suria

Cucu seniwati Sarimah Ahmad kongsi saat terima mesej, selfie terakhir di katil ICU selepas Subuh... kenangan beberapa jam sebelum bapa ‘pergi’ akibat Covid-19

Foto kiri Ashraf bersama arwah bapa, sementara foto kanan Dr Sakinah membantu bapanya berwuduk sebelum dimasukkan ke ICU.

VIDEO tular menunjukkan seorang anak yang juga doktor membantu bapanya untuk berwuduk sebelum ditempatkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU) mengundang sebak netizen.

Lebih memilukan apabila ia merupakan permintaan terakhir bapa berkenaan sebelum menghembuskan nafas terakhir di ICU kerana dijangkiti Covid-19, Sabtu lalu.

Selain doktor berkenaan, Dr Sakinah Kamarul Bahrin, 34, turut terkesan dengan pemergian Allahyarham Ir Kamarul Bahrin Mohamad, 63, adalah anak sulung, Khairul Ashraf, 37.

ARTIKEL BERKAITAN: Warga emas meninggal positif Covid-19, sempat buka cerita anak menantu ziarah Aidilfitri kepada doktor - "Depa dari Johor, saja balik mai raya hari tu"

ARTIKEL BERKAITAN: Saksi ajal di depan mata, seseorang dedah lelaki berkain pelikat dalam video tular tak lena tidur - "Mengalir air mata mangsa, seolah-olah tahu akan pergi selamanya"

Berkongsi luahan kepada mStar, dia yang lebih dikenali sebagai Ashraf memberitahu, perasaan sedih atas pemergian itu memang tidak dapat disangkal, namun reda dengan ketentuan Ilahi.



Tangkap layar video Dr Sakinah (kiri) bersama arwah bapa. foto Instagram @sakinah_kb

"Sebagai anak, saya hanya mampu berdoa semoga abah diberi kesembuhan. Selepas Subuh hari abah meninggal dunia, abah hantar gambar selfie terakhirnya di grup WhatsApp keluarga.

"Abah juga hantar mesej kata 'last resort' (jalan terakhir). Masa tu saya dah rasa keliru. Tapi dalam hati cepat-cepat tepis segala perasaan ish takda apa lah. Lagi tiga atau empat hari lagi abah dah boleh balik rumah, insyaAllah.

"Masa tu terus fokus, berdoa dan set kat fikiran yang abah balik rumah nanti nak peluk abah kuat-kuat," katanya ketika dihubungi.



Mesej yang dihantar arwah bapa Ashraf dan foto selfie menerusi grup WhatsApp. foto ihsan Khairul Ashraf Kamarul bahrin

Ashraf yang merupakan cucu kepada seniwati negara, Datuk Sarimah Ahmad berkata, dia bersyukur ibunya berusia 60 tahun yang sebelum ini juga positif Covid-19 telah sembuh dan telah discaj.

"Beberapa hari pertama sejak pemergian abah, mak cukup sedih sampai tak lalu makan. Kami anak-anak berjumpa dan tenangkan mak.

Abah hantar mesej kata 'last resort'. Masa tu saya dah rasa keliru. Tapi dalam hati cepat-cepat tepis segala perasaan. Masa tu terus fokus, berdoa dan set kat fikiran yang abah balik rumah nanti nak peluk abah kuat-kuat

KHAIRUL ASHRAF

"Tok (panggilan Datuk Sarimah) juga risau dan ambil berat pasal mak terutama sejak mak dan arwah abah serta beberapa ahli keluarga lain disahkan positif Covid-19. Hari-hari Tok call mak tanya khabar.

"Alhamdulillah, keadaan mak semakin baik. Dah mula ada selera makan. Alhamdulillah Tok juga sihat pada usianya 79 tahun. Terima kasih kepada adik-beradik dan Tok, serta semua yang mendoakan kesejahteraan mak dan keluarga kami," ujar anak sulung daripada lapan beradik itu.



Sarimah (duduk, tengah), anak perempuan (duduk, dua kanan), menantu (Allahyarham Kamarul Bahrin) (duduk, dua kiri) bersama cucu dan cicit, tahun lalu. foto ihsan Khairul Ashraf Kamarul bahrin

Dalam pada itu, Ashraf yang merupakan perunding kewangan itu turut berkongsi amanat Allahyarham bapanya yang dipegangnya sejak kecil sehingga kini.

"Dari saya kecil sampailah sekarang, abah sering kali mengingatkan dalam apa pun perkara, utamakan tiga perkara asas ini iaitu jaga solat, awalkan waktu solat dan solat berjemaah.

"Walaupun abah bukan seorang pendakwah seperti Ustaz Ebit Lew atau ulama seperti Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, abah mendidik kami dengan baik serta berpandukan al-Quran dan Sunnah," ujar bapa kepada tiga cahaya mata.



Keluarga Ashraf bersama ibu dan arwah bapa. foto ihsan Khairul Ashraf Kamarul bahrin

Dalam pada itu, Ashraf berkata, bapanya yang merupakan jurutera perunding itu turut berpesan supaya sentiasa melakukan amalan bersedekah dan berbuat baik sesama insan.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Abah sentiasa berpesan supaya jangan putus sedekah. Abah pernah kata walaupun tak banyak, sikit pun tak apa asalkan bersedekah.

"Abah juga mengingatkan bahawa sentiasa berbuat baik dengan orang lain. Biar orang buat kita, jangan kita buat orang. Sentiasa memaafkan," katanya.

Dilaporkan keadaan Kamarul Bahrin yang merupakan jurutera perunding itu semakin merosot selama beberapa hari sehingga memaksa dibawa ke ICU sebelum menghembuskan nafas terakhir pada Sabtu malam.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, pada Ahad.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain