suria

Sudin dah pandai tunjuk perangai, marah gambar comelnya dicabut dari peti ais! Tuannya dedah terpaksa jadi ‘bapa segera’ bancuh susu jam 3 pagi

Sudin adalah haiwan peliharaan yang diajar hanya duduk di rumah dan jarang keluar.

MERAJUK biasanya berlaku antara pasangan yang sedang bercinta. Namun, lain pula halnya dengan kes ini apabila si bulus pun pandai tunjuk perangai.

Menerusi sebuah video pendek yang berdurasi 13 saat, kelihatan seekor kucing marah dan merajuk apabila gambarnya yang dilekat pada peti ais cuba dicabut oleh tuannya.

Ketika tuannya acah-acah mencabut gambarnya, haiwan peliharaan itu yang sedang terbaring seolah-olah bengang dan cuba menghalang tindakan pemiliknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Serik! Masa hantar montel, apabila ambil dah kurus dan lemah – “Ada seekor lagi struggle untuk hidup... tapi saya tak mau tutup periuk nasi orang”

ARTIKEL BERKAITAN: Buang atau keluar rumah! Anak ‘degil’ terharu ibu bapa akhirnya cair dengan kucing ‘Pati’ - “Bawa je balik...”

Muhammad Amirul Ariff Razali, 22, ketika dihubungi mStar berkata kucing yang diberi nama Sudin itu merajuk seolah-olah tidak dapat menerima gurauannya.

"Melihatkan gelagatnya yang merajuk, saya terus bagi dia makan atas fridge (peti ais).

"Dia memang suka duduk atas peti ais sebab panas dan saya selalu tunjuk kat dia gambarnya ketika berusia lima hari. Sudin pun tahu tu gambar dia," katanya.

Mengimbas kembali bagaimana dia berjumpa si comel itu, Amirul memberitahu dia mengambil Sudin di Pasar Pagi Tanjung Sepat, Kuala Langat, Selangor.

"Masa saya nampak di pasar, Sudin kecil lagi, baru dalam tiga atau empat hari. Jadi saya bawa dia balik rumah sebab takut nanti dimakan anjing," ujar Amirul.

Sudin (kiri) bakal mencecah setahun padan bulan Mac manakala Serra kini berusia lapan bulan.

Katanya, Sudin adalah kucing pertama yang dipeliharanya, kerana sebelum ini ibu bapannya tidak membenarkannya berbuat demikian kerana bimbang kediaman berbau busuk dan bulu kucing bersepah.

Namun, tambahnya, kini seisi keluarga sangat sayangkan Sudin dan menganggapnya 'cucu' di rumah mereka.

"Semua orang dalam rumah suka main dengan Sudin. Mak dan ayah saya pun sebelum keluar akan cakap kat Sudin kami pergi kerja dulu ya," kata Amirul.

Jelasnya lagi, Sudin yang genap setahun pada Mac ini boleh dikatakan kucing yang manja dan jarang keluar rumah.

Masa saya nampak di pasar, Sudin kecil lagi, baru dalam tiga atau empat hari. Jadi saya bawa dia balik rumah sebab takut nanti dimakan anjing.

MUHAMMAD AMIRUL ARIFF

"Kalau bawa Sudin keluar saya akan pasangkan tali, risau nanti ada kutu kat badan dia sebab Sudin selalu tidur dengan saya.

"Saya juga ada seekor lagi kucing, Serra yang usianya lapan bulan. Sudin memang berkawan dengan dia je," katanya.

Amirul yang kini sedang menuntut di Universiti Selangor (Unisel) dalam jurusan Pengurusan Pentadbiran sempat berkongsi kenangan yang tak dapat dilupakan bersama Sudin.

Gambar Sudin berusia lima hari inilah yang ditampal di peti ais.

"Masa saya ambil dia dulu, kecil lagi, setiap kali dia nak susu dia akan buat bising. Pukul tiga atau empat pagi saya terpaksa bangun panaskan air, bancuh susu dan berikannya minum," jelas Amirul mengimbau momen bersama Sudin.

Video tersebut mendapat lebih 358,900 tontonan dan 23,300 retweet (ulang kicau). Rata-rata netizen bukan sahaja terhibur melihat gelagat Sudin malah mereka juga terhibur dengan nama si bulus itu.

"Nama je ganas, tapi hati lembut," kata seorang netizen.

"Ok, boleh tiru nama ni nak bagi kat kucing iolls (saya). Buntu dah nak bagi nama apa," tambah netizen lain.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
kucing, merajuk, Unisel, Sudin

Artikel Lain