suria

“Kenapa pandai-pandai tangkap dia” - Polis kecewa sikap ibu... terang-terangan pecahkan tabung, positif dadah pun tetap nak menangkan anak!

Seorang ibu mempertahankan anaknya dalam kejadian tabung pecah di sebuah kedai serbaneka. -gambar hiasan

IBU mana yang tak sayang anak. Tak salah juga untuk melindungi anak-anak, namun perlu berpada-pada.

Seharusnya ibu bapa mengajar atau mendidik anak-anak ketika usianya masih kecil, apatah lagi jika anak itu melakukan kesalahan.

Menerusi satu perkongsian, seorang lelaki rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura menyaksikan satu insiden membabitkan dua kanak-kanak yang berlaku di sebuah kedai serbaneka.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah banyak bantuan diberi, ibu 4 anak mahu pinjam RM20 pula nak tunaikan janji beli khemah mainan... aktivis minta maaf, ada sebab terpaksa kata tidak

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor rasa bersalah selepas tengking anak main tepung, terimbas perasaan hilang tempat bergantung - "Perangai mereka adalah cerminan perangai kita"

"Saya perhatikan dua budak kecil lingkungan umur enam hingga lapan tahun sedang berebut tabung kaca. Nak dijadikan cerita, tabung tersebut jatuh lalu pecah.

"Tak lama kemudian, datang pemilik kedai dan bertanya siapa yang pecahkan. Saya lihat emak kepada dua anak tersebut menafikan sekeras-kerasnya yang anaknya pecahkan tabung tersebut," tulis Shahruddin Haeal Helmy Mohd Noh di Facebook bernama Eddie Dieana.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Melihat apa yang berlaku, Shahruddin yang bertugas di Republik itu terdetik dalam hati bahawa wanita berkenaan menafikan perbuatan anak-anaknya mungkin kerana tidak mempunyai wang untuk membayar nilai tabung yang pecah.

"Saya dengan sahabat saya pun mendekatinya dan cuba untuk membantu. Berapa harga tabung yang pecah tu bang, tak apa saya bayarkan.

"S$12 bang (RM37). Okay tak apa, nanti saya bayarkan sekali. Pemilik kedai tersebut mengangguk tanda setuju dan beredar dari situ," ujarnya.



Perkongsian Shahruddin di Facebook.

Shahruddin yang berusia 35 tahun itu kemudian bercakap dengan wanita itu, sambil menyentuh perihal anak-anak.

"Biasalah kak, budak-budak kalau berebut. Mesti akan pecah.

"Eh tak lah, anak saya tak salah. Anak saya tak sentuh langsung. Kan Along Angah kan? Anaknya juga turut menganggukkan kepala. Saya pun malas bercakap panjang, lalu pergi dari situ.

"Tapi dalam hati saya sedikit kecewa. Kecewa kenapa? Sebab dengan jelas saya nampak mak dia tahu anak dia pecahkan barang tersebut. Tapi mak dia tetap menangkan anak dia," kata bapa kepada dua anak itu.

Insiden tersebut turut membawanya mengimbas kembali satu kejadian yang dialaminya sewaktu masih berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), 10 tahun lalu.

"Saya dan sahabat India saya tangkap seorang pemuda berumur lingkungan 22 tahun dan menghubungi emaknya supaya datang ke balai polis.

"Sebaik emaknya masuk ke dalam balai, dia terus memarahi saya kerana menangkap anaknya yang disangka tidak bersalah.

"Kenapa encik pandai-pandai tangkap anak saya. Anak saya tak bersalah, anak saya budak baik. Tak kan mungkin dia terlibat dengan kes curi motor dan memiliki dadah," kata Shahruddin memetik perbualan bersama wanita tersebut.



Shahruddin berkongsi pengalaman ketika bertugas sebagai anggota polis.

Dia kemudian menjelaskan bahawa anak wanita itu didapati menunggang motosikal curi selain pil kuda ditemui dalam kocek seluar suspek.

"Ini semua perbuatan khianat, orang khianat anak saya. Tak kan mungkin anak saya macam tu. Dia seorang yang dengar cakap. Selalu bantu saya dekat rumah.

"Kalau anak makcik dikhianat orang, takkan ujian saringan air kencing anak makcik juga positif dadah," katanya sambil menambah wanita itu enggan menerima kenyataan dan berterusan memarahinya dan rakan-rakan dengan kata-kata kesat.

Jika kita mengetahui yang anak kita telah melakukan kesalahan, ajar dia untuk mengaku kesilapan dan bertanggungjawab

SHAHRUDDIN

Namun kata Shahruddin, dia hanya mendiamkan diri kerana tidak mahu bertengkar dengan orang yang lebih tua atas rasa hormat, sebelum ibu suspek ditenangkan oleh anggota polis wanita dan pulang ke rumah selepas itu.

"Masa sebutan kes di mahkamah saya terjumpa makcik tersebut sekali lagi. Dengan muka yang angkuh. Dia langsung tidak mahu bercakap dengan saya di luar mahkamah.

"Akhirnya, Allah nak tunjuk. Anaknya disahkan bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara. Saya lihat makcik tersebut terduduk dan menangis. Dia tak sangka anaknya mengaku bersalah dan terlibat dengan semua aktiviti tersebut," tambahnya.

Menurut Shahruddin, wanita itu kemudian mendekatinya dan memohon maaf kerana pernah bersangka buruk dan memalukannya.

"Tak apalah makcik, saya hanya menjalankan tugas saya. Kamu ada anak? Belum ada anak lagi makcik, saya baru je berkahwin.

"Kalau kamu ada anak nanti, jangan ajar dia macam makcik ajar anak makcik. Makcik selalu menangkan anak makcik dalam setiap hal.

"Walaupun makcik tahu dia yang bersalah. Makcik tetap menangkan dia. Makcik tak ajar dia mengaku kesalahan dan kesilapan sejak dari kecil. Sebaliknya makcik pula yang pertahankan dia di hadapan semua orang," katanya.



Sharuddin berkongsi dua kejadian berasingan mengenai ibu memanjakan anak mereka.

Dalam kekesalan itu, wanita itu berterima kasih kerana menahan anaknya atas kesalahan yang dilakukan.

"Kalau adik tak tangkap dia mungkin sampai sekarang makcik ingat dia budak baik. Ini balasan kepada salah didikan makcik terhadap dia," katanya memetik kata-kata wanita itu.

Shahruddin berkata, perkongsian kisahnya itu sebagai pengajaran buat masyarakat terutama ibu bapa dalam mendidik anak-anak.

"Tak salah jika kita menangkan anak kita jika di pihak yang benar.

"Tapi jika kita mengetahui yang anak kita telah melakukan kesalahan, ajar dia untuk mengaku kesilapan dan bertanggungjawab di setiap kesalahan yang telah dilakukan.

"Sesal dahulu pendapatan. Sesal kemudian tiada gunanya," katanya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain