suria

Bila cikgu dan murid sama kelas, tinggal serumah... apa jadi dengan sesi PdPR? - “Kalau tak dapat jawab habislah mak membebel depan kawan”

Foto kiri tangkap layar video di TikTok, foto kanan adik perempuan Firdaus mengikuti sesi PdPR.

MACAM-macam gelagat pelajar mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Ada yang memberi tumpuan sepenuhnya, ada yang berasa bosan tak kurang juga yang mengantuk malah hilang fokus ketika guru mengajar secara dalam talian.

Namun lain pula situasi di sebuah kediaman apabila seorang guru sedang mengajar online dari ruang tamu dan kelasnya itu turut diikuti oleh anaknya sendiri dari perkarangan rumah.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Bapa B40' buka cerita tak habis sekolah... akui kerap termenung, menangis di tempat kerja kenangkan nasib anak-anak - "Tak mahu mereka jadi seperti saya"

ARTIKEL BERKAITAN: Nate aye! Cikgu alami 'gangguan' hari pertama sesi PdPR, ayam hutan kena marah - "Kali ketiga tekan 'on record' masa itulah nak buat hal"

Seorang remaja, Muhammad Firdaus Ismail berkata, dia merakamkan video ibunya yang bertugas sebagai guru melakukan sesi PdPR baru-baru ini yang turut disertai adik perempuannya di kediaman mereka di Serdang, Selangor ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Anak muda berusia 18 tahun itu memberitahu, pada pagi itu dia hendak keluar rumah untuk menghantar kakaknya berumur 21 tahun ke tempat kerja.

"Bila nak keluar saya lalu ruang tamu, nampak mak sedang mengajar menggunakan laptop. Bila keluar pintu rumah nampak adik di meja kopi tengah join kelas mak bersama murid-murid lain.

"Masa tu saya rasa kelakar sebab dapat dengar suara mak mengajar di ruang tamu, kemudian dengar suara mak menerusi laptop adik... keluar masuk rumah dengar suara sama," ujarnya yang berusia 18 tahun, sambil menambah video tersebut dikongsi di aplikasi TikTok.

Lebih mesra disapa Firdaus, katanya, ibunya yang berusia 49 tahun merupakan guru sains di sebuah sekolah rendah di mana adik perempuannya merupakan murid Tahun Empat.

Menurut anak ketiga daripada enam beradik itu, dia juga pernah diajar oleh ibunya sewaktu belajar di sekolah rendah bagi mata pelajaran sama.



Ibu Firdaus ketika sesi PdPR.

"Mak pernah ajar saya di sekolah dulu. Bukan saya je, malah adik-beradik lain pernah belajar dengan mak di sekolah kecuali adik bongsu yang baru berusia lima tahun.

"Bezanya kami dengan adik yang belajar Tahun Empat ini adalah kami tiada pengalaman PdPR bersama mak di rumah sebab masa tu belum pandemik Covid-19 kan.

"Bila mak mengajar di ruang tamu, adik di bilik atau perkarangan rumah sebab kalau sama-sama nanti ada gangguan bunyi seperti bergema," ujarnya yang berasal dari Serdang.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Dia bagaimanapun menjelaskan bahawa ibunya yang berpengalaman dalam bidang pendidikan selama 21 tahun mempunyai karakter yang berbeza ketika bertugas sebagai guru.

Mana boleh ponteng sebab mak sendiri yang mengajar. Tapi itu juga salah satu cara mak untuk mendisiplinkan anak-anaknya supaya ada semangat untuk belajar

FIRDAUS

"Mak kalau di sekolah memang seorang yang sangat tegas dan garang. Tak kira anak sendiri, mak tetap akan tanya soalan kat saya di kelas sebagaimana murid-murid lain.

"Memang berdebar, kalau tak dapat jawab habislah nanti mak akan membebel. Tapi bila di rumah sebagai ibu, mak seorang yang penyayang dan lebih mesra dengan anak-anak," katanya yang merupakan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.



Firdaus (kiri) bersama adik perempuannya (tengah) dan ibu.

Mengutamakan pendidikan, kata Firdaus, ibunya juga amat mementingkan pengurusan masa dalam kalangan anak-anak, terutama ketika PdPR.

"Kalau mak ada buat kelas online seawal pukul 7.30 pagi seperti sesi persekolahan bermula, memang adik kena bangun awal dan buat persiapan seperti mandi.

"Mana boleh ponteng sebab mak sendiri yang mengajar. Tapi itu juga salah satu cara mak untuk mendisiplinkan anak-anaknya supaya ada semangat untuk belajar.

"Kalau saya ada pengalaman PdPR bersama mak, saya rasa mungkin kurang nervous berbanding di kelas sebab rakan-rakan tak ada depan mata kalau tiba-tiba mak tanya soalan, mereka tengok pun cuma kat skrin je jadi saya lebih tenang menjawabnya," ujarnya secara berseloroh.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain