suria

Selepas warkah, Mufti WP titip 6 doa dikurnia pemimpin yang baik

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menitipkan doa di Twitter bagi diamalkan umat Islam ketika menghadapi kemelut politik pada masa kini.

SELEPAS menitipkan warkah buat rakyat dan pemimpin negara minggu lalu, kali ini Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menitipkan pula doa, di kala kemelut politik negara yang masih belum berkesudahan.

Menerusi laman Twitter, beliau memuat naik beberapa doa yang boleh diamalkan pada situasi semasa kini.

ARTIKEL BERKAITAN: Warkah Mufti WP untuk Malaysia ketika desas-desus gabungan kerajaan baharu

"Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi. Kami dihujani dengan persoalan yang meminta kepada kami untuk menitipkan doa.

"Ini kerana suasana politik semasa negara ketika ini yang amat memerlukan kepada doa dan munajat oleh semua pihak kepada Allah SWT yang Maha Mengetahui," tulisnya pada salah satu posting di laman sosial itu.

Dalam posting berasingan, mufti tersebut memuat naik enam potong doa dengan tajuk 'Doa dikurniakan kepimpinan yang baik'.

Dalam pada itu, beliau juga mendoakan agar Allah memelihara keamanan negara.

"Dalam keadaan kita dibebani dengan isu negara dan kepimpinan kadang-kadang elok juga kita lihat kepada kanak-kanak dan kerbau serta bangau, ia membawa ketenangan takala semuanya mengikut fitrahtullah, semoga Allah SWT amankan Malaysia. Amin," tulis beliau lagi.

Kemelut politik Malaysia sudah memasuki hari kelapan pada Ahad, dengan tiada tanda-tanda isu peralihan kuasa akan selesai dalam waktu terdekat.

Dua daripada enam doa yang dititipkan Dr Zulkifli dalam mendepani situasi politik semasa. 

Sejak minggu lalu, pelbagai peristiwa yang mengejutkan berlaku, antaranya pengumuman peletakan jawatan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu).

Dr Mahathir bagaimanapun kemudiannya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai perdana menteri interim sementara menunggu pelantikan perdana menteri baharu.

Pada Sabtu, Al-Sultan Abdullah berkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Presiden Bersatu sebagai perdana menteri ke-8.

Bagaimanapun beberapa jam kemudian, Dr Mahathir dalam satu kenyataan mendakwa beliau memperoleh sokongan sejumlah 114 Ahli Parlimen (MP) untuk dilantik sebagai perdana menteri ke-8.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu malam, beliau turut melampirkan senarai nama Ahli Parlimen yang telah menandatangani Akuan Berkanun (SD) menyokongnya untuk menggalas jawatan tersebut.

Dr Mahathir juga berkata beliau menyediakan surat untuk dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menerangkan kedudukan perkara tersebut serta sokongan 114 ahli-ahli parlimen yang diberikan kepadanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Mufti, doa, warkah, pemimpin

Artikel Lain