suria

Kisah ‘bawa jenazah guna kereta dari KL ke Bera’... anak saudara arwah jelaskan kejadian sebenar, tak tahu ada servis urus percuma – “Isteri pakcik panik, sedih”

(kiri) Isteri arwah mencium jenazah suaminya selepas dikafankan. (kanan) SPJM menguruskan penghantaran dan pengebumian jenazah. foto Facebook Muhammad Rafieudin Zainal Rasid

SAYU kisah waris yang sanggup membawa pulang jenazah seorang lelaki berusia 52 tahun dari Kuala Lumpur ke Bera, Pahang pada minggu lalu menaiki kereta dengan cara membaringkan kerusi hadapan kerana tidak mampu membayar sewa van jenazah.

Rancangan itu bagaimanapun tidak diteruskan apabila Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) membantu menguruskan jenazah sehingga selamat dikebumikan, dan segala kos ditanggung skuad tersebut.

Namun, kisah jenazah lelaki yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung yang dikongsikan oleh Pengerusi Eksekutif SPJM, Muhammad Rafieudin Zainal Rasid menimbulkan pelbagai reaksi.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak mampu bayar sewa van dari KL ke Bera, waris sanggup bawa balik jenazah baringkan kerusi hadapan kereta - "Hidup arwah memang susah"

Susulan laporan mStar mengenai perkongsian Muhammad Rafieudin atau lebih dikenali sebagai Ustaz Rafie pada Selasa, salah seorang waris kepada arwah tampil memberikan penjelasan lanjut berhubung perkara yang berlaku.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Nurul itu berkata, dia merupakan anak saudara kepada arwah dan hadir ke sebuah hospital dekat Kuala Lumpur, minggu lalu bagi pengurusan jenazah.



Anggota SPJM (kanan) menguruskan jenazah dengan segala kos pengurusan ditanggung oleh SPJM.

Menurut Nurul, pada hari bapa saudaranya meninggal dunia, isteri arwah yang menetap di Kuala Lumpur dalam keadaan panik dan sedih di atas pemergian suaminya.

"Isteri arwah kurang berkemampuan, berniaga secara kecil-kecilan. Ketika kejadian, isteri arwah dalam keadaan sedih dan panik, tambahan pula tiada keluarga lain ketika itu.

"Namun, isteri arwah kemudian mendapatkan nasihat daripada bapa saudaranya sendiri untuk mendapatkan bantuan SPJM yang selama ini menguruskan jenazah secara percuma menerusi sumbangan orang ramai," katanya kepada mStar.

Nurul berkata, bapa saudaranya tidak bekerja selepas jatuh sakit seminggu sebelum dijemput Ilahi dan meninggalkan seorang balu serta seorang anak lelaki berusia 14 tahun.

Saya akui terlambat semasa tiba di hospital kerana bapa saudara kepada isteri arwah terlebih dahulu mendapatkan bantuan SPJM untuk menguruskan jenazah

NURUL

Nurul mengakui terdapat kenyataan mengenai 'bawa balik jenazah ke kampung dengan kereta dengan cara baringkan tempat duduk hadapan' yang dikeluarkan oleh seseorang, namun dia enggan mengulas lanjut mengenai individu tersebut.

Dia yang menetap di Semenyih, Selangor menjelaskan bahawa kenyataan tersebut mengakibatkan isteri arwah mendengarnya dalam keadaan panik.

Bagaimanapun, Nurul menegaskan bahawa keluarga di sebelah arwah termasuk adik-beradik arwah sebenarnya mampu untuk menanggung segala kos pengurusan jenazah.

"Jadi, saya bergegas ke hospital untuk membantu menyelesaikan urusan jenazah bagi pihak keluarga sebelah arwah.

"Namun, saya akui terlambat semasa tiba di hospital kerana bapa saudara kepada isteri arwah terlebih dahulu mendapatkan bantuan SPJM untuk menguruskan jenazah.



Jenazah dibawa masuk ke dalam van SPJM untuk dihantar ke Bera

"Pada awalnya, saya tidak tahu pengurusan jenazah yang dilakukan oleh SPJM adalah percuma di atas sumbangan orang ramai, untuk golongan yang memerlukan dan kurang berkemampuan," ujar ibu kepada seorang anak itu.

Sehubungan itu, Nurul berkata, dia mewakili keluarganya amat bersyukur dan berterima kasih kepada SPJM kerana membantu mempermudahkan segala urusan sehingga jenazah selamat dikebumikan di Bera.

"Terima kasih kepada Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia yang membantu menguruskan jenazah arwah. Saya juga bagi pihak keluarga arwah mohon orang ramai untuk sedekahkan Al-Fatihah buat arwah dan mendoakan agar roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

"Bagi pihak keluarga arwah, kami merancang untuk memberikan sumbangan kepada Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia dengan harapan sumbangan itu dapat dimanfaatkan kepada waris jenazah lain yang susah dan kurang berkemampuan pada masa akan datang," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain