Ibu panik anak 4 tahun meraung! Mulut ternganga, air liur meleleh... rupa-rupanya gigit sesuatu di luar rumah - “Doktor tanya telan ke, Nashwa tak boleh cakap”

Seorang pelayar Facebook berkongsi insiden ngeri yang dialami anaknya selepas tergigit daun pokok hiasan 'Dumb Cane'.

TUMBUHAN hiasan sememangnya berperanan menyerikan halaman rumah, malah terdapat sebilangan orang yang menjadikannya sebagai 'indoor plant'.

Namun harus diingat, ada sesetengah tumbuhan hiasan berbahaya kepada manusia khususnya kanak-kanak kerana ia mengandungi racun aktif, contohnya pokok keladi (Dumb Cane) atau nama saintifiknya dieffenbachia.

Baru-baru ini seorang pelayar berkongsi pengalaman ngeri yang dialaminya, apabila anak perempuannya tergigit daun tumbuhan hiasan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Musim pokok lidah jin... tapi awas ada sebab anak kecil, haiwan peliharaan tak boleh dekat!

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas tegur anak asyik korek hidung, ibu terkejut lihat keluar cecair hitam bau asap rokok... dah X-ray baru nampak bateri! - “Doktor guna wayar dan besi

"Kejadian petang kelmarin. Nashwa main dekat luar rumah, dia ambil pokok tu dan gigit sikit. Sedikit sangat. Masuk rumah menangis macam luka teruk tapi tak nampak luka atau apa-apa kesan sakit.

"Panik ibu pun tak tahu punca apa. Budak perempuan berumur empat tahun ni tak nak bagitau takut ibu marah dia. Lepas diasak tanya Nashwa cakap dia gigit daun tu.

"Terus suruh adik Google dan jumpa dekat website tentang tanaman tu. Dieffebachia. Pokok hiasan yang sering ditanam di pekarangan rumah.

"Getah dan daun mengandungi calcium oxalate yang menyebabkan gatal-gatal, kekejangan bibir dan lidah. Ya, betul pokok tu! Nashwa menangis sambil mulut ternganga tak leh tutup mungkin sebab kejang bibir. Air liur pun menitik tak henti," tulis pelayar yang dikenali dengan nama Husnulkhotimah.



Posting yang dikongsikan oleh seorang pelayar Facebook mengenai insiden yang menimpa anak perempuannya.

Tanpa berlengah, wanita itu terus membawa anak perempuannya ke klinik kerana bimbang keadaannya semakin buruk.

"Doktor tanya ada telan ke. Ibu dah la tak tahu, Nashwa pulak tak boleh cakap. Doktok periksa bibir, bengkak sikit... pernafasan semua ok.

"Doktor kata kalau dia telan, bengkak dekat kerongkong, boleh menyebabkan saluran pernafasan tersekat. Doktor bagi ubat sapu bengkak, alergik dan charcoal untuk serap racun kalau ada yang masuk perut," tulisnya lagi sambil berkata keadaan anaknya kemudian beransur pulih.



Keadaan kanak-kanak perempuan ini tidak serius kerana tidak menelan tumbuhan berkenaan, dan dia beransur pulih selepas mendapatkan rawatan doktor.

Menurut pelayar itu lagi, menerusi penceritaan anaknya, kanak-kanak tersebut mengambil daun berkenaan dan mengoyakkannya, sebelum menggigit helaian tersebut.

"Saya nak pesan kepada semua yang tanam pokok ni, eloklah dibuang saja. Risau budak-budak yang tak reti, apa lagi nanti ambil masuk mulut. Kanak-kanak memang macam tu. Mereka ada sifat ingin tahu.

"Kita kena sediakan persekitaran selamat untuk mereka, sentiasa pantau apa budak-budak kecil ni buat. Jika berlaku apa-apa, terus bawa jumpa doktor," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain