suria

Ramai nyaris kemalangan, lelaki ini pilih baiki sendiri jalan yang dah lama berlubang... ada alasan ‘masuk akal’ kenapa tak buat aduan!

Menurut Shahrul, masalah jalan berlubang di hadapan kilangnya sebenarnya sudah berlarutan sejak setahun yang lalu.

SIKAP mulia jejaka ini yang mengambil inisiatif sendiri untuk menurap jalan berlubang wajar mendapat pujian.

Begitulah kisah Shahrul Shafiq Rosni, 26, yang dikongsi menerusi satu video ringkas di Instagram dan kemudiannya menarik perhatian ramai.

Bercerita kepada mStar, pengasas produk makanan coklat dalam balang (choco jar) di Seri Iskandar, Perak itu mendedahkan masalah berkenaan sebenarnya sudah berlarutan sejak setahun yang lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Peristiwa RM2 ketika hari lahir buka mata abang polis... apa ceritanya sampai dah 10 tahun sanggup masak sendiri demi bantu gelandangan

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga terkejut ramai mesej tanya nasi kerabu, rupa-rupanya diri dah viral sebab tak kedekut - “Kalau boleh nak jumpa depan-depan”

"Jalan berlubang tu terletak di hadapan kilang production saya. Jalan ni memang sibuk setiap hari. Ada kejadian depan mata saya, seorang makcik menaiki motor hampir terjatuh pada minggu lepas.

"Dah dekat setahun rasanya jalan tu dalam keadaan begitu, makin lama makin banyak lubang. Staf saya juga pernah hampir jatuh.

"Jadi pada Jumaat lepas, saya dibantu pengurus dan beberapa staf kilang mulakan projek itu. Ambil masa seharian juga, dari pagi hingga petang.

"Kebetulan kami baru lepas renovate kilang, kat belakang ada longgokan pasir dan lebihan simen. Kemudian kami beli tambahan simen, kami tampal balik sekitar 10 lubang," ujarnya.

Proses membaiki jalan dilakukan pada Jumaat lalu.

Selain menerima pujian atas usaha murninya, dia yang mesra disapa Shahrul turut dipersoal kerana tidak memaklumkan masalah itu kepada pihak yang bertanggungjawab.

Namun katanya, dia ada alasan tersendiri dan menganggap apa yang dilakukan sebagai sebahagian daripada fardu kifayah.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Ada juga yang komen, dia kata kenapa tak buat aduan? Bagi saya, aduan tu saya boleh buat. Tapi ia jalan utama, saya rasa pihak berwajib pun lalu-lalang di situ.

Menjadi amalan saya, setiap hari nak keluar rumah, saya niatkan untuk bantu orang.

SHAHRUL

"Ia bukanlah kawasan terpencil, saya tak rasa sepatutnya mereka boleh abaikan. Setiap hari boleh dikatakan jalan tu sibuk.

"Tak apalah, benda ni niat saya nak bantu serba-sedikit. Cuma saya harap pihak berkuasa lebih proaktif lihat masalah sebegini, sepatutnya lebih peka," ujarnya lagi.

Menurut Shahrul, dia juga cuba menerapkan dalam dirinya untuk sentiasa berbuat amal kebaikan demi mencari keberkatan dalam berniaga.

"Saya memang berniaga, saya diajar kena selalu buat amal. Menjadi amalan saya, setiap hari nak keluar rumah, saya niatkan untuk bantu orang.

Shahrul membuka kilang di lokasi itu sejak lebih setahun lalu.

"Kita sebagai peniaga kena lebih peka juga. Jika buat baik, InsyaAllah akan dibalas baik," ujarnya.

Bercerita mengenai dirinya, Shahrul mendedahkan dia memulakan bisnes pada awal tahun 2020.

Dengan kilang pengeluaran produk makanan itu yang sudah beroperasi sejak setahun empat bulan, Shahrul turut memiliki 32 kakitangan di bawah naungannya.

Antara program amal yang dilakukan Shahrul sebelum ini bersama anak-anak yatim.

Kata graduan bidang Seni Bina dari Universiti Teknologi Mara (UiTM itu, dia tak pernah menyesali keputusan untuk terjun ke dunia perniagaan.

"Dalam hidup ini saya rasa tiada apa yang perlu kita sesali.

"Mak ayah saya ajar, setiap perkara yang berlaku itu merupakan proses hidup, kita cuma perlu bersangka baik," ujarnya mengakhiri bicara.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain