Seat kosong rezeki pendidik! Ustazah ‘merangkak’ ditawar terbang percuma ke Osaka - “Sekurang-kurangnya dia tahu ramai yang sokong”

Razi berhasrat menawarkan pakej percutian percuma ke Osaka kepada ustazah yang tular kerana dipaksa merangkak baru-baru ini. Foto: Ihsan Razi Jamit

BARU-BARU ini warga maya digemparkan dengan rakaman yang memaparkan seorang ustazah dipaksa merangkak mengelilingi bilik darjah oleh seorang ibu.

Dilaporkan, tindakan biadab itu susulan rasa tidak puas hati wanita berkenaan selepas anaknya didenda oleh guru agama tersebut.

Rakaman itu mencetuskan reaksi pelbagai daripada netizen, dengan rata-ratanya meluahkan rasa kecewa dan marah kerana menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu penghinaan kepada seorang pendidik.

ARTIKEL BERKAITAN: Biadab! Ibu murid paksa ustazah merangkak... sila tampil ada yang nak bantu - “Jika ustazah tak mampu bayar kos guaman, aku sudi support”

ARTIKEL BERKAITAN: “Setakat tengokkan anak tu, apalah sangat” - Guru Besar sempoi jadi ‘pengasuh’, ada alasan benar cikgu bawa bayi ke sekolah

Malah, seorang peguam turut tampil menawarkan khidmat guaman percuma kepada guru agama berkenaan.

Namun, isu tersebut sudah diselesaikan oleh kedua-dua pihak apabila wanita berkenaan tampil memohon maaf kepada guru berkenaan.

Dalam perkembangan terbaharu pula, seorang insan tampil menyatakan hasratnya yang mahu memberi ganjaran sebagai tanda penghargaan kepada guru agama berkenaan.

Posting yang dimuatnaik Razi yang menawarkan guru agama berkenaan percutian percuma ke Osaka, Jepun.

Menerusi laman Facebook, lelaki bernama Razi Jamit itu menguar-uarkan hasratnya yang mahu menghadiahkan guru agama tersebut pakej pelancongan selama lima hari ke Osaka, Jepun pada April depan.

Ketika dihubungi mStar, Razi yang juga pengasas sebuah syarikat pelancongan berkata, ganjaran itu adalah sebagai tanda penghargaan dan sokongan syarikatnya terhadap guru tersebut.

“Kita pastinya menghormati tenaga pengajar. Jadi bila ada isu ini, saya bercadang untuk menawarkan ganjaran tersebut. Tujuannya, sekurang-kurangnya beliau tahu bahawa ramai yang sokong.

RAZI JAMIT

PENGASAS SYARIKAT PELANCONGAN

“Sebenarnya, kebetulan trip pada bulan April akan datang, ada satu kekosongan tempat duduk. Nak dijadikan cerita, timbul cerita pasal ustazah ni.

“Kita pastinya menghormati tenaga pengajar. Jadi bila ada isu ini, saya bercadang untuk menawarkan ganjaran tersebut. Tujuannya, sekurang-kurangnya beliau tahu bahawa ramai yang sokong.

“Dalam pada itu, dengan pakej jalan-jalan ni, secara tidak langsung sedikit sebanyak diharapkan dapat menaikkan kembali semangatnya untuk mengajar pada zaman yang serba mencabar ini,” kata lelaki berusia 34 tahun itu.

Mengulas lebih lanjut mengenai pakej pelancongan yang ditawarkan, jelas Razi, trip ke negara matahari terbit itu sebenarnya sudah pun dibuka dan ditempah sejak tahun lalu.

Antara lokasi menarik yang ditawarkan dalam pakej syarikat milik Razi.

“Ia sudah disertai seramai 27 orang termasuk saya, dan hanya tinggal satu lagi tempat kosong. Jadi mungkin sudah rezeki ustazah tu,” katanya yang menubuhkan syarikat pelancongan sejak 10 tahun yang lalu.

Menurut Razi, trip yang dijangka bermula 5 April depan itu akan melawat beberapa destinasi menarik sekitar Osaka iaitu Kyoto, Kobe dan beberapa lokasi lain.

“Kalau ikutkan, ketika itu peak-season sebab ia ketika musim bunga sakura sedang mengembang. Jika ikutkan, pakej pada peak-season itu berharga sekitar RM5,000 hingga RM6,000.

“Tapi syarikat saya buat promosi di mana peserta trip hanya perlu membayar RM4,980. Namun sekiranya ustazah tersebut mahu sertai, ia adalah percuma untuk beliau,” katanya lagi.

Razi bersama rombongan peserta yang mengikuti trip anjuran syarikatnya.

Dalam pada itu, Razi menafikan tawaran tersebut adalah salah satu strategi pemasaran syarikatnya.

“Tak nafikan ada yang berkata sedemikian. Tapi sebenarnya, memang ada satu lagi tempat duduk kosong. Sudah menjadi rezeki ustazah itu, kalau beliau mahu sertai,” katanya lagi sambil menambah, pihak syarikatnya masih menantikan maklum balas daripada guru agama berkenaan.

Posting itu sehingga kini mendapat sehingga 276 shares, selain turut dibanjiri ratusan komen netizen.

Razi sudah 10 tahun menubuhkan syarikat pelancongan.

Rata-ratanya memuji pendekatan lelaki tersebut yang disifatkan sebagai tindakan yang mulia dan wajar dicontohi.

“Alhamdulillah... syukur ada yang perihatin tentang hati dan perasaan ustazah tu. Semoga bertambah rezeki... tahniah,” tulis Sweetangle De Great.

“Rezeki keikhlasan seorang pendidik,” komen Nurrli Adznam Shah pula.

ustazah, merangkak, pakej, Jepun

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Memulakan langkah pemulihan ekonomi