suria

Isteri masuk tandas tak sangka bayi dalam perut dah nak keluar, suami mandi peluh sambut anak ke-2 - “Kali pertama ‘tahniah’ sangat bermakna dalam hidup saya”

Fahmi yang berdepan detik cemas menyambut kelahiran bayinya dibantu seorang staf hospital lelaki di talian sementara pihak hospital mengaturkan ambulans ke lokasinya.

BIASANYA ketika isteri mahu melahirkan anak, tugas suami hanyalah sebagai peneman di sisi sambil memberi kata-kata semangat untuk pasangannya.

Namun, perkara yang sama sekali tidak terduga apabila suami terpaksa menjadi bidan terjun menyambut kelahiran anaknya.

Inilah pengalaman yang dialami seorang lelaki yang dikenali sebagai Fahmi Jamil.

ARTIKEL BERKAITAN: “Terima kasih doktor, jururawat” - Hospital Bersalin KL henti operasi, warga kota kongsi memori suka duka sepanjang 56 tahun 

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki cedera parah keluar suara wanita tua selepas pembedahan - “Ada seseorang muncul waktu Maghrib” 

Berkongsi cerita di Facebook, Fahmi berkata isterinya, Noor Kamila Abdullah sepatutnya melahirkan anak kedua mereka pada Selasa, 24 September, namun kira-kira dua minggu sebelum tarikh itu, doktor meminta mereka bersedia memandangkan bayi dah ‘turun’.

“Hari Ahad 14/9, pukul 2 pagi isteri mula rasa sakit. Dia ingatkan sakit yang biasa sahaja, kemudian sakit lagi pukul 4 pagi, dia bangun dan tak boleh tidur. Masa ini dia belum lagi kejutkan saya tengah tidur. Dia sempat siapkan makanan untuk Qilah, anak perempuan kami yang sulung. Dia kejutkan saya jam 5.15 pagi beritahu untuk siap ke hospital sebab rasa macam nak bersalin,” tulisnya.

Selesai solat Subuh berjemaah dan menghantar anak sulung kepada pengasuh, pasangan ini kemudian bergerak ke hospital.

“Lepas sejam jumpa doktor, isteri saya keluar dan beritahu boleh balik dulu, sebab pintu masih belum buka dua sentimeter dan masih tebal. Jantung bayi juga diperiksa dan normal.

“Doktor ada bertanya sama ada isteri mahu masuk wad dahulu. Isteri cakap masih boleh bertahan dan rumah pun dekat jadi kami dibenarkan pulang dulu,” katanya sambil menambah, dia memlilih untuk berada di samping isteri walaupun ketika itu jadual tugasannya agak sibuk.

Posting Fahmi Jamil yang tular di media sosial baru-baru ini.  

Tambah Fahmi lagi, kira-kira pukul 11 pagi, isterinya mengadu kesakitan yang agak janggal dan meminta untuk segera dihantar ke hospital.

“Belum sempat saya tutup pintu rumah, isteri cakap macam nak buang air besar dulu. Masa tu saya dah mula cuak. Saya tanya isteri, boleh tak kalau pergi ke hospital dulu apa apa pun.

“Dia jawab, tak boleh. Kena pergi tandas dulu, jadi kami masuk semula. Isteri masuk tandas dan lepas beberapa ketika dia jerit, ‘Papa! Dah nak keluar dah ni’ sambil menangis.

“Saya dah mula panik, saya cakap kita tak boleh beranak kat sini sayang! Tolong ya Allah! Hanya kami berdua saja yang ada di rumah. Isteri cakap dah tak boleh naik kereta dah. Kena call ambulans. Saya call 999 untuk ambulans dan beri details,” tulisnya.

Sentiasa keep in touch dengan pihak hospital. Jangan pandai sendiri. Dalam kes saya, isteri memang tak sempat. Pihak hospital sudah pun dalam proses datang ke rumah dan saya dibimbing sepenuhnya oleh pihak hospital melalui telefon sementara ambulans sampai.

FAHMI

Bercerita lebih lanjut, Fahmi berkata, sementara pihak hospital mengaturkan ambulans ke kediamannya, talian telefon disambungkan kepada seorang staf hospital lelaki untuk memberi panduan mengenai apa yang perlu dia lakukan dalam keadaan itu.

Ketika itu juga, seorang jirannya turut datang menghulurkan bantuan kepada mereka berdua.

Ambulans yang tiba bersama pasukan perubatan kemudian membawa isteri dan bayi Fahmi ke hospital. 

“Alhamdulillah, selepas kami berdua bermandi peluh, berhempas pulas, setia mendengar dan buat apa yang diberitahu, akhirnya anak saya berjaya dilahirkan dalam pangkuan saya.

“Tubuh kecil yang berlumuran darah pekat merah. Tangisan pertama bayi kuat memecah suasana cemas tadi sebaik saja dia keluar dari rahim ibunya. Tak henti-henti menangis. Allahuakbar! Hebatnya percaturan Tuhan. Dia tunjuk kebesaran-Nya masa itu.

“Staf di telefon berkali kali mengucapkan tahniah kepada saya dan meminta izin untuk matikan panggilan. Inilah kali pertama perkataan 'tahniah' itu sangat memberi makna dan terkesan dalam hidup saya.

“Saya hanya mampu ucap terima kasih. Hanya Allah saja yang mampu membalasnya atas usaha beliau pimpin saya dari awal hingga selesai,”ceritanya lagi sambil menambah, sebaik saja ambulans tiba tidak lama selepas itu, isteri dan bayinya terus dibawa ke hospital.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, pengalaman yang sangat bermakna itu dikongsikan di laman Facebook untuk memberi kesedaran betapa pentingnya proses kelahiran dikendalikan oleh golongan yang bertauliah, khususnya jika bersalin di rumah.

“Kelahiran di rumah tanpa pengamal perubatan yang bertauliah adalah sangat berisiko dan bahaya.

“Sentiasa keep in touch dengan pihak hospital. Jangan pandai sendiri. Dalam kes saya, isteri memang tak sempat. Pihak hospital sudah pun dalam proses datang ke rumah dan saya dibimbing sepenuhnya oleh pihak hospital melalui telefon sementara ambulans sampai.

“Nasihat saya kepada mereka yang mungkin mula atau sudah berjinak dengan kumpulan pro-choice, homebirth atau kelahiran alami, atau apa saja pilihan ‘alternatif’ yang sewaktu dengannya, yang diselia atau dipimpin oleh orang yang tidak bertauliah dari badan yang sah, elakkan dari terjebak. Buanglah niat untuk menyambut kelahiran sendiri di rumah,” akhiri beliau.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain