suria

Kanak-kanak lahir tanpa kaki berlinang air mata didekati Ustaz Ebit - “Saya tengok awak, ingat anak dekat rumah”

Perbualan antara Dhiya dan Ustaz Ebit ternyata meruntun hati netizen yang menonton.

DIUJI dengan ketiadaan kedua-dua belah kaki sejak lahir, kemunculan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dalam video ceramah pendakwah Ustaz Ebit Liew ternyata mengundang air mata netizen.

Duduk di atas kerusi roda bersebelahan kakaknya, kanak-kanak yang mesra disapa Dhiya itu dihampiri Ebit dalam Program Kembara Intelek Dan Sahsiah yang berlangsung di Ipoh, Perak, baru-baru ini.

Menjawab soalan Ebit, Dhiya mengakui pernah menangis dan berasa 'kurang' berbanding insan biasa yang lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Ustaz Ebit kongsi 3 petua buat mualaf bimbing insan tersayang - “Depan mereka saya buat-buat tabah, dalam kereta saya menangis”

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda India sebak dipeluk Ebit Lew, akui ia malam terindah dalam hidupnya - “Sedih... dah 6 tahun tak jumpa anak”

Namun kata pendakwah itu, tiada apa kekurangan pada diri Dhiya, malah dia sekadar diuji kerana disayangi Allah.

"Biar ustaz beritahu, awak langsung tak ada apa-apa kurang. Awak sempurna di sisi Allah. Dia sayang kat awak. Walaupun awak darjah 3, tapi awak matang, cerdik.

"Daripada tadi bila ustaz ceramah, awak pandang je muka ustaz. Awak macam orang besar. Awak cerdik, sebab apa yang awak lalui ni tak senang... susah.

"Jadi ustaz sayang kat awak macam anak saya sendiri. Anak saya umur 10 tahun. Saya tengok awak, saya ingat anak saya dekat rumah," kata Ebit.

Ebit mendekati Dhiya yang menjadi tetamu dalam programnya di Ipoh baru-baru ini.

Duduk di hadapan kerusi roda kanak-kanak itu, kata-kata Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew ternyata membuat air mata Dhiya bergenang.

Sambil memegang sebatang pensil, dia kelihatan mengelap air mata yang mengalir di pipi.

Menurut Ebit, dia pernah melihat ramai insan yang mengalami nasib sama, malah lebih teruk berbanding Dhiya.

Namun katanya, individu-individu itu menggunakan kekurangan mereka untuk melakukan dakwah Islam.

Jadikan kesedihan ni buat adik jadi kuat. Ustaz sayang dekat awak. Awak ingat tau, Allah sayang awak.

USTAZ EBIT LEW

PENDAKWAH

"Ustaz pernah tengok ramai orang adik, dia tak ada kaki tangan, tapi dia boleh Islamkan ramai manusia dalam dunia.

"Awak nak sambung dakwah nabi? Orang tengok awak pun buat dia rasa nak masuk Islam, nak kenal Allah... awak dakwah dia.

"Jadikan kesedihan ni buat adik jadi kuat. Ustaz sayang dekat awak. Awak ingat tau, Allah sayang awak.

"Semua terjadi, ada satu jawapan. Sebab apa? Sebab dia sayang dekat awak," kata Ebit kepada Dhiya disaksikan tetamu lain dalam majlis itu.

Antara komen netizen mengenai Dhiya.

Di penghujung video, Ebit turut meminta kakak kepada Dhiya, Maisarah untuk memeluk adiknya.

Video yang dimuat naik di Facebook Ebit pada Ahad itu menerima lebih 149,000 tanda suka (like).

Malah, ramai netizen turut meninggalkan komen, mengakui bersimpati dengan kisah Dhiya.

"Allahuakhbar... tiada kecacatan pun di mata Allah. Sangat cantik dan sempurna adik ini. Semoga adik Dhiya terus kuat semangat untuk mengharungi hidup.

"Awak cantik sangat nak. Mak cik doakan awak bahagia dunia akhirat.

"Sempurna di mata kami, semoga menjadi anak yang hebat," tulis beberapa netizen.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Ustaz Ebit Lew, Dhiya, kerusi roda

Artikel Lain