suria

Perhatian! Siapa tak faham konsep kuarantin di rumah, mohon baca dan ‘hadam’ penerangan panjang lebar doktor ini

Seorang doktor tampil dengan penerangan panjang lebar bagi memberi kefahaman yang jelas mengenai konsep kuarantin di rumah. Gambar hiasan.

BEBERAPA hari kebelakangan ini, kes positif Covid-19 di negara kita menunjukkan peningkatan yang ketara.

Ini sekali gus menimbulkan kebimbangan ramai yang khuatir dengan gelombang baharu wabak tersebut.

Jika disoroti laman sosial, rata-rata netizen meluahkan kemarahan dan rasa kecewa mereka dan mendakwa peningkatan kes wabak berkenaan adalah berpunca daripada sikap segelintir pihak yang sambil lewa dan enggan mengambil inisiatif melakukan kuarantin kendiri selepas tiba dari kawasan berisiko.

ARTIKEL BERKAITAN: Berkuatkuasa Ahad... Semua individu pulang dari Sabah wajib jalani ujian Covid-19, pakai gelang kuarantin

ARTIKEL BERKAITAN: “Apalah sangat kuarantin 2 minggu?” - Gadis gelang pink anggap makcik bertudung angkuh, degil... tergamak keluar makan di kedai

Turut terpanggil untuk mengulas, seorang doktor tampil dengan penjelasan panjang lebar mengenai definisi sebenar kuarantin di rumah kepada masyarakat.

"Fahami konsep kuarantin di rumah. Ramai yang tak faham atau tak ambil peduli.

"Jika proses kuarantin di rumah tidak dipatuhi, inilah yang menyebabkan kenaikan kes mendadak terutama di kalangan mereka yang berjawatan tinggi dan kerap menghadiri acara yang melibatkan sejumlah orang," tulis Dr Hafizah Mohamed Haniba di Facebook.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau turut menghuraikan dua situasi untuk penerangan yang lebih jelas.



Penerangan panjang lebar seorang doktor mengenai konsep kuarantin.

"Situasi pertama, si ayah kini menjadi kontak/PUS (person under surveillance) tetapi isi rumah yang lain tidak terlibat. Si ayah perlu menjalani proses kuarantin di bilik berasingan dengan ahli keluarga yang lain.

"Ini kerana ahli keluarga yang lain perlu dilindungi dan mereka bukan sebahagian dari kontak atau PUS.

"Kuarantin di bilik bermaksud tiada percampuran rapat dengan ahli keluarga samada makan, bersembang bersama kecuali mampu menjaga jarak yang ditetapkan, pakai mask dan tiada sentuhan," terangnya.

Tambahnya, individu PUS juga tidak dibenarkan meninggalkan rumah dan gelang pink hanya boleh dicabut dengan izin atau kebenaran warga kesihatan.

"Tempoh kuarantin bagi kontak rapat adalah selama 14 hari dari tarikh akhir pertemuan. Jika PUS dari kawasan berisiko tinggi, tempoh 14 hari adalah yang terbaik," terangnya.



Individu yang tiba dari luar negara ataupun kawasan berisiko dikenakan perintah kuarantin bagi mengelak penularan wabak Covid. Gambar hiasan.

Mengulas mengenai situasi kedua di mana seluruh ahli keluarga menjadi kontak atau PUS dari kluster yang sama, kesemua individu ini boleh duduk dalam rumah yang sama namun digalakkan untuk menjaga jarak, memakai pelitup muka melakukan rutin kebersihan.

"Ini kerana salah seorang dari mereka mungkin boleh positif. Mereka semua dilarang keluar rumah untuk apa tujuan sekali pun. Gelang pink hanya ditanggalkan dengan izin warga kesihatan.

"Ingat, kuarantin di rumah bukan bermakna anda boleh menerima kunjungan orang luar atau berpesta. Selama tempoh ini, tiada pelawat dibenarkan sehingga tamat tempoh kuarantin.

"Sahabat, jiran tetangga, saudara mara ambil tahu dan ambil peduli. Bukan mengasing, tapi kita berusaha memutuskan rantaian Covid-19," tulisnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain