suria

Kereta terjun tasik: Persoalan siapa ‘pergi’ dulu terjawab, hasrat kakak nak ‘bersama ikut mak’ dimakbulkan - “Kami sekeluarga hanya mampu terdiam”

Gambar kiri menunjukkan kereta yang dinaiki arwah ibu Hani dan kakaknya terjunam ke dalam tasik, sementara foto kanan kenangan Hani bersama arwah ibu. foto instagram haney_nieza

LULUH hati seorang anak menerima berita pemergian ibu dan kakak yang lemas selepas kereta Proton Persona dinaiki mereka terjunam ke dalam tasik.

Salah seorang daripada 11 anak Allahyarhamah Hasmah Mat Isa, 69, berkongsi kesedihan menerusi posting di laman Instagram selepas kedua-dua mangsa selamat dikebumikan.

"Alhamdulillah Allah mudahkan urusan kami semua hari ni, cantik sangat rumah baru arwah mak kakak. Kemas bersih je, tenang sangat tengok.

ARTIKEL BERKAITAN: Tukang jahit telekung dipotong 2 kaki sempat beri hint sebelum meninggal, anaknya terkilan diri tiada common sense! Video 'kejut mak tak bangun' jadi realiti

ARTIKEL BERKAITAN: Siang ibu gelak-gelak, Maghrib dijemput Ilahi... anak sayu kenang kari ayam terakhir - "Mak gosok baju untuk kami pakai hari meninggal dunia"

"Ya Allah ya Tuhanku, Kau ampunilah dosa-dosa arwah emak dan kakakku, Kau muliakan lah mereka, Kau rahmati lah mereka, Kau tempatkan lah mereka dalam kalangan orang-orang yang beriman. Amin," tulisnya menerusi akaun haney_nieza pada Isnin malam dengan tanda pagar (hashtag) #21/03/2021DalamKenangan.



Lokasi kejadian di Tasik Lake Resort di Serdang, Bandar Baharu, Kedah.

Haniza atau lebih dikenali sebagai Hani turut memberitahu kakaknya, Allahyarhamah Noraiza Hashim, 28, pernah menyuarakan hasrat untuk 'pergi' bersama ibu mereka.

"Allahuakbar, kami sekeluarga hanya mampu terdiam bila dapat tahu baru-baru ni arwah kakak pernah sembang dengan kawan dia kat kilang yang dia nak pergi sama-sama dengan arwah mak.

"Tak sangka doa-doa dia termakbul. Doa-doa arwah mak pun termakbul, arwah mak nak sangat mati syahid macam arwah mak dia mati sebab jatuh telaga.



Kenangan... Hani (kiri) bersama bapa, Hashim Ariffin (dua, kiri), Hasmah, Noraiza dan seorang ahli keluarga.

"Masa tu arwah mak baru tujuh tahun tak silap, dia lagi awal rasa sakit kehilangan orang yang dia paling cinta. Arwah mak selalu juga tanya anak-anak, siapalah yang akan pergi dulu antara kita ni sebab kami satu famili 13 orang termasuk arwah mak dan abah.

"Dia selalu minta nak pergi dulu dari abah dan anak-anak. Dia tak mahu abah dan anak-anak pergi dulu dari dia sebab dia tak sanggup kehilangan kami," ujarnya beserta emoji menangis.

Arwah mak selalu juga tanya anak-anak, siapa lah yang akan pergi dulu antara kita ni sebab kami satu famili 13 orang termasuk arwah mak dan abah

HANIZA

Dalam posting berasingan, Hani memuji kemuliaan ibunya yang sanggup berkorban nyawa untuk melahirkan dan menjaga mereka 11 adik-beradik.

"Mak ku sayang, sesungguhnya mak insan yang paling mulia di mataku. Mak insan yang sanggup berkorban nyawa untuk melahirkan dan menjaga kami 11 adik-beradik, besar pengorbanmu wahai emak.

"Kakakku sayang sesungguhnya Allah lebih sayangkan kamu, besar pengorbananmu cuba untuk selamatkan mak. Semoga syurga buatmu kakakku sayang, nanti kita jumpa kat sana OK. Tunggu tau. Ya Allah, aku tak mimpi kan.



Luahan Hani di Instagram.

"Sesiapa yang mengenali mak dan kakak Hani, mohon sedekahkan Al-Fatihah buat mereka, halalkan makan minum mereka. Ampunkan segala dosa-dosa mereka yang sengaja atau tidak sengaja. Kalau mereka ada terhutang sesiapa yang belum diselesaikan, mohon jumpa Hani.

"Ya Allah... Kau ampunkanlah segala dosa-dosa mereka. Haramkan wajah emak dan kakakku dari disambar oleh api neraka. Kurniakanlah mereka syurga tanpa hisab. Al-Fatihah emak dan kakak," ujar Hani.

Dalam kejadian Ahad lalu, dua berank lemas selepas kereta Proton Persona yang dinaiki mereka terjunam ke dalam tasik di Tasik Lake Resort di Serdang, Bandar Baharu, Kedah.



Dua beranak selamat dikebumikan pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Mohd Akmal Hizam Abd Khupur berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang Ahad, siasatan awal mendapati, kereta itu berada di kawasan parkir tasik berkenaan sebelum pemandunya dipercayai tertekan pedal minyak menyebabkan kenderaan itu bergerak ke depan lalu meluncur masuk ke dalam tasik.

"Kedua-dua mangsa dipercayai terperangkap di dalam kenderaan sebelum lemas," kata beliau dalam satu kenyataan.

Jenazah dua beranak itu dilaporkan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Irsyad, pada Isnin.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain