suria

Buat hebahan seumur hidup ‘tak pernah masuk Sunway Lagoon’, jurutera terkejut tak lama kemudian dapat pas masuk percuma

Afiff tidak menyangka tweet yang dikongsi akan meraih respon daripada pihak Sunway Lagoon.

BAGAI bulan jatuh ke riba.

Begitulah gambaran mengenai rezeki tak disangka-sangka yang diterima oleh jejaka ini.

Pada Ahad lalu, pemuda yang hanya mahu dikenali dengan nama Afiff itu sekadar suka-suka memuat naik satu tweet, berkongsi kisahnya yang belum pernah berkunjung ke taman tema Sunway Lagoon.

ARTIKEL BERKAITAN: Sunway Lagoon, Lost World of Tambun kembali dibuka... dalam bergembira pengunjung jangan lupa patuh SOP!

ARTIKEL BERKAITAN: Seronok dibawa ke taman tema, ramai tersentuh si anak sempat bisik ‘cukup duit ke?’ di telinga ibu - “Dia ada tabung khas”

"Hi, nama saya Afiff, saya sudah berumur 24 tahun dan saya tidak pernah lagi pergi ke Sunway Lagoon," tulisnya.

Tweet itu sehingga kini meraih hampir 4,000 ulang kicau (Retweet).

Tidak lama kemudian, jurutera yang menetap di Cheras, Kuala Lumpur itu menerima mesej daripada pihak Sunway Lagoon sendiri, menawarkan pas masuk percuma kepadanya.

Afiff (gambar kecil), dia tidak pernah mengunjungi taman tema itu sepanjang hidupnya.

Malah, Afiff turut berkongsi paparan skrin mesej perkhabaran gembira yang diterimanya itu ke laman Twitter.

"Mereka menghubungi saya, saya akhirnya akan ke Sunway Lagoon. Terima kasih netizen. Terima kasih taman tema Sunway. Sayang semua," tulisnya lagi.

Bercerita kepada mStar, Afiff yang berasal dari Rawang, Selangor mengakui dia sekadar memuat naik tweet asal itu secara suka-suka.

Saya diberitahu mendapat empat pas masuk, saya rancang untuk bawa kawan-kawan bersama saya ke sana.

AFIFF

"Saya buka Twitter dan nampak kawan kongsi gambarnya ke Sunway Lagoon. Jadi saya tweet secara suka-suka.

"Memang tak jangka akan dapat tiket percuma. Agak terkejut, saya ingatkan mesej tu bukan dari akaun Twitter rasmi mereka (Sunway Lagoon).

"Lepas tu saya tengok balik untuk buat semakan. Betul ia merupakan akaun Twitter Sunway Lagoon. Tapi saya agak sibuk dengan kerja sekarang, mungkin akan berkunjung ke sana pada cuti hujung minggu," ujarnya.

Afiff turut berkongsi berita gembira itu di Twitter.

Biarpun gayat dengan ketinggian, Afiff berkata dia tidak akan melepaskan peluang mencuba tarikan-tarikan permainan yang ada di taman tema itu.

"Saya diberitahu mendapat empat pas masuk, saya rancang untuk bawa kawan-kawan bersama saya ke sana.

"Agak tertarik untuk cuba permainan Vuvuzela (gelongsor air gergasi) dan kapal lanun yang boleh berpusing-pusing tu," ujarnya.

Malah, Afiff turut menzahirkan rasa terima kasih kepada pihak Sunway Lagoon atas pemberian itu.

Antara tarikan yang ada di Sunway Lagoon.

"Terima kasih kepada pihak Sunway Lagoon. Pertama, saya tak sangka mereka akan hubungi dan tawarkan tiket percuma.

"Kedua, saya harap Sunway Lagoon akan terus menjadi taman tema yang menarik dan bertambah menarik selepas ini," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, netizen di Twitter turut meninggalkan pelbagai komen termasuklah ucapan tahniah buat jejaka itu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain