suria

Pertama kali tak ‘check online’, ibu berdebar nak tahu keputusan UPSR anak – “Naluri saya kuat... tapi kalau dapat E pun saya terima”

Paparan skrin video yang tular menunjukkan dua beranak berdebar menunggu keputusan UPSR pada Khamis lalu. Sumber twitter dausskarimm

HILANG debaran selepas keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) diumumkan di seluruh negara pada Khamis lalu.

Bukan sekadar murid-murid, ibu bapa juga turut berdebar-debar malah darah gemuruh mereka lebih kuat dirasai berbanding calon-calon UPSR itu sendiri.

Menerusi video yang tular selepas dikongsikan di media sosial, baik ibu mahupun anak, jantung kedua-duanya berdegup kencang saat menunggu keputusan diumumkan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia kata tak kuat...” - Nenek tergamam lihat cucu berdialog di kubur ibu, enggan buka slip UPSR di sekolah

“Ada E tau. Betul tak ada E?,” kedengaran suara seorang guru sebelum seorang murid dikejutkan dengan keputusan cemerlang 6A selepas mengeluarlkan slip dari sampul.

Setakat ini, video yang dimuat naik oleh abang kepada murid tersebut menerusi akaun Twitter @dausskarimm ditonton lebih 315,000 kali dan mendapat lebih 15,000 perkongsian.

Seorang ibu terharu anaknya mendapat keputusan cemerlang dalam USPR. Foto ihsan Daus Karim

Bercakap kepada mStar, ibu kanak-kanak itu, Foni’ah Kamisan mengimbas kembali detik-detik mendebarkan pada hari keputusan UPSR diumumkan.

Ibu berusia 55 tahun itu memberitahu, berbeza dengan anak-anaknya sebelum ini, kali ini dia tidak dapat membuat semakan awal bagi keputusan UPSR anak bongsunya, Noor Asyikin Karim.

“Kalau tahun-tahun sebelum ini, saya akan semak keputusam UPSR anak-anak secara dalam talian terlebih dahulu. Tapi tahun ini, Asyikin minta saya jangan semak dahulu.

“Dia kata ‘Mak, jangan tengok dulu keputusan UPSR, kalau tengok dulu nanti tak best’. Bila dia cakap macam tu, perasaan saya ada lain benar sangat kali ini... berdebar!” katanya kepada mStar, sambil menambah Noor Asyikin merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik.

Noor Asykin (kiri) bersama ibu sewaktu menerima keputusan 6A dalam UPSR.

Naluri Foni’ah yang menetap di Pasir Gudang, Johor itu bagaimanapun cukup kuat mengatakan anaknya bakal menerima keputusan cemerlang dan pada masa sama tidak putus-putus berdoa.

Setibanya di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Cahaya Masai di Pasir Gudang, katanya, beberapa soalan awal yang diajukan guru-guru seperti mengenai keadaan anaknya sekali gus menimbulkan tanda-tanya.

“Guru besar kemudian cakap ada dapat gred E dalam keputusan UPSR. Saya hanya terdiam sebab dalam kepala fikir macam-macam.

Kalau E lah keputusan yang anak saya dapat, saya reda dan terima seadanya. Saya tahu anak saya telah mencuba yang terbaik. Kalaulah keputusannya E, E lah saya terima

FONI'AH

“Tapi jujurnya masa disebut E tu saya terus tergamam, serta-merta pandang bawah sebab rasa takut. Tapi bila saya fikir, jika ditakdirkan anak saya dapat E sekalipun, saya perlu terima qada dan qadar Tuhan. 

“Kalau E lah keputusan yang anak saya dapat, saya reda dan terima seadanya. Saya tahu anak saya telah mencuba yang terbaik. Kalaulah keputusannya E, E lah saya terima,” tambahnya.

Noor Asyikin (tengah) bersama ibu bapa, Karim Md Said (kiri) dan Foni'ah Kamisan.

Ternyata naluri keibuannya cukup kuat dan gred E yang disebut oleh guru besar sekadar gurauan bagi menghilangkan rasa gemuruh dua beranak itu.

“Bila dapat tahu anak saya dapat 6A, syukur alhamdulillah. Saya gembira dan pada masa sama, perasaan tu ada macam-macam. Maklumlah, pertama kali tak check dulu keputusan UPSR anak secara online,” ujarnya.

Foni’ah yang bekerja sebagai pengasuh berkata, tiada rahsia anak bongsunya yang mencapai keputusan cemerlang dalam UPSR, kecuali kerajinan mengulangkaji pelajaran.

“Saya tak hantar anak saya belajar di pusat tuisyen. Dia hanya belajar di sekolah dan di kelas tambahan yang dianjurkan sekolah. Syukur, dia dapat keputusan yang cemerlang,” katanya. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
UPSR, SK Taman Cahaya Masai, 6A

Artikel Lain