suria

Bukan mix Filipina, bukan juga keturunan Melayu Borneo! Gadis ini buat ramai terkejut selepas dedah identiti diri

Video TikTok yang dimuat naik Kartiana mengundang perhatian ramai di mana rata-ratanya kagum dengan kecantikan wajahnya.

SEKALI imbas, raut wajahnya kelihatan persis seorang gadis Melayu.

Jika diamati, mungkin ramai yang meneka gadis ini berasal dari Borneo, berketurunan Tionghua ataupun mempunyai darah kacukan dari Filipina.

Itulah reaksi yang sering diterima oleh gadis bernama Kartiana Aziz apabila pertama kali bersua muka dengan orang yang tidak dikenalinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Diejek konon kahwin Orang Asli kena tinggal dalam hutan, panjat pokok petai... wanita ini tambat hati mentua dengan daun pijat

ARTIKEL BERKAITAN: Gigih ubah nasib komuniti Orang Asli, Hanim Apeng tetap junjung prinsip "Sejauh mana pergi, jangan lupa asal usul"

Namun siapa sangka, gadis berambut ikal mayang dan berkulit cerah ini sebenarnya berketurunan Orang Asli dari suku Temuan.

Berkongsi cerita dengan mStar, Kartiana berkata dia merupakan anak jati Orang Asli dari Negeri Sembilan.



Kartiana sering kali disalaherti sebagai gadis Melayu atau berasal dari Borneo.

"Saya berasal dari Kampung Belihoi, Seremban. Sebenarnya ibu dan bapa saya tiada kacukan, tapi datuk iaitu ayah kepada ibu saya berketurunan Melayu.

"Memang kalau pergi mana-mana, orang akan ingat saya gadis Melayu, Cina, dari Sabah atau Sarawak. Yang ingat saya gadis Filipina pun ada. Bila beritahu saya gadis Orang Asli, mereka tak percaya melainkan selepas melihat sendiri kad pengenalan.

"Kalau saya berjalan bersama adik-adik sepupu, lagilah orang tak percaya sebab raut wajah yang hampir sama dan berkulit cerah," ujar gadis berusia 22 tahun ini.

Fasih berbahasa Melayu, gadis ini mendapat perhatian ramai selepas dia memuat naik beberapa video mengenai asal usul dirinya dan budaya suku Temuan.



Sepupu Kartiana turut mempunyai kulit cerah dan mempunyai iras wajah sepertinya.

"Saya baru saja buat akaun TikTok selepas lihat adik sepupu buat. Jadi saya fikir mengapa tidak saya gunakan medium TikTok untuk perkenalkan diri dan serba sedikit mengenai kaum kami. Idea untuk buat content tersebut secara spontan sahaja.

"Mesej yang saya cuba sampaikan menerusi video-video tersebut selain nak memperkenalkan mengenai suku Temuan, saya juga mahu ubah persepsi masyarakat luar terhadap Orang Asli.

Saya berani ke depan sebab saya nak ubah mindset orang mengenai Orang Asli.

KARTIANA AZIZ

"Lazimnya ramai yang stereotaip apabila sebut Orang Asli... mereka akan fikir mengenai rambut kerinting, bau busuk, berkulit gelap, mundur dan macam-macam yang kurang enak. Jadi saya mahu tukarkan persepsi negatif kepada positif," ujar graduan jurusan pelancongan dari sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ini lagi.

Tambah anak bongsu daripada dua beradik ini, dia sedikit pun tidak berasa malu malah bangga dengan asal usul serta budaya kaum sendiri.



Kartiana mengenakan pakaian tradisi suku Temuan.

"Saya berani ke depan sebab saya nak ubah mindset orang mengenai Orang Asli. Dulu masa sekolah, saya pernah jadi mangsa buli jadi saya tak mahu adik-adik sebangsa saya terima nasib yang sama.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Tak sangka pula dapat jumlah tontonan yang banyak. Biasalah, dalam ramai-ramai yang komen positif, pasti terselit juga komen negatif. Tapi melihat sambutan yang menggalakkan ini, saya bersemangat nak buat content mengenai Orang Asli lagi.

"Apa yang boleh saya katakan, usahlah hakimi orang lain... jangan anggap Orang Asli ni tinggal di hutan saja. Ubahlah cara pemikiran dan sebarkan perkara positif," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Covid-19: 70 kilang diarah tutup