suria

Gambar dirakam lelaki ini ketika bawa tunang jalan-jalan ke sebuah pekan kecil buat ramai rasa nak singgah juga! - “Tanpa warung rojak, cendol... ‘tak cukup Pilah’ la”

Netizen kagum dengan hasil bidikan Zulkhilmy yang memaparkan kecantikan dan keunikan Kuala Pilah.

APABILA menyebut Kuala Pilah, pasti ramai yang membayangkan suasana sebuah pekan kecil yang tidak mempunyai tarikan menarik.

Namun tanggapan sedemikian perlu dibuang jauh-jauh, selepas melihat hasil bidikan pemuda ini yang menterjemahkan kecantikan dan keunikan pekan di Negeri Sembilan tersebut menerusi lensa kameranya.

Berkongsi di Twitter, ternyata gambar-gambar yang diambil oleh pemuda ini membuatkan ramai yang terpesona dengan lokasi dan tarikan tersendiri di pekan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pembuat kek rakam detik tak dijangka di Perlis, terkejut jadi viral - “Paling rare... antara gambar terbaik pernah saya hasilkan”

ARTIKEL BERKAITAN: Macam musim luruh, so real! Hakikatnya dalam kebun getah, semuanya spontan je - “Mulanya saya tolak... terbayang semak, nyamuk”

"Saya dah lama tinggal di Kuala Pilah, tapi tak pernah tahu Pilah seperti ini," demikian antara komen netizen pada perkongsian pemuda ini yang sehingga kini meraih 4,100 retweet.

Menurut Zulkhilmy Kamarol Zaman, kesemua gambar tersebut dirakam sekitar Julai tahun lalu ketika dia bersama tunangnya berkunjung ke pekan berkenaan atas beberapa urusan.

Pada kesempatan berkenaan, dia yang juga seorang jurufoto untuk majlis perkahwinan tidak melepaskan peluang untuk merakamkan 'port' legenda serta lokasi menarik di sekitar pekan tersebut.



Antara gerai 'legenda' di Kuala Pilah.

"Saya tergerak untuk berkongsi di Twitter selepas belek-belek gambar yang disimpan dalam telefon bimbit. Kebetulan tak ada buat-apa, tak dapat pergi mana-mana.

"Jadi bolehlah juga kongsi gambar tahun lepas tu untuk lepaskan rindu dan share dengan kawan-kawan. Tak sangka selepas post boleh jadi viral. Mungkin sebab mereka 'relate' dengan setiap port atau lokasi dekat Kuala Pilah," ceritanya kepada mStar.



'Port' menarik yang sempat dirakam oleh Zulkhilmy.

Menurut Zulkhilmy yang menetap di Seremban, Kuala Pilah bukanlah asing buat dirinya kerana dia sendiri pernah bersekolah selama tiga tahun di sebuah sekolah menengah di pekan tersebut.

"Orang luar mungkin ada yang tahu dan mungkin ramai yang tak tahu tentang tarikan pekan Kuala Pilah ni. Mungkin ada yang anggap Kuala Pilah tak ada yang menarik dan bukan lokasi percutian pilihan.

Di sini terdapat warung cendol dan rojak terkenal yang dah wujud puluhan tahun lalu. Warung ni seakan-akan identiti untuk pekan tu sendiri.

ZULKHILMY KAMAROL ZAMAN

JURUFOTO

"Jadi secara tak langsung perkongsian tersebut sedikit sebanyak dapat memaparkan keindahan, kecantikan dan keunikan pekan kecil ni.

"Kalau nak tahu, di sini terdapat warung cendol dan rojak terkenal yang dah wujud puluhan tahun lalu. Warung ni seakan-akan identiti untuk pekan tu sendiri. Kalau tanpa mereka, kiranya pekan ni 'tak cukup Pilah' lah," ujarnya berseloroh.

Tambahnya lagi, dia terharu dan dalam masa yang sama gembira apabila perkongsiannya membuatkan rata-rata netizen mengimbas kenangan masing-masing.



Zulkhilmy yang juga anak jati Seremban merupakan seorang jurufoto perkahwinan.

Malah ada juga yang mula jatuh cinta dengan pekan tersebut serta bercadang mahu mengunjunginya apabila ada peluang suatu masa nanti.

"Kalau yang dari Pahang nak ke Negeri Sembilan, mereka biasanya lalu Kuala Pilah sebagai jalan alternatif. Singgah-singgahlah pekan kecil ni. Banyak tempat menarik untuk diteroka, dan dalam masa yang sama boleh bantu ekonomi penduduk tempatan juga," katanya lagi.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain