suria

Seronok dibawa ke taman tema, ramai tersentuh si anak sempat bisik ‘cukup duit ke?’ di telinga ibu - “Dia ada tabung khas”

Saif Amaan Daniyal Mohd Soffian, kanak-kanak berumur enam tahun yang sudah pandai membuat simpanan.

TIDAK dinafikan, ibu bapa pastinya tidak dapat lari daripada ragam serta kerenah anak-anak yang mahu permintaan mereka dipenuhi.

Tular satu posting di Twitter pada Selasa mengenai seorang ibu membuat kejutan kepada anaknya yang berusia enam tahun.

Alahai, so sweet! Pasti ramai yang tersentuh hati melihat gelagat dua beranak ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak 4 bulan terlantar ibu hanya datang untuk ‘selfie’, padahal berdiri di wad pun boleh nampak kawasan rumah

Posting tersebut memaparkan sebuah video berdurasi 2:20 saat itu dimuatnaik oleh Nur Dianah Kamarul Bahrin, di akaun Twitter miliknya dengan kapsyen, 'Reaksi Amaan apabila dia mendapat tahu hal yang sebenar. Dia siap ada tabung khas OK untuk pergi sini. Seolah-olah mimpinya menjadi kenyataan'.

Posting tersebut tular dengan meraih kira-kira 6,400 ulang kicau (retweet).

Lebih mesra disapa Diana, dia berkata anaknya, Saif Amaan Daniyal sudah lama menyimpan hasrat untuk ke Taman Tema Sunway Lagoon yang terletak di Subang Jaya, Selangor.

Malah katanya, anaknya yang dipanggil Amaan itu turut mempunyai sebuah tabung simpanan khas untuk membeli tiket ke taman tema tersebut.

"Amaan memang dah lama teringin nak pergi ke Sunway Lagoon, bermula selepas dia nampak satu iklan di TV. Terus dia ajak saya dan suami pergi, tapi saya cakap, boleh, tapi kita kena kumpul duit dulu supaya semua orang boleh pergi.

"Selepas tu, pada awal Januari lalu dia minta saya dan suami tambah satu lagi tabung khas untuk simpan duit nak beli tiket ke Sunway Lagoon. Saya pun ikut saja. Tengok dia bersungguh-sungguh betul kumpul duit," katanya ketika dihubungi mStar.

Jelas ibu kepada dua cahaya mata ini, anaknya juga seorang yang cermat dan pandai menguruskan wang selain diajar menabung sejak usianya masih kecil.

Amaan kemudian datang pada saya dan bisik di telinga saya tanya cukup ke duit?. Allah! Terkejut sangat masa tu dalam seronok-seronok pun dia masih memikirkan soal duit simpanannya.

NUR DIANAH KAMARUL BAHRIN

SURIRUMAH

Wang yang disimpan kebanyakannya adalah pemberian datuk dan neneknya serta ahli keluarga yang lain setiap kali mereka datang menziarah.

Bagaimanapun, kongsi Diana lagi, 'seakan-akan pucuk dicita ulam mendatang' dia telah ditawarkan tiga tiket ke Sunway Lagoon yang ditaja khas Wonderfly.asia.

Jelas terpancar kegembiraan di wajah Amaan apabila keinginannya ditunaikan.

"Syukur sangat sebab kebetulan satu hari tu ada syarikat bagi tiga tiket masuk ke taman tema tu secara percuma kepada saya. Terfikir juga mungkin ini rezeki anak. Yalah dia sanggup menabung sebab betul-betul teringin nak ke sana.

"Tapi saya langsung tak beritahu dia sebab saya cadang nak buat surprise. Dah lama sangat dia cakap nak pergi situ. Lagi pula tengok kesungguhan dia menabung, itu yang buat saya bangga. Amaan tak pernah memaksa, tapi saya saja cakap, tak apa kita tunggu duit penuh dulu baru pergi," kata wanita berusia 27 tahun ini.

Amaan merupakan seorang kanak-kanak yang matang selain pandai menghargai.

Jelas Diana, tiket tersebut diperolehinya pada penghujung Oktober lalu dan menyimpannya tanpa memberitahu Amaan.

"Isnin pagi tu dia ada tanya saya nak pergi mana, jadi saya terpaksa tipu cakap nak bawa pergi swimming kat rumah kawan baba sebab masa tu saya pakaikan dia baju renang. Dia dah seronok dah, masa tu dia tak tahu yang sebenarnya saya dan suami nak bawa ke Sunway Lagoon. Saya layankan saja.

"Dalam kereta macam biasalah dia tanya, rumah kawan baba kat mana. Tapi sampai saja dekat tempat parking dia dah pelik, masa tulah saya beritahu dia perkara sebenar. Bukan main gembira dia tak habis-habis menyanyi," ceritanya yang kini menetap di Semenyih, Selangor.

Foto Amaan bersama kedua ibu bapa serta seorang lagi anak lelaki berusia 17 bulan.

Merupakan seorang suri rumah, Diana mengakui sedikit tersentuh dengan satu soalan yang diajukan oleh anaknya sulungnya itu.

"Dalam tengah-tengah seronok tu dia masih memikirkan soal duit simpanannya, Amaan datang pada saya dan berbisik di telinga saya tanya cukup ke duit?'. Allah! Terkejut dan terharu sangat masa tu," luahnya.


Rata-rata netizen turut meninggalkan komen positif pada posting tersebut.

"Sepanjang perjalanan balik, Amaan tak habis-habis cakap 'umi... best lah! Nanti kita pergi lagi'. Sampaikan bila jumpa sepupu-sepupu pun, dia asyik ulang cerita yang sama. Alhamdulillah rezeki anak, kami pun berpeluang luangkan masa bersama-sama," katanya.

Bercerita lebih lanjut mengenai Amaan, Diana menyifatkan dia seorang yang menyenangkan dan tidak banyak ragam malah pertanyaannya sama ada duit yang dibawa cukup atau tidak itu menunjukkan dia matang berbanding usianya yang masih muda dan tahu menghargai kedua ibu bapanya.

"Pernah juga dulu, bila kami keluar bersama dia minta belikan mainan dan kebetulan saya tak cukup duit. Saya cakap, kita tengok dulu boleh, nanti kita datang beli OK?' Dia langsung tak meragam dan mendengar kata. Kadang-kadang tu saya cakap, boleh ambil tapi kita beli yang murah sikit dari yang ini'. Amaan ikut dan pilih mainan menepati bajet," katanya.

"Saya syukur sangat-sangat kedua-dua anak sangat memahami walaupun mereka masih kecil. Saya doakan semoga mereka menjadi anak yang soleh dan hormat pada orang sekeliling," ujarnya.

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my
anak, teringin, Sunway Lagoon

Artikel Lain