suria

“Bukan saya minta atau buat-buat” - Penari suka melatah dakwa ‘berjangkit’ dengan nenek

Shah mula melatah sejak tahun 2016.

ADA dalam kalangan kita seronok mengusik individu yang melatah, tapi bagaimana pula perasaan mereka?

Menurut seorang penari dari Sabah, Mohd Shamizal Francif, 26, dia yang mula melatah sejak tahun 2016 kadang-kala sukar menjelaskan apa yang dialaminya itu.

Mesra disapa Shah, dia bagaimanapun belajar menerima diri sendiri seadanya dan tidak pernah berasa malu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengapit latah gagal ikut ‘arahan’, terlompat-lompat semasa iring pengantin

ARTIKEL BERKAITAN: Aksi Latah 'Mak Guard' Menghiburkan

"Bagi sesiapa yang melatah, jangan malu dengan diri sendiri. Belajar buka hati kita, belajar untuk orang terima kita seadanya.

"Lebih baik jadi diri sendiri, jangan munafiq. Tapi kadang-kala stres juga bila diusik. Bila dalam keadaan penat, akan termarah kawan.

"Tapi kawan saya pun tidaklah terlalu kerap mengusik. Kalau waktu kerja, kena serius," ujarnya kepada mStar.

Video Shah melatah tular di TikTok.

Imbas Shah, dia mula melatah gara-gara 'berjangkit' selepas mengusik neneknya yang turut mengalami masalah itu.

Malah, pernah berlaku beberapa insiden dia membaling objek gara-gara terkejut selepas diusik orang sekeliling.

"Puncanya sebab suka usik nenek, dia memang latah. Kemudian saya jadi terikut-ikut.

Ini bukan kita minta atau buat-buat, ia original sudah ada dalam badan.

SHAH

"Saya ni belum pernah sampai lempang orang, baling-baling barang tu ada. Antaranya terlempar props seperti kipas... saya kan penari.

"Nasihat saya kepada tukang usik ni, kena berpada-pada. Bukan all the time. Orang yang melatah pun ada masalah sendiri, kena cari waktu yang sesuai," ujarnya lagi.

Menurut Shah, rakan-rakan turut memberi idea agar dia berkongsi video latah yang dirakam secara spontan menerusi aplikasi TikTok.

Terkejut dirinya menjadi tular, Shah bagaimanapun bersyukur apabila semua komen yang ditinggalkan sangat positif.

Shah minat menari sejak kecil lagi.

"Kawan-kawan tempat kerja, mereka suruh saya kongsi video di TikTok. Tak sangka viral.

"Setakat ni belum ada kata-kata negatif. Kalau orang kata saya buat-buat, baik dia datang jumpa saya sendiri.

"Ini bukan kita minta atau buat-buat, ia original sudah ada dalam badan," ujarnya lagi.

Bercerita mengenai dirinya, Shah merupakan artis di bawah Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah sejak 2019.

Menurut jejaka etnik Kadazan Dusun itu, dia minat menari sejak kecil lagi dan sudah menguasai lebih 10 jenis tarian tradisional.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain