suria

Hajat hati nak tangkap ikan di sungai tapi ‘terpancing’ kucing pula, nasib baik 2 ‘abang’ di rumah sudi terima Sauk jadi ahli baharu

Ahmad menangkap seekor anak kucing ketika memancing di Sungai Kuantan.

"JALA ikan, dapat meow."

Begitulah salah satu komen netizen apabila melihat gambar hasil tangkapan seorang pemuda yang memancing di Sungai Kuantan, Pahang.

Menerusi satu perkongsian di Facebook, Ahmad Fadzlin Azeem Hassan, 34, tidak menyangka akan mendapat seekor anak kucing sewaktu memancing bersama rakannya, Edwin Hay Soon Hoe, 45.

Kejadian berlaku pada tahun 2019, sewaktu mereka memancing di sekitar kawasan Jambatan Tanjung Lumpur, Kuantan.

ARTIKEL BERKAITAN: Sebelum PKP 14 tahun asyik travel... kini jadi cleaner, gaji pertama hanya 3 angka tapi apa dilakukan pemuda ini besar sungguh pahalanya!

ARTIKEL BERKAITAN: Kasar sejak kecil, pengkid bawa lori kontena kejutkan ramai orang selepas tiba-tiba pergi kerja pakai tudung

Mengimbas kejadian lucu tersebut, dia yang mesra disapa Ahmad berkata pada masa itu dia dan Edwin telah memancing selama empat jam tetapi tidak mendapat sebarang hasil pada pagi itu.

Bagaimanapun Ahmad tiba-tiba menyedari seperti ada sesuatu yang berenang di dalam air sementara Edwin pula menyangka ia adalah seekor memerang.

"Saya perasan ada benda berenang ikut arus air ke arah bot kami. Kawan saya ingatkan benda tu memerang.

"Lama-kelamaan bila dah datang dekat tu barulah perasan. Rupa-rupanya anak kucing. Saya pun sauklah 'dia' pakai jaring," katanya yang berasal dari Kuantan ketika dihubungi mStar.



Ahmad menyelamat anak kucing yang hanyut dibawa arus sungai.

Ahmad yang bekerja sebagai kontraktor berkata, kucing tersebut hanya duduk diam selepas diselamatkan dan diberi nama Sauk kerana ia disauk keluar dari sungai dan dimasukkan dalam bot menggunakan jaring.

Tidak lama kemudian, mereka kembali memancing dan berjaya menangkap sebanyak 12 ekor ikan senangin.

"Saya rasa mungkin kucing ni hanyut dibawa arus sungai ketika air surut. Kalau terlambat sikit mesti dah sampai ke laut Kuantan.

"Lepas dah tangkap tu saya letaklah dia dalam bot. Sauk tak bising pun sepanjang kami memancing, masa bawa balik naik kereta pun tak berbunyi.

"Sampai sahaja di rumah, saya mandikan dan bagi makan wet food sebab dia masih lagi anak kucing," katanya yang ketika itu telah pun memiliki dua ekor kucing jantan yang diberi nama Jantan dan Betina.

Kalau ada rezeki nak tambah lagi seekor, saya okay je sebab isteri saya pun suka kucing. Kami pun belum ada anak lagi jadi kucing-kucing ni la jadi penyeri hidup.

AHMAD FADZLIN AZEEM HASSAN

Apabila ditanya bagaimana penerimaan dua ekor kucingnya terhadap Sauk, Ahmad berkata kedua-dua kucingnya itu melayan ahli baharu dalam keluarga mereka dengan baik.

Tidak seperti mana yang kita lihat di luar, kucing selalunya sukar untuk menerima haiwan lain dan mengambil masa yang lama untuk membiasakan diri dengan persekitaran atau 'rakan baharu'.

"Jantan dan Betina ni dah empat tahun saya bela. Waktu saya bawa balik Sauk mereka tak bergaduh pun. Dua ekor tu jaga Sauk macam adik sendiri, mungkin sebab masa tu dia kecil lagi. Saya bela tiga ekor kucing ni dalam satu sangkar, balik dari kerja baru lepaskan main di luar.

"Kalau ada rezeki nak tambah lagi seekor, saya okay je sebab isteri saya pun suka kucing. Kami pun belum ada anak lagi jadi kucing-kucing ni la jadi penyeri hidup," ujarnya.



Tiga ekor kucing ini menjadi penyeri hidup Ahmad dan isterinya.

Anak kedua daripada tujuh beradik itu telah mendirikan rumah tangga selama lima tahun bersama Nur Fatehah Ab Razak, 30, dan belum dikurniakan cahaya mata.

Namun begitu, mereka berdua menjadikan tiga ekor kucing ini sebagai salah satu aktiviti untuk meluangkan masa bersama sebagai suami isteri.

Minatnya dalam memancing pula telah bemula sejak kecil lagi dan dia akan keluar memancing sebanyak tiga kali dalam sebulan. Ikan yang berjaya ditangkap selalunya dibawa pulang untuk dimasak sendiri atau Ahmad akan berkongsi hasil tangkapannya bersama kawan-kawan dan jiran.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain