suria

Juara pantun, raih anugerah pelajar terbaik! Patutlah familiar, salah seorang Felo Perdana 2020 anak Dr Noor Hisham! – “Semua pantun saya daripadanya”

Muhammad Khair (dua, kiri) terpilih sebagai salah seorang Felo Perdana 2020 di Kementerian Kewangan.

"KE MANA tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi?"

Jika sebelum ini bapanya mendapat tempat di hati rakyat Malaysia kerana komitmen dan kesungguhannya berjuang melawan penularan Covid-19, kini giliran si anak pula mencuri tumpuan umum.

Gerangan empunya nama Muhammad Khair, anak lelaki kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah diperkatakan selepas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memuatnaik satu perkongsian di Twitternya, pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Noor Hisham Abdullah... Figura yang jadi sebutan kini, fakta ke-10 pasti kebanggaan diri dan keluarganya!

ARTIKEL BERKAITAN: Tahniah! Dr Noor Hisham dinobat antara 3 doktor terbaik dunia komited melawan Covid-19

Melalui perkongsian itu, Tengku Zafrul mengalu-alukan penyertaan tiga orang graduan yang telah terpilih untuk menyertai Felo Perdana di kementeriannya bagi tahun 2020.

Program Felo Perdana merupakan platform yang menawarkan peluang bagi graduan menimba pengalaman sebagai 'intern' atau pembantu sementara kepada menteri-menteri Kabinet termasuk perdana menteri.



Perkongsian Tengku Zafrul di Twitter mengenai penyertaan tiga Felo Perdana di Kementerian Kewangan.

"Selamat datang saya ucapkan kepada tiga orang Felo Perdana untuk tahun 2020, Chow Shenn Kuan, Khair Noor Hisham dan Am Abdul Aziz ke Kementerian Kewangan. Saya berharap program ini dapat memberikan pengalaman yang bermanfaat kepada anda," tulis Tengku Zafrul di Twitternya.

Menerusi gambar yang dimuatnaik, wajah salah seorang daripadanya cukup 'familiar' dalam kalangan netizen kerana mempunyai mirip seperti figura yang sedang meniti di bibir rakyat Malaysia ketika ini.

Susulan perkongsian tersebut, ada di antara netizen yang bertanya kepada Dr Noor Hisham untuk mendapatkan kepastian.



Dr Noor Hisham memuji anak lelakinya yang disifatkan seorang yang bijak berpantun dan berdikari.

"Is he happens to be your son doctor? @DGHisham? Congratulations boss! (Adakah dia merupakan anak lelaki anda doktor? Tahniah bos!)," demikian pertanyaan seorang netizen, banihasyim87.

Teka-teki itu terjawab selepas Dr Noor Hisham sendiri mengesahkan perkara berkenaan.

Malah, beliau juga memuji anak lelakinya yang disifatkan seorang yang handal berpantun.



Muhammad Khair terpilih sebagai salah seorang Felo Perdana 2020 di Kementerian Kewangan.

"Alhamdulillah iya dia. Dia seorang yang sangat berdikari dan dia cemerlang dalam berpantun, khususnya pemenang pertandingan pantun di Singapura.

"Sebenarnya, semua sumber pantun saya adalah daripadanya," tulis Dr Noor Hisham menjawab pertanyaan netizen berkenaan.

Muhammad Khair merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Jurusan Ekonomi Perniagaan di Universiti Sheffield Hallam.



Netizen kagum dengan pencapaian Muhammad Khair (kiri, depan) dan menyifatkan pemuda itu mengikut jejak langkah cemerlang bapanya.

Pemuda ini pernah meraih beberapa anugerah sepanjang bergelar mahasiswa, antaranya Anugerah Pelajar Terbaik iaitu menjadi ketua kepimpinan majlis perwakilan pelajar di UiTM Pahang pada tahun 2018, selain giat menyertai pertandingan dan program anjuran institusi pengajian antarabangsa.

Rata-rata netizen meluahkan kekaguman mereka terhadap pencapaian Muhammad Khair dan menyifatkan pemuda itu mengikut jejak langkah cemerlang bapanya.



Antara komen netizen yang kagum dengan pencapaian Muhammad Khair.

"Bapa borek anak rintik. Sesuatu yang sangat berinspirasi. Dia peroleh pencapaian yang hebat," tulis seorang netizen.

"Ada nama Noor Hisham mesti akan jadi hero... semoga dipermudahkan Allah segala tugas yang dilakukan," tulis seorang netizen lain pula.

"Anak hero kita," komen seorang lagi netizen.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain