suria

9 kali Ramadan tak dapat puasa selepas detik hitam di LPT, isteri masih setia sedia juadah buat suami hilang ingatan – “Tiba-tiba ikut baca surah Yasin”

Gambar kiri menunjukkan anak sulung Yana menyuapkan makanan pada suaminya, sementara foto kanan antara juadah yang disediakan. Gambar kecil Yana dan suami.

KEDATANGAN Ramadan kali ini pastinya mengundang sayu buat seorang wanita apabila tahun ini menjadi tahun kesembilan suami tercinta tidak dapat menjalani ibadah puasa.

"Sembilan kali Ramadan dah awak tak boleh puasa. Tahun pertama saya jaga awak kat hospital, saya bagi susu melalui tiub (hidung).

"Lapan kali Ramadan saya suap awak melalui mulut sebab dah boleh makan nasi," tulisnya menerusi satu posting di Facebook Masak Apa Tak Jadi Hari Ni Official, dengan memuat naik gambar hidangan nasi dan telur mata kerbau dengan kicap bersama ikan selayang goreng.

ARTIKEL BERKAITAN: Terpikat dengan lelaki OKU, kini dah pun jadi suami... isteri jual produk herba demi 'mata batu' - "Nampak sikit senget, ingatkan tanda lahir"

ARTIKEL BERKAITAN: Kahwin kali ke-2 niat nak jaga suami OKU, rupa-rupanya diri sendiri sakit kanser! Semangat wanita ini di TikTok dikagumi

Wanita berkenaan, Azliyana Ali berkata, suaminya tidak dapat berpuasa kerana sakit selepas terlibat dalam kemalangan motosikal di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Bukit Besi, Terengganu pada 2013 ketika perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja.



Foto kiri menunjukkan kemalangan motosikal yang membabitkan suami di LPT, manakala gambar kanan memaparkan suaminya ketika terlantar di hospital.

Wanita berusia 41 itu memberitahu, nahas itu mengakibatkan suaminya yang kini berumur 43 tahun mengalami kecederaan di kepala selain patah pergelangan tangan kiri dan tulang pipi.

"Suami saya menjalani pembedahan di kepala dan terlantar di hospital selama dua bulan. Hampir dua tahun dia terbaring saja di rumah dan sekarang dia dah boleh duduk.

"Akibat kecederaan itu, suami mengalami hilang ingatan. Dia tidak ingat saya dan anak-anak. Dia juga tak boleh uruskan diri sendiri... saya yang jaga dia sepanjang masa, makan minum dan tukarkan lampin untuk dia," katanya yang mendirikan rumah tangga sejak 2006 kepada mStar.



Suami Yana ketika menerima rawatan.

Lebih dikenali sebagai Yana, katanya, suaminya tidak dapat berpuasa kerana masalah kesihatan yang dihadapinya dan dia akan memasak untuk suami.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Lauk saya masak untuk suami berbeza-beza setiap hari. Alhamdulillah, suami tak cerewet dan dia makan apa yang saya masak.

"Kadang-kadang saya masak makanan kegemaran dia iaitu ikan keli goreng kunyit dicampur kicap," ujarnya yang berasal dari Kuala Besut, Terengganu.



Yana bersama keluarga pada Hari Raya Aidilfitri 2020.

Menurut ibu kepada tiga anak itu, suaminya itu perlu diberikan perhatian sepanjang masa dan pada masa sama dia juga bertanggungjawab menguruskan anak-anaknya.

"Jadi saya tak boleh keluar rumah selalu sebab suami tak boleh ditinggalkan lama-lama. Sekadar hantar dan jemput anak di sekolah dan beli barang keperluan.

"Saya sekarang ni membuat dropship jual baju dan mengambil tempahan untuk kuih-muih termasuk biskut raya untuk menjana pendapatan keluarga," ujarnya sambil menambah suaminya menghidap penyakit sawan.



Yana mendidik anak-anaknya supaya menjaga bapa mereka.

Dalam pada itu, Yana dan keluarga yang menetap di Kuala Nerus berkata, kadang-kadang suaminya lebih mengingati peristiwa dan keadaannya yang lampau.

"Saya diberitahu suami masa muda-mudanya sering mengaji. Ada ketika saya membaca surah Yasin, suami tiba-tiba ikut baca surah Yasin tanpa tengok buku.

Saya berharap agar suami dapat berpuasa semula dan memberikan kasih sayangnya sebagai bapa. Anak-anak begitu merindui kasih sayang bapa mereka

AZLIYANA ALI

"Suami tak ikut sampai baca habis, tapi dia baca dengan sendiri lepas tu dia senyap dan hanya mendengar saya meneruskan bacaan," katanya sambil menambah bahawa anak-anaknya sering mengadu merindui bapanya yang dahulu.

Yana berkata, pada masa ini dia sekeluarga menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain wang pencen Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) suaminya.



Yana (kanan) berharap suaminya kembali sihat.

"Saya masih mengalami kekangan kewangan kerana perlu menanggung kos perubatan suami selain urusan perbelanjaan keluarga terutama anak-anak.

"Saya berharap masalah kewangan dapat diatasi, malah mengharapkan orang ramai mendoakan agar suami saya kembali sihat dan ingatannya pulih.

"Saya juga berharap agar suami bukan sahaja dapat berpuasa semula, bahkan juga memberikan kasih sayangnya sebagai bapa. Anak-anak begitu merindui kasih sayang bapa mereka," katanya sebak.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain