suria

Ajaib! Doktor batal pembedahan selepas kaki pesakit alami kemalangan teruk tiba-tiba pulih... rupa-rupanya dia lelaki jujur

Mohd Fadli (kanan) kagum dengan kejujuran seorang lelaki yang menemuinya semata-mata kerana mahu menyerahkan wang lebihan sumbangan. Foto: Facebook Mohd Fadli Salleh

NILAI sebuah kejujuran!

Pernah mengalami musibah sehingga nyawa hampir melayang gara-gara ditimpa kecelakaan jalan raya, namun lelaki ini memilih untuk bersikap jujur dengan memberikan wang lebihan sumbangan yang diterimanya kepada golongan yang berhak.

Kisahnya diceritakan oleh seorang guru yang juga aktivis Pertubuhan Kebajikan Dana Kita, Mohd Fadli Salleh menerusi satu posting di Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Kaki besi’ tekan pedal curi tumpuan pengguna jalan raya, ramai tak tahu rider ini sebenarnya buat 4 kerja!

ARTIKEL BERKAITAN: Bermula hanya 7 viewers, lelaki OKU terima beratus order pewangi sampai tak menang tangan... semuanya kerana insan yang tak dikenalinya!

"Sebuah kejujuran di dalam kesulitan. Malam tadi terima kunjungan dari abang ni. Dia datang untuk memberi wang yang dirasakan bukan haknya, walhal memang asalnya hak dia.

"Abang ni kemalangan teruk sehari sebelum hari raya tahun lepas. Patah riuk, tidak sedarkan diri berhari-hari dan doktor pun kata peluangnya untuk hidup cuma 50-50.

"Alhamdulillah, umur masih panjang. Namun patah teruk di kaki memerlukan pembedahan yang tinggi kosnya.

"Maka kawan-kawan dia buat kutipan untuk meringankan bebanan. Dia kerja biasa-biasa, isteri pun kerja biasa-biasa. Bukan orang kaya pun, hidup sekadar bersederhana," tulisnya.



Perkongsian Mohd Fadli di Facebook mengenai kisah lelaki yang menemuinya, baru-baru ini.

Menerusi penceritaan lelaki berkenaan, kata Mohd Fadli, tanpa disangka kecederaan yang dialami di bahagian kakinya semakin pulih dan dia tidak perlu menjalani pembedahan.

"Namun ajaibnya, tulang kakinya berhubung elok dan doktor membatalkan pembedahan untuk masukkan besi dalam kaki. Maka duit kiriman kawan-kawannya ini disimpan elok-elok.

"Nak guna, dia rasa bersalah. Maka dihubungi aku untuk aku guna bagi program kebajikan yang Dana Kita anjurkan. Allahu, mulia hatinya. Ikhlas dan jujur sungguh orangnya," kata guru berkenaan.

Saat ramai yang berbohong untuk mendapat bantuan, masih ramai insan yang ikhlas tidak mengambil kesempatan.

MOHF FADLI SALLEH

GURU/AKTIVIS DANA KITA

Tambah Mohd Fadli lagi, dirinya kagum dengan lelaki berkenaan kerana memilih untuk bersikap jujur dan amanah meskipun dia boleh sahaja menikmati wang yang sememangnya disumbangkan di atas nama sendiri.

"Saat ramai yang berbohong untuk mendapat bantuan, masih ramai insan yang ikhlas tidak mengambil kesempatan.

"InsyaAllah insan sebegini Allah kurniakan ketenangan hati, hidup yang barakah dan berjaya anak-anaknya, InsyaAllah amin," tulisnya lagi.



Mohd Fadli aktif turun padang dalam aktiviti Dana Kita.

Mohd Fadli turut memuat naik sekeping gambarnya bersama lelaki berkenaan yang masih masih bertongkat ketika bertemunya, baru-baru ini.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Menjengah ke ruangan komen pula, rata-rata pengguna Facebook turut memuji pendekatan lelaki berkenaan malah mendoakannya segera pulih daripada kecederaan yang dialami.

"Masya-Allah! Insan terpilih. Tidak ambil kesempatan atas kesempitan. Semoga Allah berkati beliau sekeluarga.

"Brader tu masih bertongkat (belum sembuh sepenuhnya) pun tak mau guna duit tu... semoga brader tu diberi kesihatan yang baik dan rezeki yang berganda.

"Mungkin sebab kejujuran dia Allah sembuhkan 100 peratus. Moga Allah memberkati usaha tuan berdua," demikian antara komen netizen.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain