suria

11 anak berdepan cabaran buat kejutan gubahan duit, 3 hari keluar-masuk 7 bank... silap langkah ibu merajuk - “Mana kami pergi, mak akan ikut”

Ibu Jaja menerima kejutan hadiah jambangan bunga duit sempena hari ulang tahun ke-66. Gambar kecil menunjukkan Jaja menggubah bunga duit.

BIARPUN semakin ramai menawarkan khidmat menggubah jambangan bunga duit, seorang gadis bersama adik-beradiknya tetap mahu menghasilkannya sendiri.

Menerusi tiga siri video yang dikongsi di aplikasi TikTok, hampir seminggu mereka terpaksa melakukannya secara senyap-senyap tanpa pengetahuan ibu.

Dari satu jambangan bunga duit yang bersaiz kecil, rupa-rupanya ada kejutan lain apabila si ibu dihadiahkan dengan satu lagi jambangan bunga duit yang jauh lebih besar.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu menangis, anak kerja di warung, belajar setakat SPM hantar kejutan bunga duit selepas gigih menabung 2 tahun - "Ini yang saya mampu bagi mak"

ARTIKEL BERKAITAN: Anak buat kejutan bawa mak ke Pulau Tioman, hadiah rantai emas undang drama air mata - "Apa yang saya buat ni tak cukup"

Gadis berkenaan, Hajar Fikriyah Zaimah berkata, kejutan itu sebenarnya dibuat khas untuk ibu mereka sempena ulang tahun ke-66 pada 17 April lalu.



Jaja dan adik-beradik mahu menghasilkan sendiri jambangan bunga duit.

Lebih mesra disapa Jaja, katanya, jambangan bunga duit itu yang semakin menjadi trend dijadikan sebagai hadiah gara-gara permintaan ibu mereka sebelum ini.

"Sekarang ni asyik viral fasal bunga duit. Suatu hari ibu sekadar luahkan yang dia teringin nak dapat hadiah macam tu nanti. Sebak pula kami dengar permintaan mak tu.

"Jadi, kami adik-beradik semua merancang untuk buat kejutan pada mak dengan hadiahkan jambangan bunga duit yang viral tu sempena hari jadi mak," katanya kepada mStar.



Jaja (kiri) bersama dua kakaknya.

Jaja yang berusia 23 tahun berkata, dia dan adik-beradiknya sanggup menghabiskan banyak masa untuk menggubah jambangan bunga duit itu sendiri kerana mahu menjadikan ia sebagai hadiah penuh bermakna dan mempunyai nilai sentimental buat ibu tercinta.

"Boleh je kami nak suruh orang yang buat servis tu gubahkan. Tapi sebab ini adalah permintaan mak, jadi biarlah kami adik-beradik yang bersusah-payah untuk menggubahnya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Saya dan kakak-kakak tak ada pengalaman menggubah pun, hanya belajar tengok tutorial di YouTube," ujarnya yang berasal dari Kuala Terengganu, Terengganu itu.



Gubahan bunga duit dihasikan selama beberapa hari.

Bagi anak bongsu daripada 11 beradik itu, selain cabaran menggubah jambangan bunga, mereka juga terpaksa ke beberapa bank bagi mendapatkan wang kertas yang baharu.

"Duit untuk hadiah bunga duit mak ni hasil sumbangan adik-beradik semua. Kami bukanlah orang senang yang boleh bagi sejumlah yang begitu banyak.

"Tapi Alhamdulillah ada rezeki kami masing-masing dan hasil sumbangan itu kami tukar kat bank untuk mendapatkan wang kertas baharu," katanya.



Ibu Jaja (kanan, baju merah) gembira menerima jambangan bunga duit bersaiz kecil sebelum dikejutkan dengan jambangan bunga duit yang lebih besar.

Namun kata Jaja, paling mencabar dalam misi kejutan kali ini adalah perlu merahsiakannya daripada pengetahuan ibunya yang merupakan ibu tunggal selama 23 tahun.

"Sejak bergelar ibu tunggal, mak sentiasa menghabiskan masanya bersama anak-anak. Ke mana saja anak-anak pergi, mak akan ikut.

Kami adik-beradik cuba penuhi permintaan mak. Mungkin tak berpuluh ribu macam orang lain, tapi sudah cukup buat mak gembira dapat apa yang dihajati

JAJA

"Selama tiga hari kami pergi tujuh bank nak dapat wang kertas baharu, mak tetap nak ikut. Mak pelik kenapa banyak bank yang kami pergi. Macam-macam alasan kami beri supaya mak tak curiga.

"Kami kemudian gubah di rumah kakak dan sementara itu, mak ditinggalkan dengan adik-beradik lain. Sekejap-sekejap mak call tanya kat mana sebab saya tinggal bersama mak... jadi terpaksa buat sikit-sikit, tak nak mak syak bukan-bukan atau merajuk... maka berhari-hari jugalah nak siapkan," ujarnya.



Sebahagian besar keluarga Jaja.

Jaja yang merupakan jurusolek (MUA) berkata, kejutan dibuat di gerai ibunya yang berniaga kuih pada petang 16 April lalu.

"Kami saja buat kejutan di gerai sebab masa tu sajalah mak sibuk, tak dapat ikut kami ke mana-mana. Mula-mula kami beri jambangan bunga duit bersaiz kecil.

"Mak gembira dapat, kemudian kami buat kejutan dengan jambangan bunga duit yang lebih besar bernilai empat angka. Memang mak terkejut tak sangka sampai menangis.

"Kami adik-beradik cuba penuhi permintaan mak. Mungkin tak berpuluh ribu macam orang lain, tapi sudah cukup buat mak gembira dapat apa yang dihajati," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain