suria

Siswi perubatan jual choco jar, adik bongsu degil korek tabung sebab nak rasa lagi... apa dilakukan kakaknya sememangnya tanda sayang – “Dengan keluarga jangan kedekut”

Seorang adik mengorek tabung untuk membeli choco jar yang dijual kakaknya. -foto ihsan Sharifah Shasha Syed Mohdhar

SIAPA yang tidak sukakan manisan seperti coklat? Ramai yang suka terutama kanak-kanak.

Seperti video menerusi aplikasi TikTok yang tular ini, telatah seorang budak lelaki berusia 10 tahun asyik memakan coklat 'choco jar' sehingga menjilat jari.

Video yang diulang kicau lebih 20,000 kali di laman Twitter itu menjadi perhatian apabila kanak-kanak tersebut bertegas untuk membayar choco jar yang dijual kakaknya, menggunakan duitnya sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Kasihan abang! Telefon sendiri rosak selepas beli hadiah phone untuk adik - "Buat masa ni pinjam handphone makcik"

ARTIKEL BERKAITAN: Guru sebak terlihat 'sisi' lain pelajarnya ketika bertembung adik, selama ini hanya dianggap penghibur kelas

Gigih mengorek syiling dan wang kertas daripada 'tabung', sejumlah duit dikumpul di atas katil sebelum berlari keluar dari bilik tidur sambil membawa sebalang coklat sebagai tanda sudah membeli.



Seorang adik begitu menyukai manisan coklat.

Kakak berkenaan, Sharifah Shasha Syed Mohdhar berkata, dia mula menjual beberapa jenis manisan seperti coklat dan kek secara kecil-kecilan bagi menjana pendapatan sampingan.

Gadis berusia 22 tahun itu memberitahu, ketika ini dia masih belajar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan mengikuti pengajian secara dalam talian berikutan pandemik Covid-19.

"Adik tahu saya jual coklat, dan dia memang suka sangat makan coklat. Mula-mula saya bagi sampel saja untuk adik rasa, selepas tu dia nak makan lagi pula.

"Mula-mula saya kata tak apalah pertama kali, bagi percuma saja kat adik. Tapi dia tetap nak bayar sebab dia tahu saya berniaga mesti nak dapat untung," katanya kepada mStar.



Sebahagian duit tabung yang digunakan untuk membeli choco jar.

Lebih mesra disapa Sharifah, dia berkata, adik bongsunya, Syed Ameerul Shahid rajin menabung menggunakan baki perbelanjaan di sekolah dan wang saku pemberian ibu bapanya.

"Duit yang adik dapat masa hari raya tahun ini pun dia menabung. Jadi, adik kata dia ada duit sendiri, kenapa perlu nak harapkan saya untuk beri sebab dia boleh beli.

"Dalam video TikTok tu memang adik ada keluarkan duit tabungan dan beri pada saya. Tapi sebenarnya saya letak semula duit dia dalam tabung senyap-senyap," ujarnya yang merupakan anak keempat daripada enam beradik.



Sharifah (kanan) bersama adik bongsunya.

Walaupun berniaga untuk mendapatkan duit poket sendiri kerana tidak mahu membebankan ibu bapanya, pelajar peringkat Ijazah Sarjana Muda Perubatan itu tetap menyediakan 'peruntukan' manisan jualannya untuk dikongsikan bersama keluarga.

"Dengan keluarga ni, kita jangan kedekut. Kena juga berkongsi rezeki dengan mereka. Jadi, saya ada simpan coklat-coklat dalam peti sejuk untuk keluarga nak makan.

Bagus dia berdikari macam tu. Sekurang-kurangnya dia tahu menyimpan untuk dapatkan sesuatu tanpa mengharapkan keluarga semata-mata

SHARIFAH SHASHA SYED MOHDHAR

"Yang itu bolehlah ambil, tak ada bayaran yang dikenakan. Adik saya ni pun bijak, coklat dalam peti sejuk dia okay makan sebab memang untuk famili, tapi bertegas nak beli yang saya asingkan untuk jualan," katanya yanng berasal dari Paya Rumput, Melaka.

Terharu dengan keperibadian adiknya itu meskipun masih di bangku sekolah, Sharifah menyifatkan adiknya sebagai seorang yang berdikari dan penceria keluarga.



Sharifah menyifatkan adik bongsunya seorang yang berdikari dan penceria keluarga.

"Tapi annoying juga adik saya ni sebab dia degil dan terbawa-bawa perangai anak bongsu. Kalau dia nak sesuatu, dia nak sampai dapat macam nak beli choco jar tu.

"Bagi saya, bagus juga dia berdikari macam tu. Sekurang-kurangnya dia tahu menyimpan untuk dapatkan sesuatu tanpa mengharapkan keluarga semata-mata.

"Perkongsian ini juga diharap dapat memberi kesedaran kepada orang lain untuk menyokong bisnes yang dilakukan oleh ahli keluarga. Tak semestinya kena beli, tapi janganlah berharap untuk dapatkan secara percuma atau harga murah saja," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain