suria

Tak percaya kena Covid-19, pesakit ibarat datang hospital hanya untuk ‘transfer’ virus... juru X-ray hamil dikuarantin - “Selepas 15 minit baru mengaku”

Khairul memberitahu isterinya yang mengandung enam bulan kini dikuarantin di Hospital Sungai Buloh.

KETIKA masalah wabak Covid-19 semakin meruncing, lebih baik kita ambil langkah berjaga-jaga dengan mematuhi arahan yang dikeluarkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk #StayAtHome.

Bagi yang mempunyai simptom-simptom Covid-19 pula, teruslah mendapatkan pemeriksaan doktor untuk mengelak daripada ia tersebar kepada orang sekeliling.

Jika berdegil, situasi tentu menjadi bertambah buruk seperti yang berlaku kepada juru X-ray, Alliana Alaudin, 33, yang kini sedang dikuarantin apabila disyaki dijangkiti Covid-19 selepas membuat pemeriksaan X-ray ke atas seorang pesakit lelaki.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya stres, sepatutnya doakan ayah cepat sembuh” – Anak bilal positif Covid-19 selepas sertai program tabligh kesal maklumat sulit bapa tersebar

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor cemas, sekampung kecoh! Pemuda dakwa kontak pesakit positif Covid-19 lari dari bilik isolasi - “Dia tunduk muka, beritahu sesuatu yang mengejutkan”

Ketika dihubungi mStar, suaminya, Khairul Azman memberitahu isterinya yang bekerja di sebuah hospital kerajaan membuat pemeriksaan X-ray terhadap lelaki yang disyaki menghidap denggi.

Khairul memberitahu isterinya yang hamil enam bulan kini dikuarantin di Hospital Sungai Buloh. Gambar sekadar hiasan/Foto Ong Soon Hin/The Star

“Pesakit tu dari sebuah pusat kesihatan, disuruh terus ke Hospital Serdang sebab dia ada simptom besar dan diminta terus buat ujian saringan Covid-19… tapi boleh pula dia pergi tempat pesakit luar dan cakap dia hanya demam. Dia tak percaya ada simptom (Covid-19).

“Sepatutnya bila dirujuk ke hospital dia kena terus buat check-up Covid-19 la… bila dia cakap denggi sebab tu doktor ambil tindakan ikut SOP denggi,” katanya.

Jelas Khairul, salah satu prosedur operasi standard (SOP) untuk mereka yang disyaki denggi adalah melakukan pemeriksaan X-ray.

"15 minit selepas buat x-ray, doktor bertugas beritahu berkemungkinan besar pesakit tersebut telah dijangkiti Covid-19... masa tu baru dia sendiri mengaku yang dia sebelum ini telah dimaklumkan mungkin terkena jangkitan dan perlu buat ujian saringan," katanya.

Perkongsian Khairul mengenai isterinya yang terpaksa dikuarantin kerana mempunyai kontak dengan pesakit Covid-19.

Khairul berkata, isterinya yang bertugas pada hari kejadian, iaitu Jumaat lalu mula menunjukkan simptom-simptom Covid-19 empat hari kemudian, Selasa.

"Isteri saya mengandung enam bulan kini sedang dikuarantin di Hospital Sungai Buloh dan perlu menunggu sehari dua untuk tahu keputusan positif atau tidak.

"Dalam famili, dia (Alliana) yang paling kuat... kalau dia demam, dia masih mampu berdiri dan siapkan kami sekeluarga. Dah jadi macam ni, hanya mampu video call je dalam bilik kuarantin," ujar Khairul yang bekerja di sektor kerajaan.

Ada sesetengah orang dia malu nak cakap dia postif Covid-19, tetapi bagi saya pula, orang yang pergi menyerah diri di hospital patut dianggap sebagai hero.

KHAIRUL

Dalam pada itu, Khairul berharap agar perkongsiannya di Facebook dapat dijadikan iktibar oleh orang awam.

"Ada sesetengah orang dia malu nak cakap dia postif Covid-19, tetapi bagi saya pula, orang yang pergi menyerah diri di hospital patut dianggap sebagai hero.

"Pencegahan awal dapat mengurangkan penularan wabak ini kepada orang lain. Virus ni senang nak dapat tetapi senang juga nak hilang sekiranya dapat rawatan awal, InsyaAllah..." katanya yang kini mempunyai seorang cahaya mata berusia enam tahun setelah mendirikan rumah tangga pada 2013.

Khairul dan Alliana kini mempunyai seorang cahaya mata yang berusia enam tahun.

Perkongsian Khairul ini mendapat lebih 3,700 perkongsian dan 6,700 tanda suka.

Rata-rata netizen meluahkan rasa simpati dengan mendoakan Alliana dan bayi dalam kandungannya bebas daripada wabak Covid-19.

"Kejam betul orang menyorokkan perkara macam ni, orang lain yang jadi mangsa..." tulis seorang pengguna Facebook.

"Kesian bagi petugas yang menjalankan tugas dengan ikhlas, terkena tempias disebabkan mereka yang pentingkan diri," tambah netizen lain.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
kuarantin, Covid-19, hamil, denggi, X-ray

Artikel Lain