suria

Gadis beranikan diri minta bergambar dengan Tengku Hassanal! Reaksi putera raja memang tak disangka

Nisa akhirnya berjaya merakamkan selfie bersama Tengku Hassanal selepas memberanikan diri meminta kebenaran.

GADIS mana sahaja yang tidak teruja apabila dapat bertemu dengan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah?

Pastinya peluang keemasan tersebut akan digunakan sebaik-baiknya untuk merakamkan foto sebagai kenang-kenangan.

Begitu juga halnya dengan gadis ini sehinggakan dia sanggup memberanikan diri semata-mata mahu bergambar bersama putera raja tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Penangan Tengku Hassanal...ramai gadis sanggup cuba durian, belajar masak patin tempoyak penuhi ciri menantu pilihan Tunku Azizah

ARTIKEL BERKAITAN: Tidur tak lena gara-gara panggilan Istana Negara, remaja terkejut tiba-tiba Tengku Hassanal di depan mata – “Ingatkan hadiah kena reject”

Menerusi beberapa video yang dimuat naik di aplikasi TikTok, gadis ini berkongsi 'percubaan' serta usaha yang dilakukannya sehingga dia akhirnya berjaya merakamkan selfie dengan Tengku Hassanal.

Menurut gadis yang hanya mahu dikenali sebagai Nisa Husna, dia pada mulanya sekadar bersiar-siar di padang polo berhampiran Istana Abu Bakar, Pekan, namun tanpa disangka, Tengku Hassanal secara kebetulan sedang bermain polo ketika itu.



Nisa kini menjalani latihan praktikal di Pekan, Pahang.

"Selalunya selepas habis kerja di tempat praktikal, saya saja ronda-ronda di padang polo. Kawasan itu sering dijadikan tempat orang awam meronda, berjoging atau sekadar nak tengok kuda.

"Kebetulan pada petang Isnin lalu, sewaktu saya lalu, nampak ramai anggota polis... maksudnya ada kerabat sedang bermain polo. Saya pun berhenti dan lihat Tengku Hassanal sedang menunggang kuda dan bermain polo.

"Kemudian nampak Tengku sedang rehat. Masa tu rasanya saya seorang je yang duduk tepi sebab masih awal. Terus terfikir, kalau tangkap gambar mesti okay sebab bodyguard dan polis pun santai-santai.

"Seorang anggota polis perasan saya tengok-tengok. Saya macam takut-takut tapi nanti menyesal pula sebab dah alang-alang jumpa. Kemudian selepas dihampiri anggota polis tu, saya pun beritahu hasrat nak bergambar dengan Tengku dan dia minta saya tunggu di tepi jalan," ujarnya yang merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat.



Nisa merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat di sebuah IPTA.

Menurut Nisa, penantiannya tidak sia-sia kerana Tengku Hassanal menegurnya ketika melewati lokasi tempatnya sedang menunggu.

"Tengku turunkan tingkap, beri salam sambil senyum... kemudian mahu berlalu pergi. Saya macam spontan terpanggil 'Tengku' dan baginda perlahankan semula kereta.

"Saya minta kebenaran nak bergambar. Sopan Tengku jawab 'boleh', tapi memandangkan baginda nak cepat, saya hanya sempat selfie dengan baginda yang berada di dalam kereta. Tapi itu sudah cukup buat saya gembira," kata gadis berusia 22 tahun yang berasal dari Chini ini.

Bercerita mengenai Tengku Hassanal yang digilai ramai gadis itu, Nisa berkata dia sememangnya amat mengkagumi keperibadian putera raja tersebut.

Saya minta kebenaran nak bergambar. Sopan Tengku jawab 'boleh', tapi memandangkan baginda nak cepat, hanya sempat selfie.

NISA HUSNA

PENUNTUT IPTA

"Sebelum ini saya hanya tengok dekat media sosial saja. Tapi selepas menetap di Pekan kerana menjalani praktikal, ada beberapa kali nampak Tengku di padang polo dan sejak itu lebih meminati baginda. Tempat tinggal saya dengan istana pula lebih kurang dua minit je jaraknya.

"Selain rupa paras yang kacak, sosok tubuh tinggi, Tengku juga seorang yang sangat merendah diri. Tak sombong langsung. Kalau nampak orang awam dekat padang polo, Tengku akan turunkan tingkap, tegur dan lambai.

"Memang ciri-ciri seorang bakal pemerintah... pastinya rakyat Pahang bertuah sekiranya Tengku memerintah nanti," katanya lagi.



Nisa (depan) bersama rakan-rakan sekuliah.

Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular sehingga meraih jumlah tontonan yang tinggi di TikTok, Nisa berkata dia hanya mahu berkongsi kenangan manis itu di media sosial.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Followers dekat TikTok pun ramai yang menyukai Tengku. Masa saya kongsi video pertama, ia terus mendapat sambutan dan ramai yang teruja. Sebab itu saya kongsi beberapa video lain.

"Ada yang cakap bertuahnya sebab dapat jumpa depan-depan. Rata-ratanya tumpang gembira dan seronok. Saya pun seronok sebab dapat berkongsi pengalaman dengan peminat Tengku yang lain," ujarnya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain