suria

Crush masa Form 1 muncul di kenduri kahwin kakak, bermula curi pandang kini jadi tunang - “Masa majlis bertandang, dia beranikan diri hubungi saya”

Pasangan yang terpisah selama lapan tahun ini akhirnya mengikat tali pertunangan.

BENARLAH kata pepatah, kalau dah jodoh tidak ke mana.

Meskipun terpisah bertahun-tahun lamanya, namun siapalah manusia untuk menidakkan takdir yang telah ditentukan Tuhan.

Begitulah kisah pasangan ini yang masing-masing terpisah lapan tahun tanpa khabar berita, namun siapa sangka, akhirnya bakal disatukan sebagai pasangan suami isteri yang sah tidak lama lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita tak sangka lelaki sanggup korban tidur sebab nak ‘guide’ daki gunung akhirnya ‘guide’ dirinya ke jannah - “Mula-mula tak suka dia”

ARTIKEL BERKAITAN: Jumpa sekali je tapi ‘caring’ lain macam, wanita beranikan diri ajak lelaki baru kenal 2 bulan kahwin... jawapan diterima sangat tak disangka

Imbasan bibit-bibit cinta mereka sehingga mengikat tali pertunangan baru-baru ini yang dikongsikan di aplikasi TikTok ternyata mengundang perhatian netizen apabila meraih lebih 500,000 tontonan.

Berkongsi cerita dengan mStar, gadis yang hanya mahu dikenali sebagai Nur Alya berkata dia jatuh hati dan mula menaruh perasaan kepada tunangnya, Helmi ketika dia berusia 13 tahun.



Alya dan tunangnya, Helmi bersua semula selepas lapan tahun ketika di majlis perkahwinan kakaknya.

"Tunang saya masa tu pula tingkatan lima. Kiranya dia senior saya di sekolah. Masa pertama kali tengok wajahnya terus berdoa dalam hati 'kalau tak dapat dia, dapat macam muka dia pun tak apa'.

"Biasalah saya budak-budak lagi masa tu... mestilah dia tak perasan pun. Sampailah dia habis sekolah tingkatan lima dan sambung pelajaran, memang tak pernah dah nampak bayangnya. Sedih jugalah tapi orang kata move on saja," cerita gadis berusia 22 tahun ini.

Menurutnya yang senang disapa sebagai Alya, mereka tidak bertemu hampir lapan tahun lamanya sehinggalah bersua semula ketika majlis perkahwinan kakaknya pada 15 Mac tahun lalu.

"Nak dijadikan cerita, dia jadi jurufoto masa majlis kakak. Saya memang tak tahu menahu pun siapa jurufoto kakak, sehinggalah ternampak wajah dia.



Pasangan ini merancang untuk diijabkabulkan pada tahun ini.

"Memang terkejut dan tak sangka sungguh. Walaupun wajah berubah sikit tapi saya masih dapat cam. Masa tu curi-curi pandang juga. Dia pun perasan saya masa majlis tapi takut nak tegur bimbang saya dah berpunya.

"Masa majlis bertandang, malam tu barulah dia beranikan diri hubungi saya menerusi Direct Message (DM) di Instagram," katanya yang berasal dari Pendang, Kedah.

Cerita Alya yang kini bekerja di Kuala Lumpur, mereka berhubungan seperti kenalan biasa sehinggalah lelaki tersebut akhirnya meluahkan hasrat untuk menjadikannya sebagai isteri.

Dia memang gentleman... dia datang betul-betul bawa keluarganya untuk bertemu keluarga saya.

NUR ALYA

"Masa kawan dulu tak ada pun dia ajak couple... tiba-tiba ajak kahwin. Saya ingat main-main sebab dia jenis 'masuk air' sikit. Saya beritahu kalau niatnya serius, datanglah bertemu kedua ibu bapa saya.

"Dia memang gentleman... dia datang betul-betul bawa keluarganya untuk bertemu keluarga saya, ketika itu sekitar Disember lepas. Tapi masa tu saya tak ada sebab kerja. Alhamdulillah kedua-dua famili beri restu. Apa yang suka tentangnya dia seorang yang caring, lucu, hormat orang tua.

"Sepatutnya kami ikat tali pertunangan pada Februari tapi memandangkan masa tu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka tangguh ke Mac. Kami bertunang pada 15 Mac baru-baru ini.



Rata-rata netizen turut gembira dengan kisah pasangan ini yang akhirnya bakal disatukan selepas lapan tahun berpisah.

"Tapi tak sangka, rupa-rupanya tarikh tu ada simbolik iaitu sempena setahun pertemuan semula kami tahun lalu. Memang tak rancang pun," kata anak bongsu daripada lima adik beradik ini.

Tidak menyangka videonya viral, Alya turut meluahkan rasa terharu dengan komen-komen yang dilontarkan netizen terutamanya yang mendoakan agar hubungannya bersama tunang berkekalan hingga ke jenjang pelamin.

"Sebenarnya buat video dan post dekat TikTok suka-suka saja... hanya nak abadikan salah satu momen indah dalam hidup.

"InsyaAllah kami merancang untuk bernikah dalam tahun ini juga tapi belum tetapkan tarikh. Mudah-mudahan doakan untuk kami ya," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain