suria

Berulang kali jadi mangsa cabul abang kandung, tambah sedih ibu bapa tak peduli... siap minta jangan heboh-heboh - “Mana mungkin aku memaafkan”

Seorang wanita berkongsi peristiwa pahit apabila pernah menjadi mangsa cabul abang sendiri ketika remaja. Gambar hiasan

ISU jenayah seksual bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan atau didiamkan.

Pencabulan juga dikategorikan sebagai jenayah seksual, yang mana sebenarnya lebih ramai mangsa mengalaminya tanpa disedari.

Jangan terkejut jika dikatakan majoriti pelakunya adalah individu yang rapat dengan mangsa, justeru situasi ini sedikit sebanyak menimbulkan rasa trauma memandangkan kebarangkalian untuk gangguan tersebut berulang adalah sangat tinggi.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kenapa Uncle S tonyoh muka kakak pada kemaluan dia?” - Anak jadi mangsa nafsu rakan bapa, hanya menggigil tahan air mata dengar penjelasan doktor

ARTIKEL BERKAITAN: Mengejutkan! Petugas makmal hospital dedah hakikat nafsu serakah tak kenal mangsa, tempat - “Dari meraba sehingga tiada pilihan melainkan melayan”

Menerusi coretan di laman IIUM Confession, seorang wanita berkongsi pengalaman menjadi mangsa cabul abang kandung sendiri, individu yang sepatutnya menjadi pelindung kepada dirinya.

"Aku membesar dengan latar belakang abah dan mak yang konservatif. Abah bukan jenis friendly jadi lingkungan rakan-rakannya terhad dan kebanyakannya sama pemikiran sepertinya.

"Abang ni ibarat permata sulung yang unggul, tinggi harapan abah dengan mak dekat dia. Aku, anak kedua tunggal perempuan dilayan seadanya seperti tidak berkepentingan.

"Seingat aku, aku tak pernah ada memori bonding dengan mak atau abah, jadi aku dah biasa tak ada tempat untuk mengadu, tak ada bahu untuk bersandar. Lagipun abah mak dulu cukup garang, silap sikit saja merasalah rotan hinggap," tulisnya.

Menurut wanita ini, detik hitamnya bermula ketika berusia belasan tahun, di mana dia sedang tidur berseorangan di dalam bilik.



Selain diraba, wanita ini juga pernah diintai oleh abangnya ketika sedang mandi. Gambar hiasan.

"Aku tengah tidur, pintu bilik terbuka. Tiba-tiba aku rasa ada tangan menyusur sekitar dada beberapa kali, aku terus buka mata dan terkejut tengok abang ada dekat tepi aku.

"Masa tu aku takut sangat, sedih, berdebar semua ada. Lepas abang keluar bilik aku tak tahu nak bagitau siapa dan macam mana, dan automatik mindset masa tu 'segan nak bagitau mak'.

"Aku fikir bab-bab cabul dan seks ni keluarga aku bukan jenis yang terbuka untuk memperkatakannya," katanya sambil menambah, dia kemudian mengambil keputusan untuk memendam sendiri.

Bagaimanapun tambah wanita ini, gangguan daripada abangnya tidak terhenti setakat itu.

Lelaki tersebut bertindak mengintainya mandi ketika kedua ibu bapa mereka tiada di rumah.

Seperti aku jangka, abah mak hanya berdiam diri saja bahkan mak cakap dekat adik 'toksah bising-bising la pasal ni'.

MANGSA CABUL

"Sehinggalah di hari lain, ketika aku sedang mandi tiba-tiba kedengaran adik aku menjerit 'abang intai kakak kenapa?"

"Terkejut bukan kepalang aku, habis mandi adik ajak teman dia main dekat luar lepas tu adik tanya aku 'kakak, tadi tau tak abang intai kakak dekat pintu?'

"Bila abah mak balik dari pasar, adik terus adukan hal memalukan itu kepada mak. Aku dekat tepi berdebar tunggu respon mak. Seperti aku jangka, abah mak hanya berdiam diri saja bahkan mak cakap dekat adik 'toksah bising-bising la pasal ni'.

"Masa tu hati aku berkecai! Aku tak rasa dilindungi sebagai anak perempuan, aku rasa tak selamat!," ceritanya.

Memandangkan hal tersebut langsung tidak diendahkan oleh ibu dan bapanya, wanita ini berkata dia terpaksa mempertahankan dirinya sendiri agar insiden yang sama tidak berulang.

"Pintu bilik setiap masa aku kunci lepas tu aku sendal dengan kerusi. Begitu juga bila mandi, aku akan tunggu ada mak dekat dapur baru aku mandi tak kisahlah lambat mana pun. Aku berusaha menutup ruang-ruang yang bakal abang jadikan peluang.



Wanita tersebut trauma dan tidak pernah melupakan peristiwa pahit berkenaan sungguhpun sudah mendirikan rumah tangga. Gambar hiasan

"Sejak dari peristiwa tu sehinggalah sekarang, tiada sekelumit pun buat aku lupa, bahkan aku berasa jijik dan marah dengan abang! Sanggup melayan nafsu serakah keatas adik perempuan sendiri.

"Hal ini tiada kemaafan sampai ke akhirnya. Mana mungkin aku memaafkan perbuatan yang dia sendiri pilih untuk kepuasan nafsu.

"Paling utama kekesalan dan kemarahan aku tentulah kepada mak abah sedangkan ibu bapalah insan paling selamat untuk kita mencari kekuatan dan berlindung," ujarnya.

Sungguhpun sudah berumah tangga, namun menurut wanita ini, tidak sedikit pun perasaan trauma itu hilang daripada dirinya.

"Hal pencabulan ini aku kongsikan dengan suami walaupun dia akan memandang buruk dekat abang, tapi aku rasa selamat dan dilindungi.

"Aku sokong sangat dengan awareness yang rancak dibualkan ketika ini, semoga tiada lagi insan-insan yang dicabul mendiamkan diri, menikus dan menyalahkan diri sendiri," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain