suria

Kasihan suami, berkali cuba buat kejutan tapi asyik gagal! Tahun ni isteri dapat kek birthday cair pula - “Saya tengok dia dah macam runner”

Gambar kiri menunjukkan suami Azie terpaksa menjadi runner, sementara foto tengah menunjukkan keadaan kek yang cair. Menerusi gambar kiri kelihatan Azie bersama hadiah hari jadi pemberian suami.

HASRAT seorang suami untuk melakukan kejutan buat isterinya, dengan menggunakan khidmat penghantar barang atau runner ke rumah bagi membawa hadiah hari jadi, tidak menjadi.

Menerusi satu perkongsian yang dibuat oleh isterinya di aplikasi TikTok, berlaku perkara sebaliknya apabila sebiji kek hari jadi tersebut 'cair' sebaik sampai ke tangannya.

Wanita berkenaan, Siti Foziah Jawari memberitahu, kejutan yang dirancang suaminya adalah sempena hari ulang tahun kelahirannya yang ke-40 pada 21 Mac lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Berbulan rancang nak surprise suami, isteri dapat 'kejutan' terlebih dahulu... kek birthday terbelah di tangan runner tak jujur - "Kenapalah dia tak fikir"

ARTIKEL BERKAITAN: Sekeluarga dapat kejutan! Pertama kali nak cuba kek ais krim, dua biji sekali gus jatuh ke lantai - "Terlompat macam kera kena belacan tu spontan"

Siti Foziah berkata, beberapa hari sebelum kejadian dia telah dimaklumkan oleh suaminya bahawa ada barang yang akan dihantar ke rumah mereka.



Selain kek hari jadi, Azie turut menerima jambangan coklat dan belon.

"Suami berkali-kali tanya adakah saya akan keluar ke lapangan untuk bekerja memandangkan pada masa ini saya bekerja dari rumah.

"Dia beritahu ada penghantaran barang ke rumah, menerusi pembelian secara dalam talian. Saya hairan juga sebab selama ni pun kalau beli barang online, barang dibiarkan hantar ke rumah macam biasa tanpa perlu saya berada di rumah," katanya kepada mStar.

Lebih dikenali sebagai Azie, dia bagaimanapun tidak berharap untuk menerima hadiah hari jadi daripada suaminya yang baru kini berpeluang untuk membeli kereta pertama.

"Sejak berkahwin pada 2019, suami tak ada kereta. Pergi kerja pun guna motosikal. Baru-baru ni saja dia dapat beli kereta pertama dengan membayar deposit.

"Saya memahami keadaan dia yang baru guna duit untuk beli kereta, jadi saya tak la berharap untuk terima hadiah hari jadi," ujarnya yang berasal dari Senai, Johor itu.



Azie (kiri) bersama suami pada hari kejutan.

Bagaimanapun menurut Azie, disebabkan keadaan tak dapat dielakkan, dia perlu keluar bekerja di lapangan pada hari berkenaan, sekali gus menjejaskan rancangan suaminya.

"Suami kemudian beritahu akan pulang ke rumah lebih awal hari tu. Setibanya di rumah, suami balik siap bawa belon, jambangan coklat dan sekotak kek... saya tengok dia dah macam runner.

"Rupa-rupanya yang patut hantar hadiah tu memang runner. Tapi sebab perubahan saat akhir dan runner tak boleh tunggu lama dan ada tugasan lain, jadi suami terpaksa habis kerja awal petang tu untuk ambil sendiri barang-barang yang ditempah daripada runner," tambahnya.



Baki kek hari jadi selepas dimakan.

Azie yang bertugas sebagai pembanci berkata, dia juga terkejut apabila mendapati kek hari jadi di dalam kotak tersebut cair di bahagian atas dan terbelah di bahagian tengahnya.

"Agaknya dalam keadaan tergesa-gesa, suami tak sempat nak tengok rupa kek tu masa ambil daripada runner. Suami jadi serba-salah, cepat-cepat minta maaf kat saya.

Suami memang tak pandai buat kejutan, tapi saya hargai sangat usaha dan kesungguhan dia.

SITI FOZIAH JAWARI

"Dia pun tak sampai hati nak call runner tu sebab tak pasti kek tu cair di pihak siapa sebab runner tu datang dengan kereta, manakala suami angkut kesemua hadiah tu dengan motosikal. Sekarang ni cuaca panas, itu kek boleh cair,” katanya.

Azie berkata, ini bukanlah kejutan pertama suaminya buat kejutan 'tidak menjadi' kerana perkara sama pernah berlaku sempena hari jadinya pada Mac 2020 ketika negara baru beberapa hari dikuat kuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.



Azie (kanan) suami mendirikan rumah tangga pada 2019.

"Suami dah rancang lebih awal sebelum PKP di mana akan ada orang hantar hadiah ketika kami makan di restoran. Tapi memandangkan restoran diarah tutup bermula PKP pada 18 Mac, suami terpaksa mengubah lokasi kejutan ke sebuah bengkel.

"Dia ajak saya temankan ke bengkel sedangkan masa awal PKP tu pun bengkel tak dibenarkan beroperasi. Sudahnya dapat hadiah depan bengkel yang ditutup.

"Memang kelakar sebab kejutan tahun lepas pun tak jadi. Suami memang tak pandai buat kejutan, tapi saya hargai sangat usaha dan kesungguhan dia," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Ular sawa menyorok bawah katil kanak-kanak