suria

Dulu kurus, asyik penat, kini ibu bapanya dah boleh tersenyum bahagia... semuanya kerana ada insan taja kos bedah jantung kanak-kanak ini - “Kami jumpa sendiri Siti Nurhaliza”

Dr Redza berkongsi kisah salah seorang pesakitnya yang sudah sembuh daripada masalah jantung selepas menjalani pembedahan yang dibiayai penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

IBU mana yang sanggup melihat anaknya menderita sakit, apatah lagi jika menghidap penyakit serius.

Jika perlu digadaikan semua harta demi menyelamatkan nyawa anak, sudah semestinya mereka yang bergelar ibu tidak akan berfikir dua kali asalkan dapat melihat kembali senyuman terukir di bibir mungil si comel.

Perkongsian oleh seorang pakar pediatrik, Dr Redza Zainol mengenai kisah salah seorang pesakit kecilnya benar-benar menyentuh emosi.

ARTIKEL BERKAITAN: “Rasa tak lama dah baby ni” - Doktor akui buat ‘silap’ ketika rawat bayi pramatang, keajaiban 3 tahun lepas beri pengajaran bermakna

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor pulang dengan rasa menyesal selepas kejadian di wad bayi, tersentak dapat pesanan padu nurse senior pertama kali azankan baby tak berbapa

"Ceria betul ibu dan anak yang saya jumpa di klinik ni. Sekejap ketawa, sekejap senyum. Saya pun ikut sama bahagia melihat mereka.

Semuanya berubah selepas anaknya selamat menjalani pembedahan jantung hujung tahun lepas.

"Tak habis-habis perkataan syukur keluar dari mulut ibu ini.

Dulu anaknya yang memang kurus, sekarang berat badan dah semakin naik. Kalau dulu asyik letih dan penat, sekarang dialah yang paling kuat bermain di rumah," tulisnya pada satu perkongsian di Facebook.



Perkongsian Dr Redza mengenai kisah seorang pesakit kecilnya.

Menurut Dr Redza, pesakit kecilnya itu mempunyai masalah jantung di mana ibu dan bapanya tidak mampu membiayai kos pembedahan kerana mereka bukanlah orang senang.

Bagaimanapun siapa sangka, rezeki datang tanpa diduga apabila ada insan yang berbesar hati menanggung semua kos pembedahan kanak-kanak kecil itu.

"Saya sangat untung doktor. Tahun lepas, Datuk Seri Siti Nurhaliza pilih lima orang kanak-kanak untuk dia tanggung kos pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN).

"Mula-mula masa wakil dia telefon, saya tak percaya. Saya telefon IJN berkali-kali. Rupa-rupanya memang betul. Rancangan asalnya, kami nak guna duit KWSP untuk tanggung kos pembedahan. Tak cukup pun sebenarnya.

"Lepas dapat panggilan telefon tu, dia minta kami datang ke Kuala Lumpur. Kami jumpa sendiri dengan Siti Nurhaliza. Dia kata kos pembedahan anak kami biarlah dia yang tanggung semuanya. Saya dan suami menangis.



Dr Redza Zainol aktif menulis mengenai hal kanak-kanak dan keibubapaan di Facebook.

"Penginapan kami di situ pun Siti yang tanggung. Itulah kali pertama kami duduk di hotel. Tuhan memang betul-betul baik dengan anak saya. Sampai sekarang kalau saya cerita dengan orang lain pasal Siti, mesti saya mahu menangis," tulis Dr Redza mengimbas kembali bicara wanita berkenaan.

Menurut doktor tersebut lagi, kisah dua beranak berkenaan mengajarnya erti sebuah kebahagiaan.

"Bahagia itu datang dalam banyaknya makna. Boleh jadi bentuknya dalam berkasih sayang, badan yang sihat atau anak yang soleh.

"Sampai satu masa, kita semua akan kembali berhimpun di hadapan Allah. Moga kita semua dapat ke syurga yang diidam-idamkan.

Kuncinya satu, iaitu berbuat baik selalu," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain