suria

Lupa hasrat jadi cikgu, wanita habiskan masa 24 jam sehari jaga 3 insan tersayang terlantar sakit... ‘ajaib’ tak pernah rasa penat!

Atirah sanggup mengorbankan cita-citanya untuk bergelar guru kerana mahu menjaga bapa, nenek dan datuknya yang sakit. -foto Facebook Raja Shamri

TIDAK semua orang sanggup mengorbankan cita-cita demi menjaga orang tua yang terlantar sakit.

Namun tidak bagi wanita muda ini apabila dia sanggup mengambil tanggungjawab penuh menjaga dan menguruskan bapa yang tidak lagi mampu berjalan selepas menjadi mangsa kemalangan langgar lari pada 2017.

Bukan setakat bapa, malah wanita muda ini turut menjaga dua lagi insan kesayangan yang terlantar sakit, iaitu datuk dan neneknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami lumpuh, anak terlantar sakit... PKP atau hari biasa tiada beza bagi wanita ini - “Nak nampak raya meriah kami sedondon warna walau pakai t-shirt”

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri hidap kanser telinga, pakcik OKU gigih berniaga di kaki lima bank... tulis atas kertas minta ‘pakat-pakat tolong’ - “Dia masih fikir orang yang lebih susah”

Kisah wanita bernama Atirah ini menjadi perhatian selepas dikongsikan oleh pengasas badan bukan kerajaan (NGO) Third Force, Raja Shamri Raja Hussin atau lebih dikenali sebagai Abang Raja, di Facebook.

"Atirah tidak menyambung pelajaran dan mengorbankan cita-citanya menjadi seorang guru demi menjaga ayah tersayang. Ayah yang terlantar selama dua tahun dan perlu penjagaan yang rapi.

"Allah bukan saja menguji anak hebat ini dengan bapa yang tak boleh berjalan, tapi dengan nenek yang terlantar. Nenek menghidapi penyangkit tiga serangkai dan kakinya telah dipotong pada tahun lepas.



Bapa Atirah lumpuh dari paras pinggang ke bawah akibat kemalangan jalan raya pada 2017.

"Atirah diuji lagi bila mana datuk pula diserang strok, yang mana menghidapi penyakit tiga serangkai serta masalah pendengaran disebabkan gegendang telinga pecah.

"Menjaga tiga orang yang sakit dalam satu rumah, bukan sesuatu yang mudah. Masa Atirah 24 jam sehari semalam hanya untuk bapa, datuk dan nenek," tulis Raja Shamri dalam perkongsiannya.

Menurut Raja Shamri, bapa Atirah yang lumpuh dari paras pinggang ke bawah dikategorikan mengalami kecacatan kekal dan mempunyai masalah untuk membuang air.

"Cuba kita bayangkan dengan kudrat Atirah untuk uruskan nenek dan bapa mandi.... ya Allah betapa tabahnya anak ini.

"Bukan itu saja, Atirah perlu masukan ubat ke dubur bapanya kerana bapanya mengalami masalah buang air besar. Ubat dimasukkan dan perlu dikorek-korek dengan jari untuk melancarkan pembuangan najis. Setiap hari ia perlu dilakukan," tulisnya.



Nenek Atirah menghidap penyakit tiga serangkai, dengan sebelah kakinya dipotong pada tahun 2019.

Keluarga ini hanya bergantung dengan sumber kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan, selain keprihatinan jiran tetangga.

Dengan jumlah bantuan yang sangat terhad itulah, ia digunakan untuk membeli makanan, lampin pakai buang, membayar bil dan perbelanjaan lain.

"Bil api pun dah banyak yang tertunggak. Lampin pakai buang pun mereka hanya mampu pakai yang reject aje.

"Setiap hari mereka sekeluarga hanya mampu makan telur dengan kicap sahaja. Ayam dan ikan jauh sekali. Mereka reda dan menganggap ini semua ujian Tuhan buat mereka.



Selain bapa dan nenek, Atirah turut menjaga datuknya yang menghidap strok, penyakit tiga serangkai dan mengalami masalah pendengaran.

"Ada satu ketika nenek dan bapa dimasukkan ke wad serentak. Nenek tingkat satu, bapa tingkat tiga dan datuk dekat rumah.

"Terkejar-kejar Atikah ke sana ke mari. Tapi katanya 'saya tak pernah rasa penat atau letih, mereka adalah darah daging saya, saya akan cuba yang terbaik buat mereka. Mereka tiada orang lain selain saya," ceritanya mengimbas kembali perbualan dengan wanita muda berkenaan.

Perkongsian meruntun jiwa itu mengundang perhatian netizen yang rata-ratanya menzahirkan rasa kagum dengan kecekalan anak muda berkenaan.

Sehingga kini posting itu meraih sehingga 1,300 shares di Facebook.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain