suria

Jejaka dapat 3 kejutan daripada seorang aunty hanya kerana ‘insiden’ tak cukup RM2 bayar parkir - “Macam mana tiba-tiba ada dalam beg”

(kiri) Adam berkongsi pengalamannya dibantu seorang wanita di kawasan parkir. (kanan) Duit RM50 yang diletakkan pada 'magnet board'.

SETIAP dugaan yang mendatang pasti ada hikmahnya.

Seorang pemuda tidak menyangka kunjungannya untuk membeli barang di sebuah gedung perabot terkenal berakhir dengan insiden yang tidak disangka-sangka.

Caj parkir berjumlah RM7, tapi malangnya dia baru menyedari hanya tinggal RM5 di dalam dompetnya sehingga dipertemukan dengan seorang wanita berbangsa Cina yang menegurnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Budak nak beli beras 5kg tapi tak jadi, cashier terpaksa pulangkan 'seringgit-seringgit, syiling'... nasib ada yang peduli - "Sesungguhnya 'susah is real' itu realiti"

ARTIKEL BERKAITAN: Rider basah kuyup masuk surau, 'pinjam' kain pelikat terselit RM50 - "Susah-susah dia, rupanya dia jenis lurus"

Berkongsi mengenai kejadian itu kepada mStar, pemuda berkenaan, Adam Zainal berkata ia berlaku di sebuah gedung perabot di Damansara, Selangor pada minggu lalu.



Kejadian bermula di mesin bayaran automatik di kawasan parkir.

Anak muda berusia 24 tahun itu menjelaskan pada hari berkenaan dia berbelanja di gedung tersebut menggunakan kad debit dan duit yang ada cukup-cukup mengikut bajet.

"Selepas beli barang di situ, saya lepak dulu dengan kawan-kawan sebelum kami berpecah untuk balik. Bila sampai di mesin bayaran automatik (autopay) barulah saya sedar duit tak cukup RM2.

"Belum fikir apa-apa, seorang aunty tegur saya sebab mungkin dia nampak saya gelisah tercari-cari sesuatu. Saya katakan tak cukup RM2 nak bayar dan dia kemudian keluarkan dompet dia untuk tolong bayar baki caj parkir saya," katanya yang agak terkejut kerana wanita yang tak dikenali itu sudi menghulurkan bantuan.



Perkongsian Adam di laman sosial.

Adam berkata, dia pada mulanya menolak bantuan itu secara baik dengan memberi alasan untuk mengambil duit syiling yang disimpan di dalam kereta untuk baki caj parkir tetapi kemudian akur selepas wanita tersebut tetap mahu membantu.

"Saya cakap terima kasih. Memandangkan barang yang saya bawa tak banyak kerana kebanyakan barang yang dibeli akan dihantar menerusi servis penghantaran, jadi saya tawarkan diri untuk tolong aunty tu bawa barang-barang dia hingga ke keretanya.

"Dia sempat bercerita mempunyai tiga anak dan salah seorangnya adalah anak perempuan yang kini bekerja di Amerika Syarikat.

"Katanya anaknya itu tak dapat pulang ke Malaysia untuk bercuti akhir tahun ini disebabkan pandemik Covid-19. Aunty tu sedih sebab dah lama tak jumpa anaknya dia sejak tahun lepas," ujarnya yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor.



Adam turut membantu wanita berkenaan di kawasan parkir. -Gambar hiasan/foto conan_skywalker's

Menurut anak kedua daripada empat beradik itu, wanita berkenaan kemudian sekali lagi membuat kejutan apabila menawarkan 'saguhati' berupa wang tunai RM50 di atas bantuannya mengangkat barang-barang ke kereta.

"Saya terkejut, tapi mungkin aunty tu dengar cerita saya yang kini bekerja freelance dan keadaan pandemik sekarang menyukarkan saya untuk mendapat kerja.

"Kali ini, saya pula bertegas tetapi tolak secara baik pemberian dia. Cukuplah dia dah tolong bayarkan baki parkir saya," katanya yang merupakan filmmaker secara sambilan (freelance).

Sebenarnya masih ada orang di luar sana yang berhati baik. Berbaik dengan orang lain ni bila-bila boleh di mana-mana, apa yang penting adalah keikhlasan kita.

ADAM ZAINAL

Namun kata Adam, dia menerima kejutan kali ketiga sebaik saja mengeluarkan barang-barang yang dibelinya daripada beg sebaik tiba di rumah keluarganya di Petaling Jaya.

"Saya terjumpa sekeping wang tunai RM50 di antara celah barang-barang saya beli. Masa tu saya fikir banyak kali tertanya-tanya macam mana wang tu tiba-tiba ada dalam beg.

"Saya sangat terkejut dan terus terbayangkan aunty tu yang mungkin senyap-senyap letakkan duit yang patut nak bagi kat saya, dalam beg selepas saya tolak tawaran dia," tambahnya.



Adam merupakan freelance filmmaker.

Walaupun hanya pertemuan singkat, Adam dapat menyifatkan wanita berkenaan begitu peramah dan mudah didekati selain keperibadian yang baik hati.

"Sebenarnya masih ada orang di luar sana yang berhati baik. Berbaik dengan orang lain ni bila-bila boleh di mana-mana, apa yang penting adalah keikhlasan kita.

"Sehingga ke hari ini, saya masih tak gunakan duit RM50 yang aunty tu bagi. Saya tampalkan pada magnet board di bilik dan akan guna bila memerlukannya.

"Melihat duit RM50 tu mengingatkan saya pada aunty tu, walaupun berborak sekejap tapi macam dah kenal lama. Tak dapat bayangkan apa jadi pada saya kalau aunty tu tak tolong sebab bila saya periksa duit syiling dalam kereta tak cukup untuk baki caj RM2," katanya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain