suria

Ibu tabah ‘hadap’ orang sekeliling, rumah didatangi polis gara-gara anak sangat cinta agama ‘obses azan’ - “Saya bawa dia hantar surat ke rumah jiran-jiran”

Noordianah berkongsi kisah anak sulungnya, Iman yang merupakan seorang kanak-kanak istimewa.

BUKAN seorang, tetapi pasangan ini dikurniakan dua orang anak istimewa sebagai penyeri rumah tangga.

Sudah tentu, cabaran untuk membesarkan anak istimewa bukan mudah, namun segala-galanya dihadapi dengan penuh ketabahan dan kekuatan untuk menjaga sebaik-baiknya amanah yang dikurniakan Allah.

Menurut Noordianah Alwi yang dikurniakan dua cahaya mata autisme, cabaran yang dihadapi bukan sekadar memahami sifat istimewa anak-anaknya, namun ujian paling utama adalah orang sekeliling.

ARTIKEL BERKAITAN: Tujuh tahun berlalu, suatu malam anak autisme ajak ibu saudara ke kubur ibunya hanya untuk peluk nisan - “Kenapa umi meninggal?”

ARTIKEL BERKAITAN: Sama-sama tak sempurna... babak dua rakan suap kawan ‘anak syurga’ buat ramai bergenang air mata

Kisah yang dialami awal Oktober lalu merupakan salah satu cabaran getir yang meninggalkan impak besar kepada mereka sekeluarga, sebagaimana yang dikongsikan di Facebook.

Menurut Noordianah, kisah bermula apabila dia menerima panggilan telefon daripada suami memaklumkan empat anggota polis hadir ke kawasan perumahan, susulan aduan daripada jiran mengenai tindakan anak sulungnya, Muhammad Iman Azhar yang berusia 10 tahun.

"Azan (laungan) Iman, diadukan lagi kepada pihak PDRM. Dimaklumkan Iman berbuat bising lagi, umi agak terkejut sebab sejak pukul 11.50 pagi umi sampai rumah, tak dengar pun iman guna mic (pembesar suara).

"Mic dah lama tak guna sejak kes DBKK (Dewan Bandaraya Kota Kinabalu) datang ke rumah. Anak umi azan manual saja. Panjang umi abah terangkan pada pihak polis dan mereka memahami keadaan Iman," tulisnya yang membahasakan dirinya sebagai umi dalam perkongsian tersebut.



Noordianah menghantar surat kepada jiran di taman perumahannya bagi menerangkan situasi sebenar Iman.

Tidak mahu hubungan dengan jiran tetangga bertambah keruh, Noordianah dan suaminya mengambil keputusan untuk menulis surat serta menerangkan situasi anak istimewa mereka kepada seluruh penghuni di taman perumahan tersebut.

Bercerita kembali detik berkenaan kepada mStar, Noordianah mengakui ia adalah antara cabaran paling sukar yang pernah dialaminya selama membesarkan Iman, namun dia mengambil pendekatan untuk bersikap positif.

"Saya sentiasa positif dengan apa juga dugaan yang Allah datangkan melalui anak autisme saya dan saya perlu fahamkan orang lain jika mereka tidak faham.

"Saya mengambil keputusan menulis surat kepada jiran tetangga yang menceritakan keadaan Iman yang sangat obses dengan azan, saya juga bawa Iman untuk hantar surat itu ke rumah jiran-jiran.

"Dua hari selepas itu ada jiran yang temui saya dan memohon maaf dan memberi kata-kata motivasi untuk terus bersabar.

"Ya, ia agak 'berat' bila rumah didatangi pihak majlis perbandaran dan polis, tapi saya tetap positif situasi ini menuntut saya bertindak wajar dan munasabah demi anak-anak," katanya.



Kedua-dua cahaya mata Noordianah merupakan anak istimewa yang didiagnos dengan autisme.

Bercerita lebih lanjut, Noordianah yang menetap di Kota Kinabalu, Sabah berkata Iman disahkan Autism Spectrum Disorder, Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) and kecelaruan mood, yang mana dia memerlukan rawatan dan ubat psikatri setiap hari.

Sementara itu anak keduanya, Nur Imanina Azhar yang berusia lapan tahun pula disahkan mengalami Intellectual Disability with Autism Spectrum Disorder.

Tambah Noordianah, Iman mengalami tantrum yang teruk pada sesetengah perkara terutama jika minatnya dihalang, dan tingkah laku yang sangat mencabar seperti sukar tidur malam serta merosakkan pelbagai barang.

Mungkin ramai yang kurang kesedaran tentang autisme, oleh itu tambah ilmu melalui pembacaan, pendengaran serta sentiasa positif jika melihat perangai kanak-kanak yang luar biasa. Jangan terus hukum mak bapa tak tahu ajar.

NOORDIANAH ALWI

IBU

"Namun Iman sangat cintakan agama dengan disiplin solat, azan, baca kitab, obses pada PA system, berbakat dalam bidang kaligrafi.

"Sekarang mula mencipta siaran televisyen dan radio sendiri dan mencipta sendiri channel serta mempunyai teman-teman channel dari Indonesia. Sangat bercita-cita besar untuk menjadi imam dan pendakwah.

"Pencapaian tertinggi Iman pada tahun ni, Naib Johan hafazan pendidikan khas kategori sekolah rendah negeri Sabah. Iman juga Johan kaligrafi ihtifal ilmi madrasah al mubarak 2020," cerita wanita berusia 47 tahun ini.

Tambah Noordianah lagi, namun dia bersyukur Iman kini semakin stabil, berdikari dan boleh menguruskan diri sendiri.



Noordianah dan suaminya reda terpilih untuk menerima ujian yang tidak dilalui oleh semua orang.

Menurut Noordianah, sumber kekuatan dia dan suami adalah keikhlasan, kesabaran dan jangan sangka buruk pada takdir Tuhan.

"Allah telah memberi kita ilmu dan pengalaman yang tidak semua orang dipilih melaluinya. Ambil masa untuk hiburkan diri dengan perkara yang berfaedah dan mendekatkan diri pada Allah seperti kerja amal.

"Mungkin ramai yang kurang kesedaran tentang autisme, oleh itu tambah ilmu melalui pembacaan, pendengaran serta sentiasa positif jika melihat perangai kanak-kanak yang luar biasa. Jangan terus hukum mak bapa tak tahu ajar.

"Saya juga sangat mengharapkan kerajaan mempunyai perancangan yang teliti dalam pembangunan pendidikan, pengembangan bakat dan laluan kerjaya insan autisme di Malaysia.

"Autisme yang berbakat adalah aset pakar yang boleh dilahirkan jika kita bertindak lebih awal membantu mereka," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain