suria

Lelaki bertudung sambil membebel ‘selamatkan’ pemandu resah terperangkap dalam traffic jam - “Saya bukan buat-buat”

Video Rozaidi yang dikongsi oleh seorang pelayar di Twitter mencuit hati netizen.

KESESAKAN jalan raya sememangnya menjadi lumrah yang perlu dihadapi oleh warga kota, terutamanya waktu pagi ketika ramai berpusu-pusu untuk ke tempat kerja.

Semestinya timbul perasaan bosan apatah lagi jika tersekat di jalan raya untuk tempoh masa yang lama.

Baru-baru ini tular satu video memaparkan gelagat seorang lelaki cuba menghiburkan pengguna jalan raya lain ketika masing-masing tersekat dalam kesesakan lalu lintas yang teruk.

ARTIKEL BERKAITAN: “Ayat customer is always right tak semestinya digunakan setiap masa” - Pembuat kek premium dimaki lewat balas mesej, dituduh berlagak 

ARTIKEL BERKAITAN: Abang peguam bela nasib kucing terbiar, rela rumah jadi pusat transit - “Bukan orang sembarangan, kena tapis dulu” 

Video lucu berdurasi lapan saat yang dikongsi oleh seorang pelayar di Twitter itu menunjukkan lelaki berkenaan membebel sambil mengenakan selendang, benar-benar mencuit hati netizen.

Sehingga kini ia mencatatkan tontonan melebihi 200,000 kali selain diulang kicau sebanyak 14,900 kali.

Berkongsi cerita dengan mStar, lelaki di dalam video tersebut, Rozaidi Rozali berkata, ketika itu dia bersama seorang rakannya dalam perjalanan dari Bangi menuju ke ibu negara.

Video yang dimuatnaik oleh seorang pelayar di Twitter mengundang perhatian netizen yang terhibur dengan gelagat Rozaidi.

“Ketika itu kami sedang melalui Tol Sungai Besi, waktu itu kira-kira jam 9 pagi. Memang jem teruk, disebabkan penutupan satu lorong. Kami tersekat kira-kira empat jam di lokasi itu sahaja, bayangkan betapa bosannya perasaan sesiapa sahaja yang berada dalam situasi itu.

“Dipendekkan cerita, saya terperasan seorang pemandu wanita di sebelah kereta kami yang seperti resah, dia berulang-ulang buka dan tutup tingkap. Saya kemudian turunkan tingkap dan tegur pemandu wanita itu.

“Sajalah buat lawak niat untuk menghiburkan dia. Kebetulan dalam kereta ada pakaian yang digunakan untuk penggambaran, jadi saya saja lilit. Wanita itu nampak sangat terhibur dan meminta keizinan untuk merekod. Tapi tak sangka selepas dia muatnaik di Twitter, ia jadi tular,” kata pemuda berusia 25 tahun ini.

Menurut Rozaidi atau lebih dikenali sebagai Eddy Jali dalam kalangan rakan-rakannya, dia sememangnya seorang yang berperwatakan ceria dan suka menghiburkan suasana.

Gelagat Rozaidi yang ceria dan suka membuat lawak kerap kali dirakam oleh rakan-rakannya. 

“Saya bukan buat-buat. Itu memang sifat semulajadi saya. Rakan-rakan saya memang sudah sedia maklum dengan sikap gila-gila dan ting tong saya. Dari sekolah lagi memang macam ni. Malah kalau kami lepak, apabila saya sampai, mereka akan gembira kerana mereka tahu saya akan suka buat lawak.

“Sampai mereka siap rakam lagi walaupun ketika saya bersembang, tapi saya tak pernah suruh. Tapi disebabkan mereka tag saya, saya hanya repost di laman sosial. Hanya kadang-kadang saya suka buat video di IG Story, itupun kerana dapat Direct Message daripada pengikut yang minta saya buat selalu,” ujarnya yang bekerja sebagai penasihat kecantikan.

Dalam pada itu, Rozaidi berkata sejak video tersebut tular,  jumlah pengikutnya di laman Instagram meningkat.

Malah pemuda yang berasal dari Raub, Pahang ini juga mendedahkan dia menerima pelbagai reaksi daripada netizen.

Saya paling tak sangka apabila menerima mesej di Instagram daripada seorang wanita berpangkat kakak. Dia ucapkan terima kasih kerana dia terhibur dengan gelagat saya kerana dia sudah lama alami depresi. 

ROZAIDI ROZALI

“Dalam banyak reaksi dan maklum balas selepas video itu viral, saya paling tak sangka apabila menerima mesej di Instagram daripada seorang wanita berpangkat kakak. Dia ucapkan terima kasih kerana terhibur dengan gelagat saya kerana dia sudah lama alami depresi.

“Saya kemudian nasihatkan wanita itu, jangan biarkan diri tertekan dengan masalah, ataupun tontonlah video saya selalu. Dia siap suruh saya buat video hari-hari. Kalau ada peluang, saya ingin bertemu wanita tersebut. Kita tahu masalah depresi ini sangat bahaya. Saya gembira jika video saya mampu menjadi penghibur mereka. Sekurang-kurangnya saya dapat berbuat sesuatu untuk hiburkan orang.

“Selain itu, selepas video itu viral, ramai kawan sekolah yang menghubungi saya, dah macam jejak kasih pula. Mereka siap imbas lagi gelagat gila-gila saya ketika di sekolah berasrama dahulu. Secara tak langsung, ada hikmah video itu tular,” ujarnya.

Bagaimanapun tambah Rozaidi, dia turut tidak terkecuali menerima kecaman daripada netizen.

“Biasalah netizen, ada yang suka dan ada yang tak suka. Tapi kalau komen negatif, saya tak ambil pusing pun. Ada yang cakap saya lelaki lembut, lawak yang dibuat-buat dan sebagainya. Tapi itu hanya segelintir sahaja. Tapi kebanyakan komen dan mesej yang saya dapat adalah yang positif. Mereka beritahu mereka follow saya sebab terhibur dan bukan lawak bersifat publisiti murahan,” ujarnya mengakhiri bicara.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain