suria

Ibu terkedu tengok pengorbanan anak sulung sanggup basah kuyup, berlari dukung adik dari sekolah - “Dia dah patah balik nak ambil payung”

Gambar kanan menunjukkan dua beradik yang mendapat perhatian apabila si abang mendukung adiknya dari sekolah ketika hujan lebat.

SEBAK! Begitulah rata-rata emosi netizen yang menyaksikan satu video dua beradik meredah hujan lebat, yang dimuat naik di aplikasi TikTok.

Lebih sayu apabila melihat seorang abang yang sanggup membiarkan dirinya kebasahan ketika mendukung adik lelakinya yang dijemput dari sekolah.

Walaupun bimbang dengan keadaan jalan dan lantai yang licin, abang yang berlari dengan hanya berselipar itu berjaya tiba membawa pulang adiknya ke rumah dengan selamat.

ARTIKEL BERKAITAN: Guru sebak terlihat 'sisi' lain pelajarnya ketika bertembung adik, selama ini hanya dianggap penghibur kelas

ARTIKEL BERKAITAN: Kejutan hadiah buat adik-adik, tapi abang yang sebak "Tak pernah meminta-minta, tapi saya tahu mereka teringin"

Ibu kepada dua beradik itu, Siti Norhidayu Mr Sherzada berkata, video tersebut dirakamkan secara spontan ketika anak sulungnya menjemput anak bongsunya di sekolah, petang Rabu.



Dua beradik selamat tiba di rumah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang, wanita berusia 36 tahun itu memberitahu, ketika itu hujan lebat dan mereka tidak mempunyai payung yang boleh digunakan.

"Mula-mula cuaca dah gelap. Anak sulung saya keluar macam biasa, tapi tak lama kemudian patah balik nak ambil payung sebab macam nak hujan.

"Sebenarnya ada tiga payung, tapi bila periksa satu payung ada masalah tak boleh buka dan satu lagi dah bengkok. Ada satu lagi payung memang elok digunakan, tapi tertinggal dalam kereta suami yang ketika itu tiada di rumah," katanya kepada mStar sambil menambah anak sulung dan anak bongsunya, masing-masing berumur 16 dan sembilan tahun.



Anak sulung Ayu mengambil berat terhadap adiknya.

Lebih dikenali sebagai Ayu, katanya, dia cuba untuk meminjam payung daripada jirannya, namun tiada maklum balas kemungkinan jirannya tiada di rumah ketika itu.

"Dalam keadaan yang tergesa-gesa tu saya tiada pilihan lain, jadi saya berikan sweater (baju sejuk) dan tuala tebal untuk anak sulung bawa untuk jemput adik di sekolah, dengan harapan mereka berdua dapat guna untuk berlindung daripada hujan.

Syukur ada anak sulung yang begitu ambil berat terhadap adik-adik. Agaknya kalau si abang masuk sekolah asrama memang susah saya.

SITI NORHIDAYU MR SHERZADA

"Jarak antara rumah dan sekolah anak sebenarnya begitu dekat, kira-kira dua blok perumahan tapi kalau dah hujan lebat, seminit pun kita sebagai ibu rasa lama sebab risau.

"Saya sangka seorang akan berlindung dengan sweater dan seorang lagi guna tuala tebal. Tapi tak sangka pula anak sulung biarkan dirinya habis basah kuyup berlari pulang, dan adik dia pula ditutupi dengan sweater dan tuala tebal," ujar ibu kepada tiga anak itu.



Keakraban tiga beradik membuat kerja rumah.

Menurut wanita yang berasal dari Jengka, Pahang itu, anak sulungnya merupakan abang yang gemar mengusik dan menyakat adik-adiknya.

"Si abang kalau mengusik, menyakat memang boleh buat adik-adik dia menangis. Tapi si abang ni sebenarnya seorang yang penyayang.

"Tiap-tiap hari dia tak jemu jemput adik kat sekolah. Walaupun jarak rumah dan sekolah dekat, tapi keselamatan anak-anak tetap diutamakan terutama yang bongsu masih kecil," ujarnya.



Ayu (belakang, dua dari kanan) bersama keluarga.

Malah, Ayu yang mengusahakan bisnes dalam talian berkata, anaknya itu begitu mendengar kata dan rajin membantu melakukan kerja-kerja rumah.

"Selain rajin jemput adik di sekolah, dia jugalah yang tolong belikan barang-barang dapur atau lauk di kedai. Anak-anak saya ni memang rajin segala segi.

"Kalau seorang potong sayur, seorang akan basuh makanan mentah dan seorang lagi buat kerja lain di dapur. Mereka ni memang suka tolong saya di rumah, Alhamdulillah.

"Syukur ada anak sulung yang ambil berat terhadap adik-adik. Agaknya kalau si abang masuk sekolah asrama memang susah saya," ujarnya secara berseloroh.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain