suria

Pembuat kek rakam detik tak dijangka di Perlis, terkejut jadi viral - “Paling rare... antara gambar terbaik pernah saya hasilkan”

Antara karya fotografi Kamarul yang menerima pujian ramai. Kredit: Instagram z.own_

SEKADAR hobi suka-suka dalam bidang fotografi, siapa sangka karya terbaharu seorang pembuat kek mengundang perhatian ramai di media sosial.

Lebih menarik, lokasi gambar yang dirakam di Perlis kelihatan persis destinasi pelancongan luar negara, tidak kurang pula disamakan dengan Perth, Australia oleh sesetengah pihak.

Bercerita kepada mStar, Kamarulzaman Ali, 40, mengakui terkejut apabila perkongsian terbaharunya itu menjadi tular.

ARTIKEL BERKAITAN: Wah! Apple nun jauh di Amerika hargai foto rumput hijau di utara tanah air, jurugambar tak kecil hati ada yang perlekeh - “Setakat macam ni, biasa je...”

ARTIKEL BERKAITAN: Bertuah abang polis... Gambar pokok kelapa disiar di Instagram Apple, Terengganu kini di mata dunia!

"Memang terkejut bila viral. Sebab saya pun bukannya popular. Tapi ada juga yang kecam, kata tak sama macam Perth.

"Saya tak maksudkan pun ia sama macam Perth. Cuma sebutan Perlis tu, kadang-kadang ada orang sebut Perthlis.

"Yang negatif saya abaikan. Yang penting dapat promosikan Perlis. Bagi orang tahu, dalam negara kita pun ada tempat macam ni," ujarnya sewaktu dihubungi.

Posting yang tular di Twitter.

Antara foto yang paling mencuri tumpuan tentunya sekumpulan individu bersama sebuah karavan yang dirakam di Tasik Timah Tasoh.

Mesra disapa Kamarul, dia berkata foto melibatkan pelancong dari Perancis itu dirakam secara spontan sahaja selepas disapa mereka tempoh hari.

Turut menjadi bualan ramai ialah foto kumpulan tiga pemuda yang sedang menunaikan solat Maghrib di lokasi sama.

Nak tunjuk, kalau kita travel ke mana pun, tanggungjawab pada Allah jangan dilupa.

KAMARULZAMAN ALI

PEMBUAT KEK/JURUGAMBAR SAMBILAN

"Kebetulan masa saya pergi tu ada karavan. Lepas tu ada pula orang solat. Ia momen yang tak dijangka dan tak dirancang.

"Gambar orang sembahyang tu paling rare... antara gambar terbaik pernah saya hasilkan.

"Nak tunjuk, kalau kita travel ke mana pun, tanggungjawab pada Allah jangan dilupa.

Foto ini dirakam di Taman Ular, Perlis.

"Malah, orang tu pun ada hubungi saya. Dia ucap terima kasih dan minta kebenaran untuk upload," ujarnya lagi.

Lebih menarik, kesemua foto tular tersebut hanya dirakam menggunakan peranti Apple, iPhone 11 sahaja.

Menurut Kamarul, hobi fotografi bermula pada 2013 dan dia sebenarnya bekerja sepenuh masa sebagai pembuat kek sejak 10 tahun lalu.

Kamarul tidak menyangka foto-foto berkenaan akan tular dan mendapat perhatian ramai.

Sehingga kini, gambar yang dikongsi di Twitter itu menerima lebih 2,700 ulang kicau (Retweet).

Malah, ramai yang turut meninggalkan komen pujian, tak kurang yang berhasrat untuk berkunjung ke lokasi sama.

Antara karya fotografi Kamarul yang dikongsi di Instagram.

Selain Tasik Timah Tasoh, dia turut membuat photoshoot di Taman Ular pada hari sama dia memaparkan gambar seorang gadis di sebalik pokok bunga matahari.

Untuk rekod, ia bukanlah kali pertama lokasi di negeri itu menjadi perhatian ramai.

Pada Disember lalu misalnya, foto bidikan Dinie Aiman Sukhaizar di Kampung Sahabat, Perlis dipaparkan menerusi laman Instagram Apple yang mempunyai 22.8 juta pengikut.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain