suria

“Setakat tengokkan anak tu, apalah sangat” - Guru Besar sempoi jadi ‘pengasuh’, ada alasan benar cikgu bawa bayi ke sekolah

Firdauz menganggap kakitangan di sekolah itu sebagai ahli keluarga sendiri.

PENGORBANAN golongan pendidik dalam memberi sumbangan dan bakti kepada anak bangsa sememangnya tidak perlu dipertikai lagi.

Kisah terbaharu yang berlaku di Sekolah Kebangsaan Pekan Nenas, Johor, ini misalnya membuktikan dedikasi dan keikhlasan golongan itu dalam memberikan yang terbaik buat anak murid.

Menerusi kisah yang dikongsi oleh Guru Besar, Ahmad Firdauz Abdullah Tahrin, 37, seorang guru wanita yang mengajar murid Tahun 6 terpaksa membawa bayinya yang berusia sembilan bulan ke sekolah.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak saudara digantung sekolah, pakcik datang serang cikgu... Ini penjelasan PKHEM!

ARTIKEL BERKAITAN: Guru makin kacak lepas turun 65kg, masa gemuk berkali kerusi patah - "Bila buang air, tangan tak sampai nak cuci"

"Nak buat macam mana, pengasuhnya sakit. Ayahnya pula dah cuti minggu lepas. Maka terpaksalah ibunya bawa ke sekolah.

"Nak cuti... sayang. Katanya, hari ni masa dengan anak-anak Tahun 6 banyak.

"Terima kasih cikgu Nurazlina Aziz, guru bahasa Melayu Tahun 6, merangkap penyelaras Tahun 6 kami, sanggup bersusah-payah bahagikan masa antara anak murid dan anak sendiri," tulis guru besar itu di Facebook.

Antara yang turut dikongsikan di Facebook miliknya.

Dalam posting berkenaan, Ahmad Firdauz turut memuat naik foto dirinya sedang memangku anak lelaki kepada guru wanita tersebut.

Firdauz sewaktu dihubungi mStar mengakui peka dengan etika perguruan namun katanya soal budi bicara turut diutamakan.

"Saya memang sedia maklum akan etika, tapi dalam hal-hal kecemasan, budi bicara kami utamakan.

Apabila kita permudahkan urusan orang lain, pasti Tuhan akan permudahkan urusan kita sekeluarga, itu pula pesan ibu dan ayah saya.

AHMAD FIRDAUZ ABDULLAH TAHRIN

GURU BESAR

"Dalam hal ini, cikgu tersebut ada kelas bersama Tahun 6 dan kemudian ada kelas tambahan selepas waktu balik.

"Dia sendiri rasa rugi jika tiada kelas bersama anak-anak ini. Jadi dia mohon izin untuk bawa anak dan berbincang dengan saya, sama ada boleh atau tidak," ujarnya.

Menurut Firdauz, sudah tentu dia akan memberikan kebenaran memandangkan bayi yang ingin dibawa guru itu juga berada dalam keadaan sihat.

Malah katanya, dia menganggap kakitangan di sekolah itu sebagai ahli keluarga sendiri dan tiada masalah untuk hal-hal sedemikian.

Firdauz menganggap guru-guru di sekolahnya seperti keluarga sendiri.

"Pastinya jawapan saya boleh. Anak ni pun dalam keadaan sihat dan tak mengganggu sesiapa.

"Kami ni macam keluarga besar. Setakat tengokkan anak tu, apalah sangat," katanya lagi.

Mengulas penularan kisah tersebut, Firdauz mengakui nilai empati yang wujud terhasil daripada didikan lima guru besar yang pernah menaunginya selama ini.

Malah katanya, sikap keibubapaan yang dipamerkan menyebabkan dia menjadi cukup segan dengan toleransi mereka.

Perkongsian Firdauz di Facebook turut mencuri perhatian ramai netizen.

"Pada saya mereka semua memimpin dari hati. Ya kita sebagai ketua memang perlu play by the rules dan itulah panduan kita.

"Tetapi janganlah kita lupa terma budi bicara ketua jabatan dan selagi ia tidak menyalahi etika kemanusiaan, permudahkanlah urusan kita sesama insan.

"Apabila kita permudahkan urusan orang lain, pasti Tuhan akan permudahkan urusan kita sekeluarga, itu pula pesan ibu dan ayah saya," jelasnya yang sudah 15 tahun berkhidmat dalam bidang pendidikan.

Sehingga kini, posting di Facebook miliknya menerima lebih 1,000 tanda suka dan turut dihujani pelbagai komen netizen.

Selain pujian, pelayar Facebook turut menzahirkan ucapan terima kasih atas pengorbanan besar golongan guru yang sanggup bersusah-payah demi memberi bakti kepada anak bangsa.

 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Ahmad Firdauz, Guru Besar, pengasuh

Artikel Lain