dan memelihara kucing daripada baka ini sejak beberapa tahun lalu kerana tertarik dengan warna dan coraknya yang menyerupai harimau bintang.

Dedahnya yang senang disapa sebagai Qas, seperti kebanyakan individu lain, dia juga terdetik rasa bimbang dan takut apabila membuat keputusan untuk mengambil anak angkat.

"Jujurnya sebelum mengambil Ghina, saya dah jual tiga anak kucing Bengal sebab terpengaruh cakap-cakap orang mengenai risiko kucing kepada kesihatan bayi.

"Tambahan pula Ghina selepas dilahirkan terpaksa ditahan seketika di wad kerana ada masalah berkaitan pernafasan. Saya ingat lagi, masa mula-mula Ghina sampai di rumah ini, kucing-kucing Bengal datang intai-intai.

"Mula-mula mereka intai-intai dari jauh sahaja... tapi bila letak Ghina atas tilam di lantai, mereka makin dekat dan ada yang siap baring tepi tilam. Bergilir-gilir mereka tidur tepi Ghina.

bengal baru 2

Kucing Bengal peliharaan Qas 'mengintai' Ghina ketika baharu tiba di rumah.

"Saya perhati juga takut mereka hempap atau cakar... tapi sifat mereka begitu berlainan sekali... nampak macam nak cipta 'bonding'" ujarnya.

Cerita Qas, dua minggu selepas memelihara anak angkatnya, salah seekor kucing Bengal miliknya melahirkan anak dan apa yang aneh, kucing berkenaan letakkan anak-anaknya berdekatan Ghina.

"Sebelum ini kucing-kucing ini biasa saja tapi selepas beranak dan ada pula Ghina di rumah ini, mereka jadi terlebih manja dengan kita.

"Pernah Ghina baring atas perut, tarik ekor dan genggam bulu kucing-kucing ni tapi Alhamdulillah, kucing-kucing ini tak garang atau balas. Dah macam kawan baik pula.

bengal baru 1

Si bulus yang sentiasa menemani Ghina.

"Sekarang Ghina pun mencecah 11 bulan, tak pernah lagi ada insiden kena cakar atau sebagainya. Moga-moga dijauhkanlah.

"Dan menakjubkan, apabila bawa Ghina untuk pemeriksaan berjadualnya, tak ada masalah kesihatan malah doktor beritahu masalah pernafasan yang pernah dihidapinya sebelum ini juga tiada," ujar Qas yang juga pengasas produk kesihatan dan kecantikan ini.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Sering membuat perkongsian video keakraban Ghina dan kucing-kucingnya di TikTok, Qas berkata dia terharu apabila menerima komen positif daripada netizen yang kagum dengan hubungan anak angkat dan haiwan peliharaannya itu.

Namun ujarnya, dia tidak terkecuali menerima komen berunsur negatif terutama berkaitan kebersihan yang dibimbangi memudaratkan kesihatan anak angkatnya.

Sebelum ini kucing-kucing ini biasa saja tapi selepas beranak dan ada pula Ghina di rumah ini, mereka jadi terlebih manja dengan kita.

QAS

"Biasalah, ramai komen suarakan kebimbangan soal bulu kucing, hama dan sebagainya... takut mudaratkan kesihatan baby. Tapi saya ni dah pelihara lama, bab kebersihan memang perkara nombor satu yang kita jaga.

"Kucing-kucing ni memang dijaga dari segi grooming, kesihatan dan sebagainya mengikut jadual. Kuku-kuku pun dipastikan dipotong. Setiap pagi, rutin harian saya akan vakum dulu seluruh rumah.

"Bila tengok kucing-kucing ni manja dan mesra, kadang-kadang rasa menyesal pula sebab jual kucing dulu hanya kerana terpengaruh cakap orang," ujarnya lagi.

Tidak menyangka perkongsiannya mendapat perhatian ramai, Qas berkata dia sekadar mahu berkongsi konten yang sedikit sebanyak boleh memberi hiburan dan inspirasi kepada orang lain.

bengal baru 3

Ghina dan kucing-kucing Bengal peliharaan Qas akrab seperti rakan baik.

"Kalau nak tahu, saya baru saja buka akaun TikTok dua bulan lepas dan kontennya adalah Ghina dan kucing-kucing saya. Tak sangka dapat jumlah tontonan yang tinggi sehingga cecah lebih sejuta views.

"Dalam masa yang sama, secara tak langsung saya nak educate orang lain juga mengenai sikap dan karakter kucing Bengal kerana ia sering disalah anggap ramai orang yang menyangkanya kucing hutan," katanya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain