suria

Sekali pandang dah tahu bukan orang Malaysia, tapi kenapa ‘lady long legs’ ini boleh cakap Melayu? Siap sahut cabaran dengar lagu Siti Nurhaliza

Foto kiri tangkap layar salah satu video TikTok Tanya, manakala foto tengah dan kanan menunjukkan Tanya sebagai model fesyen.

WAJAH wanita ini persis model antarabangsa dan pastinya bukan rakyat Malaysia.

Namun telatahnya meniru dialog dalam bahasa Melayu menerusi video-video di aplikasi TikTok menarik perhatian ramai.

Malah, model warga Sudan Selatan itu menggelarkan dirinya 'lady long legs' (wanita berkaki panjang) juga boleh bertutur dalam bahasa Melayu dengan fasih.

ARTIKEL BERKAITAN: "Habis semua kain batik saya dia pakai setiap hari" - Isteri kagum dapat suami mat salih tapi 'terlebih Melayu'... makan mesti mau pedas!

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita Korea fasih cakap Melayu rindu makanan Malaysia, iftar 1 Ramadan suami beli 10 bungkus nasi kerabu! - "Terkejut bunyinya kasar, maksud asal lapar macam nak mati"

Rupa-rupanya wanita berketinggian 183 sentimeter (sm) itu sebenarnya tiba di Malaysia buat pertama kali pada lebih sedekad lalu bagi menyambung pengajiannya di Kuala Lumpur.

Model berkenaan, Tanya Mikes berkata, dia berasal dari Sudan Selatan di Afrika tetapi dibesarkan di Kenya dan keluarganya menetap di ibu negara itu, Nairobi.

Wanita berusia 31 tahun itu datang ke Malaysia pada 2010 bagi mengikuti pengajian diploma dan ijazah sarjana muda pengurusan perniagaan di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT).

"Saya mula belajar bahasa Melayu semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) sejak dua bulan lalu. Saya membaca buku dan menerusi laman YouTube bagi membantu sebutannya.

"Saya cuba untuk menonton filem-filem Malaysia dalam bahasa Melayu, tetapi sebutan dialog yang dituturkan terlalu cepat. Jadi, saya membaca sarikata untuk faham.

"Pendekatan yang saya gunakan setiap kali membaca adalah menulisnya dan mengenal pasti bila dan bagaimana untuk menggunakan perkataan itu daripada sekadar membaca tapi tidak memahaminya," katanya kepada mStar.

model kenya 5

Tanya merupakan model dengan ketinggian 183 sentimeter.

Mengulas lanjut, Tanya menggunakan pendekatan dengan menulis apa yang dibacanya bagi mengenal pasti bila dan bagaimana untuk menggunakan perkataan-perkataan tersebut.

“Ia merupakan mekanisme yang saya lakukan berbanding hanya membaca tetapi tidak memahaminya. Saya juga belajar bertutur sendiri secara praktikal.

“Membuat video-video TikTok banyak membantu saya dari segi sebutan dan ia merupakan cara mudah untuk saya belajar Bahasa Melayu,” ujar anak ketiga daripada empat beradik itu.

Siapa sangka wanita ini merupakan peserta pertandingan ratu cantik untuk warga Afrika di Malaysia iaitu Miss Africa Malaysia 2018 dan menerima Anugerah Best Evening Walk bagi acara itu, serta menyertai Miss Beauty 2020.

model kenya 4

Tanya mencari peluang dengan menyertai beberapa pertandingan ratu cantik.

Selain cuaca yang tidak terlalu sejuk di Malaysia, Tanya jatuh hati dengan negara ini kerana makanannya sambil menambah dia menyukai nasi lemak dan nasi ayam.

“Saya bercadang untuk mengikuti kelas memasak untuk belajar bagaimana menyediakan makanan Malaysia kerana ia kini menjadi makanan kegemaran saya," katanya yang gemar membaca dan menonton drama bersiri.

Pendekatan yang saya gunakan setiap kali membaca adalah menulisnya dan mengenal pasti bila dan bagaimana untuk menggunakan perkataan itu daripada sekadar membaca tapi tidak memahaminya

TANYA

Dalam pada itu, dia amat terharu dengan sokongan yang diberikan oleh para pengikutnya dalam kalangan rakyat Malaysia di aplikasi popular itu.

"Saya menghargai semua yang memberi komen pada video-video saya. Jika ada perkataan yang saya tersilap menyebutnya, pasti ada orang yang akan memperbetulkannya.

"Jika ada komen-komen seperti comel, cantik, mantap, pandai... ia menaikkan semangat dan memberi motivasi kepada saya. Perkataan Bahasa Melayu kesukaan saya adalah cantik dan sedap, ” katanya.

model kenya 3

Tanya (tiga, kiri) merupakan peserta Miss Africa Malaysia 2018.

Tanya turut memberitahu, pengikutnya di TikTok turut memintanya untuk mendengar lagu-lagu tempatan terutama nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza bagi menguasai Bahasa Melayu.

"Ramai minta saya dengar lagu Siti Nurhaliza dan saya sahut cabaran itu. Lagu beliau yang saya selalu dengar bertajuk Aku. Selepas dengar dua, tiga kali, saya akan cuba menyanyi," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain